MEMILIKI rumah kediaman merupakan keperluan asas yang perlu ada bagi setiap keluarga. Selain dijadikan tempat berlindung, hartanah kediaman ini juga boleh dijadikan sebagai aset pelaburan yang bernilai untuk masa hadapan.
Ramai juga yang beranggapan membeli hartanah itu perlu melalui proses jual beli yang agak sukar sehingga ramai yang sanggup menyewa berbanding membeli rumah sendiri.
Dalam membuat pertimbangan untuk membeli rumah bukanlah keputusan yang mudah memandangkan harga rumah yang semakin tinggi nilainya dan ada kalanya di luar kemampuan pembeli terutamanya golongan muda. Banyak perkara perlu diberi pertimbangan sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah impian masing-masing.
Secara umumnya kebanyakan pembeli rumah terutamanya generasi muda yang membeli rumah pertama akan mengambil kira faktor berkaitan lokasi, struktur bangunan, kawasan persekitaran dan faktor makroekonomi seperti kadar faedah pinjaman bank, populasi penduduk dan cukai berkaitan hartanah.
Suatu kawasan perumahan akan mempunyai daya tarikan tersendiri jika dapat memberikan konsep pembangunan terkini di pasaran seperti konsep kejiranan hijau dan gaya hidup sihat yang cuba diperkenalkan oleh pemaju dalam projek perumahan terutamanya di kawasan bandar.
Namun, jarang sekali pembeli rumah pada hari ini yang akan ambil kira aspek bencana alam dalam membuat pertimbangan membeli rumah kediaman.
Kebiasaannya pembeli tidak endah dan ambil tahu sama ada lokasi tapak projek perumahan yang bakal dibeli itu terletak di kawasan yang sering berlaku bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.
Malaysia merupakan negara yang sangat bertuah dan terlindung dari lingkaran bencana alam di Asia Tenggara seperti gunung berapi, gempa bumi, tsunami dan taufan.
Bencana alam yang ada kalanya melanda tanah air dianggap kejadian yang sangat minima dan kebarangkalian peristiwa tersebut berulang juga dalam tempoh yang panjang. Peristiwa banjir yang berlaku setiap tahun terutamanya di kawasan pantai timur juga dianggap sebagai fenomena biasa.
Penduduk yang tinggal di kawasan yang dilanda banjir merasakan kesan banjir tersebut juga adalah minimum, dan mereka dapat bertoleransi dengan keadaan tersebut.
Justeru, kejadian banjir hanya mempunyai kesan sementara dari segi kerosakan fizikal kepada hartanah, tetapi tidak terhadap nilai hartanah tersebut.
Peristiwa banjir yang melanda tanah air pada 18 Disember 2021, secara tidak langsung telah melumpuhkan beberapa bandar utama di Kuala Lumpur dan Selangor.
Peristiwa yang dianggap di luar jangkaan ini telah menyebabkan masyarakat tidak bersedia apabila hujan yang turun tanpa henti dan akhirnya menjadi bencana ngeri kepada penduduk setempat.
Kejadian banjir itu memberi impak yang sangat besar terutamanya kepada mental dan emosi penduduk selain terpaksa menanggung kerugian harta benda yang musnah dan juga kehilangan nyawa di kalangan ahli keluarga.
Kini masyarakat mula sedar dan melihat akan kepentingan untuk mempunyai pengetahuan asas dalam aspek bencana alam terutamanya banjir.
Selepas kejadian banjir yang berlaku ini secara tidak langsung akan memberi impak yang sangat signifikan kepada nilai hartanah kediaman di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Selain itu, pembeli rumah selepas ini juga akan lebih bijak untuk membuat keputusan dalam pembelian hartanah kediaman memandangkan pengalaman banjir yang berlaku ini membuka mata banyak pihak terutamanya pemain industri harta tanah dalam memastikan projek pembangunan hartanah terutamanya kawasan kediaman perlulah berada di lokasi selamat dari bencana alam bagi memastikan pelaburan yang dibuat dapat memberikan pulangan lumayan dalam jangka masa panjang dan menguntungkan semua pihak.
* Dr Siti Hafsah Zulkarnain ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA Shah Alam
Klik di sini untuk terus membaca