SHAH ALAM - Kerajaan wajar mempertimbangkan menaikkan jumlah bantuan tunai kepada mangsa yang terjejas banjir. Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, jumlah bantuan RM1,000 yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan wajar mempertimbangkan menaikkan jumlah bantuan tunai kepada mangsa yang terjejas banjir.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, jumlah bantuan RM1,000 yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini dilihat tidak mencukupi.

Menurutnya, rakyat memerlukan bantuan tunai lebih besar untuk kembali bangkit daripada bencana banjir tersebut.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan yang mengumumkan langkah awal memberikan bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir, tetapi dalam keadaan sekarang kami berpendapat kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan untuk menaikkan jumlah bantuan tersebut.

"Mangsa yang terkesan banjir kerugian boleh dikatakan cecah puluhan ribu ringgit dengan barang asas dalam rumah mereka terpaksa dibuang, kenderaan dan rumah mereka juga rosak.

"Saya sendiri tinjau kawasan di Taman Sri Muda serta Kampung Jawa (Shah Alam) dan melihat sendiri kebanyakan rumah total lost. Mereka terpaksa buang semua barangan dalam rumah dan untuk membeli barang baharu sudah tentu agak membebankan,” katanya.

Bencana banjir teruk yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor dan Kuala Lumpur menyebabkan ramai penduduk terkesan sekali gus terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk kembali memulakan hidup baharu.

Beberapa bantuan diumumkan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi membantu penduduk termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.

Beliau juga percaya kerajaan boleh memikirkan formula terbaik untuk mengenal pasti penduduk dalam memberikan bantuan tunai tersebut.

"Mungkin kerajaan boleh fikir satu amaun berpatutan dengan mengambil kira kerosakan di sesebuah rumah itu. Jumlah bantuan tunai mungkin tidak sama dengan setiap penduduk atau isi rumah.

"Kami faham, tidak semua kerosakan itu boleh dibantu oleh kerajaan, tetapi sekurang-kurangnya bantuan tunai yang lebih besar itu akan dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau turut melihat kerajaan tidak berdepan masalah untuk mengeluarkan bantuan lebih besar kerana bencana banjir ini hanya berlaku di beberapa negeri dan tidak semua kawasan di negeri tersebut terlibat.

Klik di sini untuk terus membaca