SHAH ALAM - Barangan keperluan asas rumah dan kos pembaikan kediaman antara diperlukan oleh mangsa terjejas akibat banjir yang melanda beberapa negeri di dalam negara termasuk di Selangor. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pentadbiran dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Barangan keperluan asas rumah dan kos pembaikan kediaman antara diperlukan oleh mangsa terjejas akibat banjir yang melanda beberapa negeri di dalam negara termasuk di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pentadbiran dan Kesukarelaan, Majlis Belia Malaysia (MBM), Hasnul Haniff Harun berkata, mangsa banjir amat memerlukan bantuan barangan asas antaranya tilam, almari, dapur dan alatan elektronik utama rumah seperti peti sejuk serta mesin basuh.

Beliau yang memberikan tumpuan kepada kerja sukarelawan bersama pasukannya di kawasan Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor sejak seminggu lalu berkata, keperluan tersebut amat penting khususnya buat mangsa yang rumahnya ditenggelami sepenuhnya ketika banjir.

"Kawasan rumah di Taman Sri Nanding ini sepenuhnya tenggelam. Hampir 90 peratus semua barang yang ada di rumah seperti perabot, tilam, perkakas elektrik, motosikal termasuk kereta habis terjejas.

"Rumah mereka memang total lost. Selain itu, usaha membaik pulih infrastruktur rumah seperti kerja pendawaian dan sistem paip juga perlu diambil kira,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian dan perkongsian diperoleh daripada penduduk yang terjejas banjir kali ini, anggaran kos dan bantuan pemulihan yang diperlukan adalah sekitar RM20,000 ke RM30,000.

"Sejak seminggu lalu kami berada di sini, kebanyakan rumah masih belum habis dicuci. Kerja pembersihan kali ini juga sangat berat dan memerlukan bantuan lori dan jentera seperti JCB Backhoe untuk mempercepatkan proses bawa keluar barangan terbuang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi BudiCare, Zikrun Na'im Nordin berkata, bentuk keperluan dan kos yang diperlukan untuk mangsa banjir pulih daripada bencana tersebut adalah berbeza mengikut kawasan yang terjejas.

Jelasnya, berdasarkan pemerhatian hampir kesemua kawasan terjejas di Selangor mendapat, mangsa banjir memerlukan sekurang-kurangnya RM10,000 untuk kembali pulih daripada bencana tersebut.

"Di Hulu Langat contohnya, keadaan rumah mereka memang total lost. Di Kuala Langat pun ada tempat yang total lost tapi tidak seteruk seperti di Hulu Langat,” katanya.

Zikrun turut memaklumkan hampir 700 sukarelawan digerakkan pasukannya dengan kerjasama lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mangsa banjir di Klang, Kuala Langat, Bangi, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Shah Alam.

Klik di sini untuk terus membaca