BAK kata orang tua dulu, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itulah perumpamaan sesuai digunakan bagi menggambarkan nasib berpuluh ribu mangsa banjir di Lembah Klang dan Pahang yang ditimpa musibah berkenaan pada minggu lalu.
Malah, biarpun sudah lebih seminggu dilanda banjir dan air bah sudah surut namun masih ramai yang terpaksa tinggal di pusat penempatan sementara, di rumah saudara mara, jiran mahu kenalan kerana kediaman mereka masih lagi dibersihkan sepenuhnya.
Selain itu, ramai mangsa banjir yang terjejas teruk seperti di Hulu Langat, Dengkil dan Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor tidak dapat tidur lena bukan hanya kerana memikirkan kerugian berpuluh ribu ringgit dialami, malah mereka pecah kepala memikirkan mana nak 'cekau' duit untuk membaik pulih kediaman dan peralatan yang rosak.
Hati mereka semakin pilu dan sedih sehingga sesak nafas apabila mendapat tahu Kerajaan Keluarga Malaysia, hari dilaporkan enggan membenarkan mereka membuat pengeluaran akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 menerusi skim i-Citra.
Memang benar caruman KWSP adalah simpanan hari tua namun apa gunanya jika tidak membantu pendepositnya semasa dalam kesusahan seperti terjejas teruk akibat dilanda banjir terburuk di Lembah Klang baru-baru ini.
Malah, ramai tidak boleh menerima alasan digunakan kerajaan iaitu tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana kononnya sudah banyak bantuan diumumkan termasuk moratorium pinjaman selama setahun dan pinjaman tanpa faedah bernilai RM5,000 ditawarkan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membantu mereka terjejas akibat banjir.
Biarpun ia mungkin membantu mereka yang terdesak namun langkah berkenaan adalah tidak praktikal dan hanya menguntungkan bank sahaja bukan rakyat marhaen dan mangsa banjir.
Malah, ramai pengguna Facebook dan Twitter menyifatkan kerajaan kurang memahami masalah dan keperluan sebenar kenapa rakyat menuntut supaya kerajaan membenarkan Keluarga Malaysia terutama mangsa banjir di Pahang dan Lembah Klang mengeluarkan RM10,000 daripada akaun KWSP mereka sendiri.
Oleh itu, tidak hairanlah jika melihat pengumuman terbaharu kerajaan itu bukan hanya disambut hambar malah menerima kecaman hebat oleh warga net di media sosial, Facebook dan Twitter.
Ini kerana kerajaan sepatutnya lebih memahami kesusahan dan keperluan rakyat terutama mereka dilanda musibah berkenaan selepas banyak berita sedih dan menyayat hati mangsa banjir dipaparkan di media arus perdana dan internet setiap hari.
Bayangkanlah jika kita sendiri berada dikedudukan mangsa banjir yang kediaman mereka ditenggelami air sehingga ke bumbung sudah pasti berpuluh ribu ringgit diperlukan untuk membaik pulih dan membeli peralatan rumah serta keperluan lain.
Jika sekali pun pinjaman RM5,000 diluluskan BSN tanpa faedah namun mereka tetap perlu membayarnya sehingga selesai seperti hutang pinjaman perumahan, sewa beli kenderaan dan pinjaman peribadi lain.
Bagaimanapun, mungkin ada mangsa banjir terpaksa mengambil hutang RM5,000 berkenaan kerana terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup biarpun ia ibarat 'tiada beban batu galas'.
Justeru, jika kerajaan enggan membenarkan mempertimbangkan pengeluaran RM10,000 dari akuan KWSP kepada individu layak maka mereka perlu memberikan bantuan secara 'one off' sekurang-kurangnya RM5,000 bagi membantu meringan beban kewangan berpuluh ribu ahli Keluarga Malaysia terjejas akibat banjir melanda negara ini.
Jika kerajaan demikian nescaya rakyat di peringkat akar umbi akan terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selaku Ketua Keluarga Malaysia sehingga ke akhirnya.
Mangsa banjir pasti sedang menunggu berita manis daripada Perdana Menteri.
* Mohd Faizul Haika Mat Khazi ialah wartawan Sinar Premium
Klik di sini untuk terus membaca