SHAH ALAM - Sejak mula dibuka kepada lalu lintas pada 7 April 2007 sehingga kini Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) merupakan instrumen 'penyelamat' Kuala Lumpur dalam mendepani isu banjir besar. Binaan berharga RM1.9... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sejak mula dibuka kepada lalu lintas pada 7 April 2007 sehingga kini Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) merupakan instrumen 'penyelamat' Kuala Lumpur dalam mendepani isu banjir besar.

Binaan berharga RM1.9 bilion itu secara asasnya mempunyai dwifungsi iaitu menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur dan juga untuk mengurangkan kesesakan trafik harian di ibu negara ketika waktu puncak.

Terowong ini bermula di tasik Kampung Berembang berdekatan dengan Sungai Klang di Ampang dan berakhir di tasik Taman Desa berdekatan Sungai Kerayong di Salak Selatan.

Mencecah sepanjang 9.7 kilometer, terowong tersebut mempunyai dua dek laluan sehala bagi kenderaan ringan (kenderaan besar melebihi ketinggian dua meter dan motosikal tidak dibenarkan melalui terowong) manakala ruang paling bawah adalah untuk laluan air.

Sebanyak lima juta meter padu air banjir berjaya dilencongkan daripada memasuki Kuala Lumpur menggunakan Terowong SMART semalam. - Foto fail benama

Ia turut dilengkapi dua lapisan pintu kawalan air automatik di kedua-dua penghujung terowong iaitu di Sungai Besi dan Bulatan Kampung Pandan.

Menariknya, ia juga merupakan terowong lencongan air yang terpanjang di Asia Tenggara dan kedua terpanjang di Asia.

Malah agensi berita Amerika Syarikat, CNN dilaporkan turut pernah menyenaraikan Terowong SMART sebagai salah satu daripada 10 terowong terbaik di dunia.

Sejak pembukaannya, kawasan mudah banjir di sekitar ibu negara seperti Masjid Jamek, Dataran Merdeka, Lebuh Ampang dan Jalan Melaka terselamat daripada insiden banjir besar.

Ternyata Terowong SMART sekali lagi membuktikan keberkesanan menyelamatkan keadaan apabila sebanyak lima juta meter padu air banjir dari Sungai Klang berjaya dilencongkan daripada memasuki Kuala Lumpur susulan hujan lebat berterusan yang melanda Lembah Klang pada 18 dan 19 Disember lalu.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, lencongan itu mula diaktifkan pada jam 7.45 malam Sabtu.

Tambah Zaini, operasi lencongan kali ini telah berlangsung selama 22 jam dan merupakan rekod baru bagi Pusat Kawalan SMART JPS kerana selama lapan kali operasi mod 4 sebelum ini sejak 2007, setiap peristiwa hanya merekodkan kurang dari tiga jam operasi lencongan.

"Air sungai Klang akan masuk ke Kuala Lumpur bercantum di Masjid Jamek (jika kita tidak lencongkan), kita dah keluarkan lima juta meter padu, dalam keadaan itu pun air masih berada di paras bawah jambatan.

"Bayangkan kalau ada lagi lima juta meter padu jika tidak dilencongkan, kalau ikut pengiraan memang Kuala Lumpur akan tenggelam," jelasnya.

Kuala Lumpur antara lokasi kejadian banjir berikutan pembangunan pesat serta titik pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Bagaimana Terowong SMART berfungsi?

MOD 1 :

- Apabila cuaca baik (hujan sedikit/tiada hujan) laluan trafik dibenarkan melalui terowong jalan raya sejauh empat kilometer yang menghubungkan kawasan sekitar Jalan Istana dan Kampung Pandan (Kuala Lumpur). Ia bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas memasuki dan keluar ibu kota.

MOD 2 :

- Diaktifkan apabila hujan sederhana turun dan kadar aliran direkodkan di pertemuan hulu Sungai Klang/Sungai Ampang (stesen aliran ‘L4’) ialah 70-150 m3/s

- Air banjir yang berlebihan akan dialihkan ke kolam penampung SMART dan hanya longkang bawah terowong akan digunakan untuk mengalirkan aliran banjir ke kolam pengecilan Desa. 50 m3/s akan dilepaskan ke pusat bandar.

- Terowong trafik jalan raya akan terus dibuka kepada pengguna jalan raya

MOD 3 :

- Diaktifkan apabila kejadian ribut besar berlaku dan model banjir meramalkan kadar aliran 150 m3/s atau lebih pada L4. Hanya 10 m3/s akan dilepaskan ke pusat bandar.

- Trafik akan dipindahkan dari terowong jalan raya.

- Sekiranya ribut hujan lebat berhenti awal atau disebabkan beberapa keadaan tertentu, maka terowong trafik tidak akan dinaiki air.

- Terowong jalan akan dibuka semula kepada lalu lintas dalam masa 2 hingga 8 jam selepas penutupan.

MOD 4 :

- Diaktifkan jika hujan ribut berterusan, biasanya akan disahkan 1-2 jam selepas Mod 3 diisytiharkan.

- Terowong jalan raya akan digunakan untuk laluan aliran banjir selepas pemindahan trafik selesai.

- Terowong jalan raya akan dibuka semula kepada lalu lintas dalam tempoh 4 hari selepas penutupan.

Klik di sini untuk terus membaca