KETIKA tahun kedua pandemik Covid-19 menghampiri penghujungnya, tragedi ‘berkembar᾿ melanda sebahagian besar negeri di Semenanjung. Secara umum, seperti tahun-tahun sebelum ini, berdasarkan siri kenyataan media, agensi-agensi kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

KETIKA tahun kedua pandemik Covid-19 menghampiri penghujungnya, tragedi ‘berkembar᾿ melanda sebahagian besar negeri di Semenanjung.

Secara umum, seperti tahun-tahun sebelum ini, berdasarkan siri kenyataan media, agensi-agensi kerajaan kelihatan telah bersiap sedia untuk menghadapi banjir.

Jabatan Meteorologi Malaysia pula telah mengeluarkan kenyataan akhir bulan lalu mengenai kemungkinan hujan lebat menjelang penghujung tahun.

Bagaimanapun mesej kesiapsiagaan tidak sampai ke lapangan. Pelaksanaan kelihatan tidak holistik. Berjuta warga Lembah Klang dihimpit kesukaran luar biasa yang tidak dijangka.

Begitu juga di Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu. Impak banjir paling teruk kali terakhir dialami adalah pada 2013 hingga 2014 melibatkan wilayah Pantai Timur.

Kali ini, kawasan berhampiran World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) yang terletak berhampiran dengan aliran Sungai Gombak turut berhadapan dengan banjir luar biasa.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meluangkan masa meninjau kawasan sekitar WTCKL pada 18 Disember lalu yang dinaiki air susulan hujan lebih 30 jam.

Pada hari yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat beberapa kawasan di Selangor yang dilanda banjir paling teruk selepas kejadian akhir 1990-an.

Kenyataan Perdana Menteri tidak menafikan terdapat kelemahan dalam pengurusan banjir terutama di Selangor.

Malah menurut beliau, tanggungjawab pengurusan bencana banjir bukan setakat kerajaan Persekutuan, tetapi kerajaan negeri dan pihak berkaitan setiap daerah turut memainkan peranan penting.

Irmohizam

Ketika suasana sedih dan terkilan berterusan dan apabila bantuan dan sokongan segera daripada pihak diharapkan iaitu agensi-agensi kerajaan tidak muncul, lumrah bagi mangsa melepaskan rasa terkilan dan kecewa mereka.

Maka, wujud situasi tuding-menuding antara satu sama lain. Berdasarkan pengalaman saya, ini kali pertama rakyat meluahkan perasaan tidak puas hati mereka dalam skala besar.

Saya tidak pernah menyaksikan ketebalan rasa marah rakyat terhadap kerajaan. Agensi-agensi kerajaan mempunyai alasan tersendiri. Dan, ia disusuli dengan tindakan mengambil langkah penambahbaikan dengan serta-merta.

Ini bukan pertama kali negara dilanda bah besar. Pengalaman lalu sepatutnya menyediakan kita banyak pengajaran dalam merancang strategi dan melaksanakan pengurusan musibah dengan berkesan.

Nampaknya kita belum bersedia berhadapan dengan bencana berskala nasional.

Agensi-agensi kita sudah dilengkapkan dengan pelbagai strategi, kemudahan dan teknologi untuk menghadapi bencana termasuk banjir.

Tetapi ia tidak mencukupi untuk skala besar. Kita panik. Kita belum sedia menguruskan bencana besar peringkat nasional.

Di sebalik perubahan landskap politik berbanding keadaan yang disaksikan lima dekad lalu, sudah sampai masa bagi kerajaan Pusat mengambil langkah mengkordinasikan bencana dalam skala besar.

Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu memainkan peranan secara lebih tersusun. Ini bukan lagi soal pangkat, jawatan, kedudukan dan kuasa untuk menggerakkan operasi menyelamat ketika bencana.

Perancangan menyeluruh dan fleksibel perlu dirangka sebaik sahaja kita memasuki fasa pasca bencana.

Apapun kita patut mengucapkan syabas kepada setiap sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan dan anggota bomba dan angkatan tentera yang telah menghulurkan bantuan.

Juga kepada Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin yang menghalalkan barang diambil jika tindakan itu dibuat demi kelangsungan hidup dan terdesak akibat bantuan lewat tiba. Saya hargai jiwa besar beliau.

Ia membawa kepada insiden tindakan sekumpulan menghentikan lori Gardenia yang membawa bekalan roti ketika banjir besar di Terengganu pada 2013.

* Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim merupakan Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan Naib Presiden Majlis Datuk Persekutuan Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca