PERISTIWA banjir yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda minggu lalu dan berkemungkinan akan berulang dalam gelombang kedua sebenarnya bukanlah sesuatu yang ‘mengejutkan’. Ramai yang mungkin tidak dapat mengaitkan... Klik di sini untuk terus membaca

PERISTIWA banjir yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda minggu lalu dan berkemungkinan akan berulang dalam gelombang kedua sebenarnya bukanlah sesuatu yang ‘mengejutkan’.

Ramai yang mungkin tidak dapat mengaitkan secara langsung kejadian itu dengan isu keselamatan dan pertahanan negara.

Ia sebenarnya mempunyai persamaan ketara terutama dalam dua aspek kritikal.

Persamaan tersebut adalah pertama, keperluan untuk melaksana sistem amaran dan persediaan menghadapi ancaman, keduanya, sistem pengurusan dan pemindahan fizikal pihak awam ketika dilanda ancaman.

Seperti musuh dalam peperangan, pengalaman menghadapi musuh sama berulang kali bakal memberi petunjuk kepada seorang pemimpin angkatan tentera yang cekap untuk memahami, mengkaji dan merumuskan cara terbaik untuk meramalkan bila, bagaimana dan apakah taktik yang akan diguna pakai oleh musuh untuk menyerang negara serta langkah yang perlu diambil untuk menanganinya.

Banjir adalah musuh atau bencana alam utama Malaysia yang telah mengakibatkan kemusnahan teruk sejak dari zaman sebelum merdeka lagi.

Kejadian banjir utama dalam sejarah negara ini telah direkodkan berlaku sejak tahun 1886, 1926, 1931, 1947, 1954, 1957, 1965, 1967, 1970/71, 1988, 1996, 2000, 2006/7 termasuklah pada tahun ini.

Kemusnahan harta benda yang diakibatkan oleh musuh banjir ini seakan yang diakibatkan oleh pengeboman atau serangan udara dalam peperangan dengan perbezaan tiada bom dan peluru yang membunuh pihak awam.

Pada 2010, kejadian banjir di Kedah dan Perlis telah mengakibatkan Lebuhraya Utara-Selatan tidak dapat dilalui.

Lapangan terbang Alor Setar tidak dapat digunakan seperti biasa dengan pesawat helikopter sahaja mampu beroperasi.

Bekalan air di Kedah dan Perlis juga menjadi tercemar menyebabkan kedua-dua negeri terpaksa mendapatkan bekalan air dari Perak manakala 45,000 hektar sawah padi turut musnah.

Dari sudut sejarah, taburan penduduk Malaysia mempunyai kaitan rapat dengan sungai-sungai utama dengan banyak penempatan berada di tebing-tebing sungai.

Pada tahun 2005, pusat pertubuhan Asia Disaster Reduction Centre yang berpangkalan di Kobe, Jepun menyatakan bahawa hujan monsun dan banjir kilat adalah ancaman malapetaka semula jadi paling utama buat negara ini.

PPS DAN KEM PELARIAN

Kajian pertubuhan itu menganggarkan terdapat kawasan berkeluasan 29,000 kilometer persegi yang mempunyai kepadatan 4.82 juta individu atau 22 peratus dari keseluruhan penduduk negara (ketika itu) akan terkesan jika banjir buruk berlaku.

Ia juga menganggarkan kerugian akibat kemusnahan infrastruktur mampu mencecah AS$298 juta.

Banjir kali ini seakan telah ‘menyerang hendap’ beberapa negeri yang sebahagian besar penduduk serta agensi- agensi berkaitan bencana alam sukar mempercayai telah berlaku.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menafikan terdapat kelemahan dalam pengurusan banjir dan akan melaksana penambah baik bagi menangani masalah sama di masa depan.

Bayangkan jika banjir yang datang adalah banjir yang sama melanda Kelantan dan Terengganu pada 1926.

Banjir yang dikenali sebagai ‘banjir ribut hutan᾿ ini telah memusnahkan beratus-ratus kilometer persegi hutan di kedua negeri tersebut. Selain hujan lebat, angin juga bertiup kencang dan ia dianggap banjir terburuk dalam sejarah negara ini.

Apa yang menimbulkan kegelisahan umum ialah bagaimana kejadian banjir yang melanda baru-baru ini seakan tidak memperlihatkan koordinasi jitu antara pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Aspek pemindahan dan kawalan pergerakan masyarakat umum contohnya seakan tidak dikoordinasi dengan baik pada peringkat kritikal iaitu apabila gelombang utama banjir melanda.

Pemindahan umum berskala besar, persediaan pusat pemindahan sementara (PPS), bekalan air, makanan dan perubatan dalam suasana banjir sebenarnya tidak banyak berbeza dengan apa yang akan berlaku sekiranya negara ini diancam musuh dalam konflik perang.

Dalam konflik bersenjata PPS akan bertukar menjadi kem pelarian, malah tekanan yang bakal dihadapi oleh agensi-agensi berkaitan bencana adalah lebih mencabar.

Menuding jari dan cuba menyalahkan pihak lain akibat kelemahan yang begitu menonjol dalam ‘serangan monsun’ kali ini tidak akan memberi sebarang faedah kepada sesiapa.

Sejarah telah mengajar kita bahawa setiap hujung tahun monsun akan menyerang negara, semestinya pihak berwajib mengambil iktibar dari sejarah lampau dan sepatutnya dapat menanganinya dengan lebih efektif.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca