SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil tindakan segera dengan melaksanakan projek tebatan atau penghadang banjir bagi mengelakkan nilai hartanah merosot di kawasan pernah dilanda bencana.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) dari Universiti Teknologi Mara (UITM), Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, apabila berlakunya banjir, persepsi atau sentimen pasaran itu akan menurun sehingga menjejaskan nilai hartanah di kawasan berkenaan.
"Jadi, selagi kerajaan tak laksanakan projek seperti tebatan atau penghadang banjir, trend pasaran akan jatuh sekitar 10 peratus hingga 20 peratus terutama bagi pasaran sewa.
"Dalam tempoh tiga hingga lima tahun itu, mungkin kekal ataupun menaik pada kadar yang cukup minimum iaitu sekitar lima peratus sahaja.
"Kerajaan memang kena ambil tindakan. Sekarang ini yang membawa kerugian adalah pada pihak yang menyewakan rumah,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Azwan berkata, kerajaan juga perlu mengambil beberapa inistiatif lain antaranya dengan menyediakan insentif pinjaman ataupun kemudahan pinjaman.
"Keduanya, dari segi pengecualian cukai. Kerajaan negeri boleh mengecualikan cukai pintu selama lima tahun sehingga projek itu siap. Maknanya setiap harta benda tu dikecualikan cukai pintu dan juga cukai tanah selama lima tahun.
"Manakala bagi kerajaan pusat pula, mereka boleh memperkenalkan pengecualian duti setem untuk sebarang proses pemilikan ataupun pindah milik," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca