Banjir adalah bencana utama dan saban tahun melanda negara. Ketika ini, Selangor dan Pahang adalah dua negeri paling teruk dilanda bencana itu.
Malah, di sesetengah kawasan seperti Mentakab, Pahang dan Taman Sri Muda, Selangor bukan saja kawasan perumahan, malah seluruh kawasan ditenggelami air.
Hal ini diburukkan lagi dengan keadaan paras air banjir terus meningkat walaupun hujan sudah berhenti memaksa ramai penduduk mengosongkan kediaman kerana bimbang keadaan bertambah buruk.
Bertambah malang, ada yang beranggapan banjir yang melanda tidak serius dan akan surut segera dalam beberapa jam seperti biasa seperti di Taman Sri Muda, Seksyen 25 tanpa menyangka disusuli banjir besar menyebabkan ramai terperangkap, tidak sempat berpindah dan menyelamatkan diri.
Di kawasan kediaman tertentu seperti mereka yang tinggal di flat, pangsapuri dan apartmen pula, ada yang menolak untuk berpindah kerana bimbang jangkitan Covid-19 dan mungkin rasa lebih selesa berbanding di pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun tiada bekalan elektrik.
Bagaimanapun, ramai terputus bekalan makanan dan mengharapkan pasukan penyelamat serta pasukan bantuan untuk mengagihkan kepada mereka.
Banyak faktor menyumbang kepada bencana banjir kali ini, faktor semula jadi seperti perubahan iklim yang merubah pola cuaca, suhu, hujan dan kelembapan serta faktor daripada manusia sendiri yang merupakan faktor dominan seperti merubah secara drastik guna tanah daripada kawasan litupan hijau kepada pelbagai bentuk pembangunan, kelemahan penyelenggaraan sistem saliran, kurang mempraktikkan etika persekitaran, kurang kesiapsiagaan kalangan agensi dan masyarakat terkesan serta kelemahan penyampaian maklumat dan amaran awal banjir kepada pihak berkepentingan.
KERUGIAN RM20 bilion
Ternyata, bencana kali ini membuktikan semudah longkang dan parit tersumbat dengan bahan buangan pembinaan walaupun projek sudah lama siap, sampah sarap yang tidak dikutip selain sampah dibuang merata juga antara punca penyumbang banjir besar.
Hakikatnya banjir kali ini di luar jangkaan yang mana paras air naik dengan sangat cepat, justeru ramai penduduk gagal bertindak segera meninggalkan rumah mereka untuk ke tempat yang lebih selamat.
Sehingga 24 Disember, banjir telah meragut 37 nyawa manakala puluhan ribu rakyat mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.
Aktivis perubahan iklim menganggarkan jumlah kerugian boleh mencecah sekurang-kurangnya RM20 bilion yang dianggar berdasarkan kerosakan isi rumah dan harta persendirian serta yang dialami perniagaan dan industri, termasuk kemusnahan kedai, gudang dan kilang.
PENGAJARAN SELEPAS BANJIR
Bencana banjir kali ini menyaksikan ramai kecewa terhadap kerajaan negeri dan Persekutuan disebabkan kelewatan memberi bantuan dan menyelamatkan mangsa yang terkandas.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) antara yang dipersalahkan.
Hakikatnya kejadian banjir di Selangor harus dijadikan sebagai peringatan agar tidak berulang selain menjadi pengajaran berguna kepada semua pihak, apatah lagi kesan perubahan iklim sudah mula dirasai dan semakin menjadi kebimbangan utama.
Seharusnya langkah menghadapi bencana banjir iaitu apakah persiapan yang hendak dilaksanakan, berapa banyak petugas yang perlu bersedia, di mana lokasi pusat pemindahan sementara, di mana tempat mengumpul makanan dan apakah peranan Jabatan Kesihatan Negeri dan sebagainya harus bermula sebaik sahaja Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan makluman akan ada monsun Timur Laut atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh bermula November hingga Mac.
Untuk masa hadapan, bagi memantapkan persediaan menghadapi bencana, langkah pencegahan yang disarankan antara lain membina takungan air, infrastruktur berdaya tahan iklim dan program pengurusan risiko bencana yang merangkumi kempen kesedaran untuk kesiapsiagaan masyarakat.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca