SHAH ALAM - Selepas sekian lama membisu, bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, akhirnya bersuara mengenai punca sebenar kerajaan negeri dipimpin olehnya membatalkan projek pembinaan Canal City atau Bandar Terusan pada tahun... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas sekian lama membisu, bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, akhirnya bersuara mengenai punca sebenar kerajaan negeri dipimpin olehnya membatalkan projek pembinaan Canal City atau Bandar Terusan pada tahun 2009.

Bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu menegaskan, beliau terpaksa berbuat demikian untuk menyelematkan aset milik kerajaan negeri Selangor 'terjual' kepada syarikat swasta menerusi perjanjian berat sebelah.

Berikutan itu, Abdul Khalid mengucapkan terima kasih kepada bekas Setiausaha Politiknya, Faekah Husin kerana menjelaskan fakta sebenar berkaitan projek Canal City yang telah dibatalkan.

"Sepanjang memegang jawatan Menteri Besar, saya berusaha menyelamatkan aset negeri yang 'terjual' melalui perjanjian usaha sama berat sebelah dimana syarikat swasta mendapat pulangan lumayan sedangkan kerajaan negeri terpaksa menanggung tanggjungjawab apabila projek tersebut gagal.

"Pada hemat saya, negeri Selangor telah menanggung terlalu banyak kerugian akibat perjanjian sedemikian. Namun begitu, saya telah memastikan semua keputusan pembatalan projek dibuat dengan telus dan teratur, berdasarkan laporan dan kajian jabatan kerajaan yang berkenaan," katanya pada Selasa.

Terdahulu, Faekah dipetik sebagai berkata Projek Canal City yang diilhamkan pada zaman Barisan Nasional (BN) mentadbir Selangor dibatalkan kerajaan negeri pada 2009 kerana merugikan rakyat dan hanya akan menguntungkan syarikat swasta terbabit.

Faekah dalam satu kenyataan berkata, beliau terpanggil untuk memberikan penjelasan bagi menjawab kenyataan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di laman sosialnya mengenai pembatalan projek terbabit.

Faekah yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) berkata, Najib mendakwa projek Canal City yang diilhamkan kerajaan negeri Selangor BN pada 2004 tetapi telah dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (pada ketika itu) pada 2009 adalah punca kepada banjir besar yang kini melanda negeri Selangor.

Walaupun benar projek berkenaan telah dibatalkan oleh Abdul Khalid, namun Faekah menegaskan, Ahli Parlimen Pekan gagal menyatakan sebab utama pembatalan projek tersebut.

"Beliau (Najib) gagal menghitung 'kerugian' yang ditanggung kerajaan dan rakyat Selangor apabila projek tersebut dianugerahkan kepada syarikat swasta melalui konsep usahasama dengan anak syarikat kerajaan negeri. Tidak juga disebut keuntungan besar yang bakal diraih oleh syarikat swasta berkenaan.

"Saya tidak mengharapkan beliau mempunyai maklumat terperinci projek tersebut kerana ia adalah di bawah pentadbiran kerajaan negeri tapi tidak molek bagi YB Pekan tiba-tiba mengeluarkan kenyataan salah sedemikian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Abdul Khalid, biarpun kerajaan negeri Selangor pimpinannya namun beliau sentiasa melakukan perkara terbaik demi rakyat.

"Walaupun pentadbiran saya tidak sempurna, namun saya telah cuba berikan yang terbaik kepada rakyat - the best value for the people. Adakalanya keputusan saya tidak popular dalam kalangan rakan politik, apatah lagi syarikat-syarikat swasta tapi saya yakin rakyat Selangor bijak membuat penilaian tentang apa yang terbaik.

"Saya mengambil kesempatan menyeru kepada seluruh rakyat khusus di Selangor untuk terus berdoa agar mangsa banjir diberikan kekuatan dan kesabaran di dalam menempuh ujian gets ketika ini. Semoga Allah SWT merahmati segala amalan dan usaha kita," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca