SHAH ALAM - Pakar ekonomi bersetuju mangsa banjir yang kehilangan harta benda dalam sekelip mata kini lebih memerlukan bantuan kewangan bagi meneruskan kelangsungan hidup masing-masing selepas dilanda bencana. Dekan Fakulti Pengurusan dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar ekonomi bersetuju mangsa banjir yang kehilangan harta benda dalam sekelip mata kini lebih memerlukan bantuan kewangan bagi meneruskan kelangsungan hidup masing-masing selepas dilanda bencana.

Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, pasca banjir kini mangsa lebih memerlukan wang ringgit untuk bangkit semula.

"Ketika awal kejadian banjir, makanan dan pakaian amat diperlukan namun pada waktu kritikal pasca banjir ini mangsa lebih memerlukan wang ringgit untuk pelbagai tujuan antaranya menampung kos pembersihan dan mengganti alat perkakas rumah yang rosak teruk akibat banjir," ujar Ahmad Azrin kepada Sinar Premium.

Katanya lagi, melihat situasi banjir yang teruk pada kali ini, pastinya bukan sedikit jumlah yang diperlukan untuk sebuah isi rumah memulakan kehidupan baharu.

"Mangsa banjir terutamanya yang kehilangan segala harta benda terpaksa bermula dari kosong dan jumlah anggaran kewangan yang diperlukan untuk kembali bangkit adalah berbeza mengikut isi rumah.

"Kita ambil contoh mudah, satu keluarga dengan seorang ketua rumah (suami), isteri dan tiga anak, mendiami sebuah rumah teres setingkat dan mempunyai sebuah kereta beserta kelengkapan rumah yang asas seperti peti sejuk, mesin basuh, dapur dan sebagainya.

"Jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM20,000 namun ada juga keadaan di mana sebuah rumah didiami lebih satu keluarga maka jumlah kerugian pastinya lebih besar.

"Jumlah kewangan yang diperlukan untuk kembali kepada kehidupan normal sekurang-kurangnya mampu menampung jumlah kerugian yang dialami," katanya lagi.

Seorang penduduk di Jalan Mawar mengeluarkan barang keperluan dari rumahnya yang ditenggelami air ekoran banjir kilat akibat limpahan air dari Sungai Damansara ketika tinjauan pada 20 Disember. - Foto Bernama

Melihat kepada situasi tersebut, Ahmad Azrin berpandangan seharusnya pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi alternatif bantuan terbaik, namun ia tidak dipersetujui.

"Memang benar terdapat peruntukan bantuan kewangan seperti pemberian pinjaman peribadi dan moratorium namun itu semua memerlukan peminjam membayar semula hutang walaupun tanpa faedah.

"Ia akan tetap menjadi bebanan dalam jangka masa panjang buat mangsa banjir yang mungkin juga masih lagi terkesan dengan pandemik Covid-19 sebelum ini," katanya lagi.

Ahmad Azrin juga memberi penekanan apa jua bentuk bantuan yang mahu dihulurkan harus bertepatan dengan keperluan semasa mangsa banjir.

Seterusnya, sebarang bentuk bantuan terutama bantuan kewangan harus melalui mekanisme yang betul bagi memastikan tiada sebarang penyelewengan berlaku oleh pihak yang tidak bertanggunjawab.

"Ketua komuniti seperti ketua kampung atau penghulu misalnya harus memainkan peranan yang lebih berkesan dalam memastikan mangsa banjir di kawasan mereka menerima bantuan sewajarnya. Ini kerana mereka yang lebih arif dengan profil penduduk dan permasalahan setempat,” katanya.

PERSEDIAAN KEWANGAN HARI TUA

Penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali juga sependapat, ramai mangsa banjir sangat memerlukan wang dalam jumlah yang besar bagi meneruskan kelangsungan hidup pasca banjir.

"Mangsa banjir kehilangan harta benda dalam sekelip mata akibat banjir dan permohonan pengeluaran KWSP pula tidak dipersetujui, jadi perlu ada bantuan asas lain.

"Kerajaan pusat dan negeri harus bersama-sama memastikan mangsa banjir menerima bantuan asas secukupnya bukan sahaja berbentuk makanan tetapi juga kewangan," ujar beliau.

Nuradli Ridzwan Shah tidak menafikan kerajaan mempunyai alasan kukuh tidak membenarkan pengeluaran KWSP untuk kali ketiga kerana bimbang banyak keluarga akan menjadi miskin tegar dan tidak mempunyai persediaan kewangan bagi menghadapi hari tua selepas usia pencen.

Berkenaan berapa anggaran wang diperlukan untuk satu isi rumah mangsa banjir kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum bencana melanda, beliau berkata, ia bergantung kepada keperluan isi rumah masing-masing.

"Apa yang penting sekiranya menerima bantuan atau peruntukan kewangan ia harus digunakan sebaik-baiknya tanpa pembaziran," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca