SHAH ALAM - Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah menegaskan, panel tersebut bukanlah satu jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk membincangkan dakwaan salah laku berkaitan individu bergelar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah menegaskan, panel tersebut bukanlah satu jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk membincangkan dakwaan salah laku berkaitan individu bergelar penjawat awam.

Katanya, bidang kuasa PPPR lebih kepada jawatankuasa perundingan dan pencegahan berkaitan isu rasuah.

"Kami bertanggungjawab merunding langkah-langkah pencegahan terbaik untuk mendidik masyarakat dalam membanteras rasuah.

"PPPR bukan panel yang sepatutnya membincangkan tentang individu bergelar penjawat awam yang didakwa melakukan salah laku sebaliknya kita ada jawatankuasa aduan," kata Borhan secara eksklusif kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu peletakan jawatan salah seorang ahli panel PPPR, Profesor Dr Edmund Terence Gomez atas alasan panel tersebut gagal bertindak terhadap dakwaan membabitkan pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Borhan, dalam isu yang dibangkitkan Gomez melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki (seorang penjawat awam dalam perkhidmatan) seharusnya perkara itu diajukan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) untuk sebarang tindakan.

"Aduan yang dibuat mesti disertakan bukti kukuh dan dikemukakan kepada KPPA untuk diambil tindakan mengikut kapasiti penjawat awam," katanya lagi.

BINCANG DENGAN URUSETIA SPRM

Sementara itu, menjawab dakwaan Gomez bahawa beliau tidak bertindak terhadap laporan dakwaan pemilikan kira-kira dua juta unit saham dimiliki Azam di sebuah syarikat senarai awam, Borhan berkata, perkara itu hanya dibangkitkan kemudian oleh Gomez.

"Pada awalnya Gomez mahu saya mengadakan mesyuarat dengan mengatakan SPRM teruk dihentam berkaitan isu rasuah, tiada dinyatakan tentang isu melibatkan Azam dalam surat atau email beliau kepada saya.

"Saya kemudian berbincang dengan urusetia SPRM sama ada perlu mengadakan mesyuarat namun dimaklumkan tiada keperluan untuk berbuat demikian, maka mesyuarat tidak diadakan," jelasnya.

Dalam pada itu, berhubung peletakan jawatan Gomez yang juga merupakan seorang ahli ekonomi, Borhan berkata, ia adalah terpulang kepada beliau sendiri.

"Kemasukan Gomez sebagai ahli panel PPPR adalah lantikan Perdana Menteri, saya tiada hak menerima atau menolak, itu terpulang pada beliau jika mahu meletak jawatan," katanya lagi.

Terdahulu, dalam surat peletakan jawatan bertarikh 27 Disember, Gomez berkata, 'cukup membimbangkan' apabila ada laporan mendakwa pegawai SPRM turut terlibat dalam situasi yang memiliki konflik kepentingan.

Menurutnya, ia menunjukkan trend dalam institusi SPRM yang perlu disiasat segera dan menyifatkan tiadanya perbincangan berkenaannya sebagai 'sangat tidak bertanggungjawab' dan 'tidak berhati perut'.

Tambah Borhan pula, pihaknya tidak menolak kemungkinan isu salah laku melibatkan SPRM yang dibangkitkan Gomez ada bermotifkan politik berikutan ia mula kedengaran ketika Pilihan Raya Negeri Melaka yang lalu.

"Kami tidak mahu terikat dengan mana-mana domain politik. PPPR adalah badan profesional dan kita tidak memihak mana-mana pihak.

"Sekiranya pihak SPRM bersalah kami juga tidak akan memihak kepada mereka," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca