SHAH ALAM - Mangsa banjir berisiko untuk berhadapan dengan masalah kesihatan emosi atau mental dalam tempoh yang panjang jika trauma yang dihadapi akibat bencana besar itu tidak ditangani dengan baik.
Pakar Psikologi, Profesor Dr Ruhani Mat Min berkata, ia berikutan kebanyakan mangsa yang terjejas akibat banjir itu tidak menyangka akan ditimpa bencana besar hingga mengakibatkan banyak harta benda termasuk kediaman musnah.
"Saya bagi satu senario, kalau banjir berlaku di Pantai Timur, mungkin kesan emosi berbeza sebab mereka sudah biasa mengalami banjir dan sedikit sebanyak sudah bersedia.
"Tetapi apa yang berlaku kepada kebanyakan mangsa adalah mereka tidak pernah menyangka atau tidak terlintas dalam fikiran akan mengalami kemusnahan yang teruk sebegini.
"Jadi, inilah yang saya katakan, kalau kesan emosi ini tidak ditangani dengan baik ia bakal memberi kesan yang lebih panjang, malah mungkin ada yang tidak mampu untuk bangkit kembali,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai berapa lama tempoh diperlukan untuk mangsa banjir pulih dan bagaimana bencana boleh mempengaruhi kesihatan mental seseorang individu jika ia tidak ditangani dengan baik.
Mengulas lanjut, Ruhani yang juga pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu berkata, setiap individu yang ditimpa banjir akan mengambil masa yang berbeza untuk pulih bergantung kepada sejauh mana kemusnahan yang dialami mereka.
Justeru katanya, mangsa banjir dinasihatkan untuk tidak menyimpan atau memendam perasaan sedih dan tidak percaya dengan apa yang dilalui itu demi kesejahteraan mental mereka.
"Untuk seseorang itu kembali bangkit selepas ditimpa musibah, ia tidak boleh hanya bersandarkan kepada diri sendiri sahaja, tetapi mereka memerlukan sokongan.
"Sokongan maksudnya, bukan sahaja daripada ahli keluarga terdekat, tetapi turut melibatkan masyarakat yang lebih besar iaitu agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan sebagainya kerana trauma yang dialami mereka ini cukup besar,” katanya.
Ruhani dalam masa sama turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan pusat sehenti yang boleh memberikan bantuan dengan segera kepada rakyat yang terlibat.
Jelasnya, dengan mewujudkan pusat sehenti yang menempatkan semua agensi kerajaan melibatkan bantuan kewangan, kaunseling dan sebagainya dapat membantu mereka dalam mengharungi detik getir itu.
"Kita kena faham bahawa apabila seseorang individu yang berada dalam keadaan trauma, kadang-kadang mereka tidak boleh berfikir dengan baik apakah langkah seterusnya yang boleh diambil mereka untuk kembali bangkit.
"Jadi, sokongan daripada orang sekeliling ini sangat penting sebab jika mangsa sahaja berusaha untuk bangkit tetapi tidak ada pertolongan sewajarnya, ia juga akan merencatkan usaha itu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca