MINGGU lepas, menurut laporan media, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meminta pihak Twitter memadamkan beberapa ciapan yang mengkritik cara kerajaan menangani banjir. Namun, permintaan itu telah ditolak oleh pihak Twitter. Masyarakat berasa hairan terhadap insiden tersebut, adakah SKMM telah dijadikan sebagai alat propaganda kerajaan?
SKMM merupakan institusi yang mengawal dan memantau aktiviti komunikasi dan multimedia di Malaysia. Ciapan yang diminta oleh SKMM untuk dipadamkan adalah mengenai kritikan terhadap sebuah majlis kutipan derma banjir yang melibatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun. Selain itu, ciapan lain adalah mengenai kritikan terhadap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Noh Omar atas kenyataannya tentang kelayakan meminta bantuan kerajaan oleh mangsa banjir.
Walaupun SKMM menyatakan bahawa perbuatan itu adalah demi kepentingan awam, ciapan-ciapan tersebut hanyalah kritikan munasabah kepada cara kerajaan menangani banjir. Namun, SKMM bertindak cepat terhadap ciapan yang mengkritik kerajaan atau ahli jemaah menteri manakala SKMM kurang ‘bersemangat’ dalam melaporkan atau mengesyorkan untuk penambahbaikan terhadap kenyataan melibatkan siber buli, diskriminasi gender, isu perkauman dan ekstremisme.
Apabila media dan media sosial berperanan sebagai kuasa keempat untuk memantau perbuatan kerajaan, SKMM sebagai pengawal dan pemantau aktiviti komunikasi dan multimedia, sepatutnya bertindak demi kepentingan rakyat.
Bagi mewujudkan persekitaran pendapat umum yang lagi kondusif, SKMM perlu mengesyorkan pemansuhan undang-undang yang menentang kenyataan bermanfaat dan menggalakkan lagi banyak kenyataan yang memantau perbuatan kerajaan, mengutamakan usaha dalam melawan masalah-masalah seperti ungkapan kebencian yang mencemar persekitaran pendapat umum kita, media berat sebelah dan tentera siber.
Peristiwa kali ini dan yang lepas membuktikan bahawa SKMM telah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan ahli politik tertentu dan bukan untuk kepentingan rakyat.
Fenomena ini perlu diubah
Berdepan dengan banjir, SKMM perlu:
• Menumpukan sumber-sumber awam ke arah menyebarkan dan mengemaskini maklumat terkini berkenaan keadaan banjir, dan bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, menjalankan penyelarasan antara semua pihak yang terlibat, bersama menyelamat dan memastikan keselamatan mangsa banjir
• Bekerjasama dengan Organisasi Masyarakat Sivil (CSOs) dan syarikat media sosial untuk merangka dasar yang selaras dengan keadaan negara supaya dapat mengawal isu ungkapan kebencian dan kemunasabahan dalam memadamkan kandungan tertentu
• Bagi memastikan permintaan yang dihantar kepada syarikat media sosial supaya memadamkan kandungan tertentu bukanlah berdasarkan pertimbangan politik, SKMM perlu menubuhkan jawatankuasa bebas untuk memikul tanggungjawab tersebut. Keputusan tersebut juga perlu berdasarkan dasar selaras dengan keadaan negara yang disebut di atas
• Berhenti menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk menyekat kebebasan bersuara, seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan mengambil inisiatif yang diperlukan untuk menyemak serta memansuhkan undang-undang sedemikianUntuk mewujudkan persekitaran media dan pendapat umum yang lebih sihat, SKMM harus berhenti menentang suara-suara yang sihat. Sebaliknya, SKMM perlu menggalakkan transformasi media seperti menubuhkan Majlis Media Malaysia, merangka dasar media sosial selaras dengan keadaan negara untuk membendung kekacauan yang disebabkan oleh maklumat palsu, tentera siber dan ungkapan kebencian.
* Ng Miaoling ialah aktivis media
Klik di sini untuk terus membaca