APA nak jadi dengan wakil rakyat kita yang berjawatan menteri ini? Lepas satu, satu lagi kecuaian tingkah laku yang tidak cerdik mereka pamerkan. Selepas seorang, seorang lagi daripada mereka buat perangai kerana tidak peka dengan persepsi... Klik di sini untuk terus membaca

APA nak jadi dengan wakil rakyat kita yang berjawatan menteri ini? Lepas satu, satu lagi kecuaian tingkah laku yang tidak cerdik mereka pamerkan. Selepas seorang, seorang lagi daripada mereka buat perangai kerana tidak peka dengan persepsi rakyat.

Boleh dikatakan sebahagian besar dalam kalangan jemaah menteri tidak kelihatan ketika banjir mula melanda pada Sabtu, 18 Disember. Sebilangan daripada mereka hadir di persidangan parti. Ada pula yang menaikkan status selfie bercuti di luar negara.

Tiada suara atau perintah mengerah semua jentera pentadbiran turun menyelamatkan mangsa banjir. Sekurang-kurangnya dua hari mereka menyepi.

Ada khabar yang mengatakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa bertindak secara sendiri. Mana pelan tindakan daripada semua agensi-agensi kerajaan? Malangnya, ada menteri buat pelancaran program membantu mangsa banjir anjuran syarikat swasta di hotel. Dalam keadaan yang sensitif sebegitu, menteri boleh sahaja wakilkan kepada KSU kementeriannya, kalau majlis itu tidak dapat ditangguh.

Seolah-olah dikejut dari tidur, setelah netizen bising, maka pak-pak menteri turun padang. Namun, tidak perlulah berkonvoi hingga mengganggu lalu lintas dan membantutkan usaha petugas membantu mangsa di lapangan.

Sepatutnya mereka buka sahaja bilik gerakan banjir, berkampung di situ dan buat sidang media dua tiga kali sehari seperti waktu pandemik Covid-19 menyerang dahulu. Paparkan laporan situasi di merata pelosok kawasan banjir di skrin-skrin besar.

Maklumkan status mutakhir banjir, apa tindakan, berapa tenaga pasukan tentera, bomba, Rela dan logistik serta berapa pula jumlah pusat penempatan sementara (PPS) di sesebuah kawasan. Dengan cara ini, rakyat, khususnya saudara dan sahabat handai mangsa mudah dapat maklumat terkini yang sah.

Sidang-sidang media sewaktu Covid-19 dahulu dinanti-nanti rakyat dan membantu mententeramkan jiwa rakyat. Pendekatan yang strategik itu patut diulang pakai.

Malangnya mereka turun padang pula untuk berlakon menyapu lantai, menyembur simen, menyodok lumpur dan memikul beras. Orang nampak itu adalah lakonan. Persoalannya ialah apakah pasukan media pak-pak dan mak-mak menteri sudah ketinggalan zaman dengan membiarkan menteri-menteri mereka berlakon pegang cangkul, penyapu, penyodok dan water jet sebagai prop? Dulu... bolehlah. Dulu, editor akhbar dan televisyen berperanan memilih gambar terbaik yang hanya fokus kepada pak menteri sedang beraksi.

Kini, mengapa dibiarkan jurufoto dan juruvideo ambil gambar hingga memuatkan juga aksi petugas media yang berkerumun merakam momen? Maka jadilah ia sebuah lakonan daripada sebuah skrip murahan.

IMEJ TERHAKIS

Dahulu, dalam sesebuah majlis, sekiranya pasukan media tak sempat ambil gambar pak menteri sedang beri sijil pada tok penghulu, jangan harap pak menteri hendak posing semula. Kemudian, ketika era pak menteri sporting dengan media, dia boleh bekerjasama posing semula untuk beri peluang pada jurugambar rakam semula aksi.

Tapi kini, kerana terlalu over-sporting di antara pak menteri dan media, terjadilah malapetaka imej yang mengundang ‘kemeluatan’ netizen. Kalau pun ingin pikul beras, junjung kampit gula atau tolong basuh kereta sekali pun, lakukanlah di kawasan pilihan raya masing-masing. Undi anda ada di situ. Rakyat akan lebih faham dan tak meroyan.

Imej ahli-ahli politik telah terhakis akibat tindak-tanduk mereka sendiri. Rakyat sudah hilang hormat kepada mereka. Pantang mereka silap langkah, perilaku mereka akan menjadi tular.

Rakyat yang sebilangan besarnya Melayu punyai prinsip ‘raja (pemimpin) adil, raja disembah; raja zalim, raja disanggah.’ Orang Melayu bila sudah mengamuk, mereka tidak peduli apa pun lagi.

Mereka sudah jauh hati dan ini bukan mudah hendak dipujuk. Rasa meluat mereka dengan perangai orang politik akan terus melarat. Mereka sudah tidak hairan untuk istiqamah memilih berdasarkan parti. Sebaliknya akan memilih berdasarkan personaliti kerana orang politik sendiri boleh bertukar bendera parti pada bila-bila masa.

Betul, akan ada yang kata... ‘bila tiba pilihan raya nanti, rakyat akan dipujuk dan pilih mereka lagi.’ Tetapi, jangan lupa pepatah, ‘sarang tebuan jangan dijolok.’ Kini, sarang itu sudah pun dijolok!

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca