IA bukan tajuk filem. Bukan juga nama planet yang baru ditemui, atau nama benua kelapan yang diumumkan penemuannya oleh sekumpulan ahli geologi kira-kira empat tahun dahulu. VUCA adalah akronim daripada empat perkataan dalam bahasa Inggeris... Klik di sini untuk terus membaca

IA bukan tajuk filem. Bukan juga nama planet yang baru ditemui, atau nama benua kelapan yang diumumkan penemuannya oleh sekumpulan ahli geologi kira-kira empat tahun dahulu.

VUCA adalah akronim daripada empat perkataan dalam bahasa Inggeris iaitu Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguity, yang apabila digabung memberi gambaran tentang kehidupan masa kini dan cabaran yang datang bersamanya.

Dengan bahasa yang lebih mudah, ia juga satu normal baharu yang suka atau tidak, terpaksa dilalui oleh kita semua.Akronim VUCA mula diperkenalkan di Kolej Peperangan Amerika Syarikat dan dokumen pertama yang mengandungi istilah itu dikesan wujud sejak tahun 1987, dan ada pendapat berbelah bahagi tentang siapa yang mula memperkenalkannya.

Bagaimanapun, satu projek kajian kolej tersebut yang diterbitkan pada tahun 1992 mengkreditkan Jeneral D Thurman, seorang pegawai tinggi tentera pada masa itu sebagai orang yang memperkenalkan kepimpinan strategik dalam menghadapi apa yang disebutnya sebagai situasi bersifat ‘volatility, uncertainty, complexity dan ambiguity’.

VUCA menjadi popular selepas tahun 2000-an, apabila diangkat oleh sifu-sifu ilmu pengurusan dan kepimpinan sebagai teras perbincangan, terutama dalam mempersiapkan diri dan merancang strategi bagi menghadapi cabaran-cabaran semasa. Popularitinya terus meningkat apabila komuniti-komuniti perniagaan turut memilihnya sebagai formula dan ‘tangkal’ dalam memperkasa strategi perniagaan mereka.

Pada masa dahulu, ilmu dan pengalaman menjadi bekalan yang sangat berguna kepada sesiapa sahaja untuk meneruskan kehidupan dan mencari kejayaan.

Apa juga rintangan yang datang biasanya dihadapi dengan menjadikan ilmu dan pengalaman tersebut, sama ada sebagai perisai mahupun sebagai senjata.

Keputusannya menyaksikan amat jarang orang yang berilmu dan berpengalaman kecundang. Tetapi itu dahulu. Corak kehidupan manusia berubah dan kebelakangan ini proses perubahan terjadi dengan pantas, Ini menyebabkan formula-formula lama tidak lagi boleh digunakan sepenuhnya.

Suka atau tidak kita perlu bertindak pantas, melakukan perubahan dan mencari ‘bekalan-bekalan’ baharu. Jika tidak, kita berkemungkinan besar akan menjadi mangsa kepada keangkuhan VUCA.

Dalam bahasa Melayu volatility bermaksud meruap, uncertainty bermakna tidak menentu, complexity bererti rumit dan ambiguity maknanya kabur. Untuk gambaran yang lebih jelas gabungan perkataan itu mencerminkan keadaan dunia hari ini sebagai meruap pantas kepada perubahan, bersifat tidak menentu dan sukar dijangka serta tidak jelas keadaannya. Dengan perkataan lain mungkin tidak keterlaluan jika kita menganggapnya sebagai ‘bercelaru’ atau ‘berserabut’.

Perubahan yang pantas menjadi kata kunci utama kepada VUCA. Jika diimbas sejarah, kita akan mendapati manusia mengambil masa hampir 3,000 tahun untuk merealisasikan impian berada di udara.

Cerita-cerita legenda Inggeris merekodkan bahawa pada tahun 832 Sebelum Masihi, seorang raja Inggeris bernama Bladud terbunuh dalam percubaannya untuk terbang dengan menggunakan kepak yang diperbuat daripada bulu burung.

Selepas itu ada ramai lagi orang yang cuba terbang dengan cara sama. Dalam proses itu tidak kurang juga manusia melontarkan impian dengan melakarkan gambar objek-objek yang mereka angan-angankan boleh terbang. Antaranya, termasuklah lakaran oleh pelukis tersohor Leonardo da Vinci.

Tetapi dari saat percubaan Raja Bladud sehingga manusia benar-benar boleh berada di udara dengan menaiki belon udara panas ciptaan Pilatre De Rozier, jarak masa yang diperlukan adalah lebih 2,600 tahun. Daripada belon udara panas itu pula, lebih 120 tahun diperlukan untuk mencipta kapal terbang yang pertama dan dari kapal terbang pertama ke kapal angkasa pertama tempoh lebih 50 tahun diperlukan.

Sehingga tahun 1980-an, keadaan tidak banyak berbeza. Perubahan berlaku secara perlahan dan beransur. Ambil sahaja televisyen di Malaysia sebagai contoh. Siaran televisyen pertama dipancarkan di Malaysia pada tahun 1963 dalam format hitam putih dan ia memerlukan masa selama 15 tahun sebelum siaran televisyen warna diperkenalkan pada 28 Disember 1978.

Tetapi segala-galanya berubah apabila teknologi komputer berkembang. Gerak perubahan menjadi lebih cepat. Kedatangan teknologi internet melipatgandakan lagi proses itu. Kedua-duanya, komputer dan internet turut merangsang pertumbuhan dan perubahan sektor-sektor lain.

Hari ini perubahan berlaku dengan skala kelajuan yang luar biasa. Baru sahaja kita mempelajari sesuatu, dan kadangkala belum sempat mempraktikkannya, apa yang kita pelajari itu telah berubah dan menjadi out dated.

Demikian jugalah dengan apa yang kita miliki, baru minggu lepas ia menjadi yang paling canggih, minggu ini ia tercicir ke tempat kelima atau keenam dan sebulan kemudian dianggap telah ketinggalan.

Kecepatan perubahan mendorong kepada munculnya keadaan yang tidak menentu. Ketidaktentuan itu menyebabkan manusia, secara umumnya sukar untuk menjangka apa yang akan berlaku atau bagaimana ia berlaku.

PERUBAHAN

Apabila telefon bimbit atau telefon genggam mula diperkenalkan dahulu, umum menyangka fungsinya sampai bila-bila pun sama dengan telefon di rumah. Sekadar sebagai alat komunikasi suara. Perbezaannya cuma ia bersifat mudah alih.

Tidak berapa kerat yang menyangka suatu masa alat itu juga boleh dijadikan medium untuk menghantar teks, mengirim gambar, menjadi kamera, menjadi alat kawalan jauh, malah menjadi ‘perpustakaan’ yang ‘koleksi’ maklumatnya dianggarkan melebihi 5 petabytes.

Perubahan pantas dan ketidaktentuan yang disebut di atas sudah tentulah mendorong kepada berlakunya satu keadaan berselirat dan rumit. Contohnya, maklumat yang terlalu banyak dan bebas dimuat naik menyebabkan kita berdepan pula masalah dengan kesahihan, kebertanggungjawaban, kesukaran memilih dan sebagainya.

Kemudahan-kemudahan yang datang bersama perubahan pantas dan ketidaktentuan turut membawa kepada wujudnya persaingan sengit, yang ada ketikanya menjadi pemangkin kepada perkara-perkara tidak sihat.

Lihat sahaja berapa ramai orang sanggup berbuat apa sahaja, termasuk menjual maruah diri semata-mata kerana mahukan like dan ‘pengikut’. Berapa ramai pula yang menjadi penabur fitnah dan ‘pengedar’ dosa dengan berkongsi perkara yang tidak benar? Tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa kesan baiknya juga sangat banyak.

Perubahan pantas yang tidak menentu dan rumit itu turut membuka ruang seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja untuk meningkatkan potensi diri. Kekangannya cuma satu, iaitu ia juga bersifat ‘kabur’. Terlalu kabur sehingga ada ketikanya sukar untuk kita memilih antara yang baik dengan tidak. Garis pemisahnya bukan sahaja terlalu halus, malah ada ketikanya tidak kelihatan sama sekali. Ia boleh menyebabkan kita menjadi seperti pemandu yang memandu dalam kabus atau jerebu tebal.

Atas faktor itulah, tidak kira dalam apa bidang pun yang kita libati, pemahaman terhadap konsep dan nilai-nilai VUCA amat perlu. Kita tidak boleh semata-mata teruja kepada perubahan tanpa mempersiapkan diri.

Tanpa persiapan yang betul kita akan terdorong untuk hanyut bersama ketidaktentuan, tenggelam punca dalam kerumitan dan akhirnya tewas dalam kekaburan.

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia

Klik di sini untuk terus membaca