SHAH ALAM - Beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mendesak supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan adil dan telus berhubung dakwaan yang tersebar sejak dua bulan lalu kononnya pegawai tinggi SPRM memiliki berjuta... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mendesak supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan adil dan telus berhubung dakwaan yang tersebar sejak dua bulan lalu kononnya pegawai tinggi SPRM memiliki berjuta unit saham.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa berkata, siasatan polis perlu susulan pelbagai pendedahan berhubung kes terbabit dibuat di media sosial dan usul tergempar difailkan beliau sendiri di Parlimen baru-baru ini.

Sebelum ini, Sivarasa yang juga Naib Presiden PKR mengemukakan usul supaya Parlimen membincangkan dakwaan bahawa Azam memiliki saham di dua buah syarikat disenarai di bursa melebihi daripada jumlah yang dibenarkan.

Sivarasa

Menurut Sivarasa, beliau juga dimaklumkan bahawa pegawai berkenaan, antara 2015 dan 2016 memiliki 930,000 saham dalam sebuah syarikat pada 30 April 2015, dan 1,029,000 saham lagi pada 31 Mac 2016.

Berikutan itu, Sivarasa menegaskan perkara itu adalah menyalahi Seksyen 23 Pekeliling Perkhidmatan 3/2002 yang menyebut seseorang pegawai awam boleh membeli saham tetapi tertakluk kepada syarat-syarat, antaranya tidak melebihi lima peratus daripada modal dibayar atau RM100,000 pada nilai semasa.

Beliau berkata, keadaan itu menjadi semakin serius selepas seorang Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Profesor Dr Edmund Terence Gomez meletakkan jawatan selepas mendakwa panel itu tidak bertindak berhubung dakwaan pemilikan saham oleh pegawai berkenaan di sebuah syarikat senaraian awam.

"Memang PDRM patut mula siasat kes ini daripada pendedahan fakta di dalam media. Pengurusan Institusi SPRM tidak boleh siasat kes ini macam biasa sebab kes ini melibatkan Ketua SPRM sendiri. Yang penting ialah kita perlu ketelusan dalam siasatan kes ini. Siasatan perlu dibuat cepat dan hasilnya dilapor kepada Parlimen," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium pada Selasa.

KRISIS KEYAKINAN

Sementara itu, Ahli Parlimen Hang Tuan Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin berkata, beliau berasa kesal dan kecewa dengan pendedahan Gomez bahawa PPPR enggan menyiasat dakwaan terhadap pegawai tinggi SPRM berkenaan kerana semua ahlinya sudah mengangkat sumpah untuk menunaikan tanggungjawab diamanahkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Shamsul Iskandar

"Jadi apabila terdapat dakwaan membabitkan orang kuat SPRM, maka sewajarnya badan dianggotai oleh Gomez itu tidak teragak-agak untuk menjalankan siasatan.

"Saya mengharapkan supaya pegawai SPRM itu sendiri untuk memulakan atau menunjukkan contoh yang baik dengan membuat kenyataan supaya dia disiasat SPRM bagi membuktikan beliau tidak bersalah, sekali gus membersihkan namanya dan imej SPRM itu sendiri," katanya.

Bagaimanapun, Shamsul yang juga Ketua Penerangan PKR, melahirkan kebimbangan bahawa tiada sesiapa dalam SPRM berani menyiasat 'big bos' sendiri berhubung dakwaan terbabit.

"Siapa pegawainya yang berani siasat bos sendiri, sudah tentulah hanya badan lebih berkuasa seperti PPPR yang boleh berbuat demikian. Oleh itu saya percaya Gomez mengharapkan badan dianggotainya akan melakukan sesuatu tetapi ia tidak berlaku sekali gus menyebabkan beliau meletakkan jawatan.

"Ini menunjukkan krisis sedang berlaku dalam SPRM dan PPPR iaitu krisis keyakinan kerana sebelum ini mereka turut terpalit dengan kes kehilangan bahan bukti berupa wang tunai membabitkan beberapa pegawainya," katanya.

Justeru itu, Shamsul berkata beliau berharap badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pasukan Rasuah Busters, dapat memainkan peranan proaktif dalam memberikan tekanan dan mendesak supaya kerajaan menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan membabitkan pegawai tinggi SPRM berkenaan.

"Sekarang terserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung kes terbabit," katanya.

JANGAN PILIH BULU

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pas Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, pula berharap SPRM tidak akan mengambil sikap pilih kasih dan berat sebelah dalam menyiasat dakwaan didedahkan oleh Gomez berkenaan.

Khairuddin

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, tindakan berkenaan perlu kerana kerajaan sentiasa mengutamakan integriti dalam semua urusannya.

"Perang terhadap rasuah dan korupsi tidak pernah berhenti. Kewujudan SPRM adalah untuk membanteras korupsi dan rasuah dalam negara maka wajar untuk badan ini terus berpegang kepada prinsip penubuhannya dengan tidak 'pilih bulu' dalam siasatannya termasuklah kes yang dibangkitkan oleh Gomez atau sesiapa sahaja.

"Jika ada sebarang bukti atau laporan dikemukakan, SPRM sebagai badan berintegriti boleh memulakan siasatan dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan. Jika tiada kes, rakyat berhak dimaklumkan melalui saluran yang ada dalam SPRM atau pihak berkuasa lain," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca