ADALAH sesuatu yang amat menyedihkan apabila selepas 24 jam berlalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki masih membisu seribu bahasa berhubung dakwaan yang sedang berlegar di kepala rakyat Malaysia sekarang −apakah pegawai tinggi agensi itu terlibat dalam aktiviti yang mempunyai konflik kepentingan dengan tugas mereka.
Orang ramai, masyarakat sivil dan media massa menuntut penjelasan daripada Azam Baki tetapi seperti mana biasa, kita tidak mendapat apa-apa reaksi. Ini bukanlah pertama kali kontroversi melibatkan SPRM disambut dengan nada yang sebegini − diam.
Isu ini sangat mudah. Jika mereka tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan tanggungjawab dan tugas mereka, maka katakanlah tidak. Pada zaman sekarang ini, berterus terang adalah formula terbaik.
Apabila mereka membisu tidak bertindak ke atas cakap-cakap ini, yang mendorong kepada peletakan jawatan salah seorang anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) iaitu Profesor Dr Edmund Terence Gomez, ia menjadi buah mulut ramai.
Dr Gomez tidak bertindak sembarangan. Beliau bertindak berdasarkan fakta di hadapannya yang pada pandangannya adalah amat serius dan perlu ditangani.
Isu paling besar dengan SPRM ialah, ia merupakan sebuah agensi yang berfungsi atas paksi integriti. Jika integriti sudah terhakis, luntur dan punah, apa yang dilakukannya tidak membawa apa-apa makna lagi.
Dalam erti kata lain, ia hilang kredibiliti dan kelayakan untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan. Kerana apa? Kerana ia telah kehilangan kepercayaan ramai.
Jadi, soal integriti ini sangat penting dalam usaha SPRM untuk meneruskan peranan dan tugasnya membanteras rasuah serta memerangi rasuah.
Dalam kes terbaru ini, maklumat yang diperoleh Dr Gomez perlu disahkan palsu atau benar yang kepimpinan SPRM terlibat dengan aktiviti yang boleh mencetuskan konflik kepentingan tetapi mendiamkan diri oleh pihak yang dituduh bukanlah pilihan baik kerana ia mencetuskan lagi syak wasangka dan rasa ragu-ragu dalam diri rakyat jelata.
Rakyat mahukan kebenaran kerana harapan yang disandarkan ke bahu Azam Baki dan pasukannya sangat-sangat besar dan berat. Rakyat kebanyakan mahukan SPRM yang bersih yang tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang meragukan.
Cukuplah dengan amalan rasuah dan penyelewengan di luar sana, jangan pula harapkan pagar, pagar makan padi.
Jika mereka diam membisu mereka hanya mencetuskan rasa resah dan gelisah, apakah yang tidak kena dengan SPRM sehinggakan ia bergolak sebegitu rupa.
Orang kini bercakap sehingga ke tahap, isu berkaitan wujudnya konflik kepentingan ini bukan berlaku sekarang, malah telah berlaku sejak zaman kepimpinan terdahulu lagi dalam SPRM. Ia membabitkan banyak pihak.
Pada era di mana maklumat dengan mudah tersebar dan diperoleh di hujung jari dengan sekelip mata sahaja, perkara yang berkisar kepada soal integriti dan kewibawaan kepimpinan mana-mana agensi, institusi atau badan dengan mudah dipertikaikan dan dipersoalkan.
Apabila ini berlaku, cara yang paling terhormat dan terbaik ialah tampil untuk menyatakan yang benar.
Jika kita tidak bersalah, tiada apa yang perlu diselindung dan dikhuatiri. Sebaliknya nama akan dapat dibersihkan dengan segera dan terbuka serta kehidupan dapat diteruskan seperti sediakala.
Tetapi jika kita membisu tanpa penjelasan, selama manakah kita mampu berdiam diri dan lari daripada umum dan masyarakat. Akan tiba masanya, kita akan berdepan dengan khalayak juga.
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca