TAHUN 2021 akan meninggalkan kita kurang daripada 48 jam dan kita semua akan menyambut tahun baharu 2022 tidak lama lagi. Sejak 2020, negara kita dan dunia telah melalui pelbagai tragedi. Selain tragedi ditimpa pandemik Covid-19, kita juga... Klik di sini untuk terus membaca

TAHUN 2021 akan meninggalkan kita kurang daripada 48 jam dan kita semua akan menyambut tahun baharu 2022 tidak lama lagi.

Sejak 2020, negara kita dan dunia telah melalui pelbagai tragedi. Selain tragedi ditimpa pandemik Covid-19, kita juga melalui fasa yang jarang berlaku di Malaysia sebelum ini apabila kestabilan politik dalam negara kita diuji dengan pertukaran Perdana Menteri dan kerajaan. Sejak kita melalui Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018, Malaysia telah mempunyai tiga Perdana Menteri baharu.

Pandemik Covid-19 juga menyebabkan ekonomi negara lumpuh dan ramai rakyat yang jatuh susah, sama ada hilang pekerjaan atau punca pendapatan kerana tidak dapat berniaga seperti biasa.

Tidak dinafikan, ada industri yang berlipat kali ganda keuntungan mereka pada waktu ini. Memang pada permulaan ketika kita melalui PKP yang berperingkat-peringkat, keadaan terasa sukar, namun kita berjaya mengatasi semua kesulitan, kemelut kesihatan dan ekonomi biarpun agak perlahan.

Cuma masalah generasi yang tersisih dalam pendidikan akibat Covid-19 ini adalah perkara yang nyata walaupun tidak dibincangkan secara terbuka dan memerlukan kita untuk tangani segera.

PENGURUSAN BANJIR

Belum selesai dengan semua tragedi-tragedi ini, pada Disember 2021, kita ditimpa satu lagi bencana. Mungkin bencana ini baru bagi ramai rakyat di Selangor, tetapi ia adalah bencana yang biasa berlaku di negeri di pantai timur dan utara semenanjung.

Saya faham akan kepayahan kita dalam menangani Covid-19, kerana pertama kali mengalaminya, tetapi saya tidak faham bagaimana kita masih tidak dapat menguruskan bencana banjir dalam negara dengan efisien sehingga pelbagai pihak melahirkan pelbagai kemarahan dan kecaman di media sosial. Tidak cukup dengan ketidak-siapsiagaan, ada pula yang cuba berlakon di khalayak seolah-olah mereka ini sangat prihatin.

Dalam waktu ramai rakyat dalam kesusahan, sebarang lakonan yang dilihat tidak ikhlas akan mengundang lebih banyak kritikan daripada rakyat. Pada masa sama, ramai pakar pengurusan banjir yang tidak bertauliah timbul memberi pelbagai pendapat.

Saya tidak menyalahkan mereka untuk cuba membantu, kerana orang-orang yang sebenarnya terlatih seolah-olah kelu membisu atau tercari-cari saluran untuk menyampaikan maklumat tepat bagi membantu rakyat jelata yang berada dalam kesusahan.

Alternatif Mungkin kerana itu kita tidak mendapat sebarang maklumat dari bilik operasi gerakan mengatasi banjir negara tentang bencana yang menimpa. Sepatutnya dalam keadaan bencana berskala besar seperti ini, pengumuman dan pemakluman bukan sahaja melalui televisyen, kerana banyak kawasan yang telah terputus elektrik, maka saluran radio dan alternatif lain perlu segera dicari dan digunakan dengan tujuan menyampaikan maklumat bagi menyelamatkan nyawa rakyat.

Tanpa maklumat tepat, sebarang bantuan yang datang tanpa ilmu dan pengetahuan boleh mengakibatkan bencana lain pula. Sebagai contoh, menghantar makanan dimasak kepada mangsa yang mungkin tidak dapat menyimpan lebihan makanan yang mereka terima itu akan bukan sahaja menjadi pembaziran tetapi juga boleh rosak dan membawa penyakit. Makanan kering seperti biskut dan roti selalunya menjadi keutamaan.

Apa yang penting dilakukan segera selepas kita menghadapi sebarang bencana adalah disusuli dengan satu penilaian keperluan setempat. Keadaan di Sungai Lui, Hulu Langat umpamanya mungkin tidak sama dengan keadaan yang menimpa Mentakab. Bantuan yang diperlukan sudah tentu berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Kita tidak pasti tragedi apa lagi yang menanti kita selepas ini. Soalnya apakah kita sudah bersiap sedia untuk menghadapi tahun 2022? Pada waktu seperti ini, kita sangat mendambakan seorang pemimpin negara yang akan dapat membawa kita keluar daripada semua kemelut ini. Semoga tahun 2022 akan menjadi lebih baik untuk Malaysia. Selamat tahun baharu!

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca