SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mendesak agar satu kertas siasatan segera dibuka terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan isu meluluskan 943 projek yang tidak selaras dan melanggar pelan asal jabatan tersebut. Ia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mendesak agar satu kertas siasatan segera dibuka terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan isu meluluskan 943 projek yang tidak selaras dan melanggar pelan asal jabatan tersebut.

Ia termasuklah pendedahan laporan enam kolam takungan banjir di Bandaraya Kuala Lumpur telah diluluskan untuk tujuan pembangunan, sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 yang kembali tular di media sosial sejak Selasa.

Menurut Presiden MCW, Jais Abdul Karim, isu berkenaan amat serius kerana keselamatan orang ramai, khususnya warga kota menjadi taruhan sekiranya tiada tindakan segera dilakukan oleh pihak berwajib.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu membuka kertas siasatan secepat yang mungkin kerana kita perlu tahu adakah kelulusan itu mengikut saluran dan prosedur yang betul.

"Sekiranya benar keenam-enam kawasan kolam tadahan banjir tersebut diberikan kebenaran untuk pembangunan, maka ia adalah tanda-tanda bencana besar yang akan melanda Kuala Lumpur pada masa hadapan.

"Kita tidak boleh membiarkan kawasan yang telah direzab digunakan untuk tujuan pembangunan, walau apa alasan sekalipun kerana keselamatan penduduk dan masyarakat di Kuala Lumpur adalah lebih penting,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2, setakat 31 Disember 2020, enam kolam takungan banjir telah diluluskan pemberimilikan bagi tujuan pembangunan kediaman dan pembangunan bercampur.

Kolam takungan banjir yang terlibat adalah Kolam Batu, Kolam Nanyang, Kolam Delima, Kolam Taman Wahyu, Batu 4 ½ dan Taman Desa.

Laporan itu turut mendedahkan, prestasi zon guna tanah Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 2020 tidak tercapai sepenuhnya, seperti mana yang ditetapkan dalam Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBRKL) 2020.

Malah, kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 22(1) Akta 267 membolehkan Datuk Bandar meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun ia tidak selaras dengan PBRKL 2020.

Laporan itu turut menyebut, perubahan zon guna tanah dan intensiti pembangunan ini memberi kesan kepada alam sekitar dan pertambahan kepadatan serta berlaku pengurangan tanah lapang awam, kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur dan kesesakan lalu lintas.

Klik di sini untuk terus membaca