CUACA sejuk tetapi tidak sampai menggigil. Saya tiba di sini dengan menaiki kereta api bawah tanah tetapi kemudian menyambung perjalanan dengan bas untuk sampai ke Astoria Place yang kelihatan sama seperti dahulu ketika zaman saya... Klik di sini untuk terus membaca

CUACA sejuk tetapi tidak sampai menggigil. Saya tiba di sini dengan menaiki kereta api bawah tanah tetapi kemudian menyambung perjalanan dengan bas untuk sampai ke Astoria Place yang kelihatan sama seperti dahulu ketika zaman saya belajar.

Selama tiga tahun saya belajar dan menetap di New York, saya berpindah beberapa kali termasuk tinggal dua semester di asrama. Tempat terakhir saya tinggal ialah di Astoria di daerah Queens di bandar raya ini. Ia agak jauh dari kampus dan saya terpaksa ambil dua kereta api dan sejam untuk sampai ke dewan kuliah.

Pada masa itu, Astoria merupakan sebuah kawasan biasa yang mempunyai ramai orang keturunan Yunani (Greece) dan tidak ada masyarakat Islam kecuali beberapa orang Melayu dari Malaysia yang terdiri daripada pelajar di beberapa universiti yang mengambil pelbagai bidang berbeza.

Jadi, apabila saya kembali ke sana, saya agak terkejut melihat begitu ramai orang Islam dan restoran menjual makanan halal yang dibuka oleh orang dari Bangladesh dan Pakistan.

Dulu kalau hendak makan makanan halal kena masak sendiri; atau pergi ke restoran halal yang jauh. Kadangkala saya dan rakan-rakan masak sate di Taman Astoria yang terletak tidak jauh dari rumah sewa kami.

Yang lebih mengejutkan ialah kini terdapat dua buah masjid yang dipanggil pusat Islam di kawasan ini. Kalau kita pergi ke perhentian bas kita akan dapat melihat ramai wanita Islam berbanding masyarakat tempatan dan bukan Islam lain yang kelihatan begitu sedikit.

Setiap kali saya balik ke New York saya akan pergi ke Astoria untuk mengimbau pengalaman lama bersama rakan-rakan dengan anak mereka yang ketika itu masih kecil dan belum bersekolah yang kini sudah beranak-pinak.

TIMES SQUARE, BROADWAY KEMBALI RANCAK

Pada 8 Disember lalu, genap 40 tahun penyanyi utama kumpulan The Beatles, John Lennon ditembak mati di hadapan bangunan The Dakota di mana dia bermastautin. Saya kebetulan sedang menonton televisyen sambil makan apabila sebuah berita laluan (crawler) yang baru sahaja diperkenalkan oleh stesen televisyen di Amerika mengumumkan yang Lennon mati dibunuh Keesokan harinya saya beli akhbar The New York Post dengan berita muka depan tentang kejadian itu, yang saya simpan sehingga sekarang.

Pada tahun 1978 dahulu, daerah hiburan dan teater yang paling terkenal di seluruh dunia terletak di New York bernama Broadway, kelihatan comot; dan banyak kedai di sini yang menjual barang-barang lucah dengan pawagam menayangkan filem-filem lucah dengan lelaki jual dadah secara terang-terangan. Dan jenis pelancong yang berkunjung ke sini adalah yang dewasa.

Tetapi tidak lama kemudian mulai dalam dekad 1980-an Datuk Bandar New York bertindak membersihkan seluruh kawasan ini daripada ia dikenali sebagai ‘pusat hiburan orang dewasa’ kepada ‘pusat hiburan keluarga’ dan semua kedai yang menjual barang-barang lucah dan pawagam yang menayang filem lucah juga ditutup dan tempatnya diambil alih oleh perniagaan biasa.

Dengan daerah Broadway yang terletak di dalamnya, Times Square atau Medan Times berjaya bertukar corak dengan sekarang ini menjadi pusat tumpuan ramai orang yang datang ke sini semata-mata kerana namanya, sedangkan apa yang ada di sini sebenarnya hanya ruang kosong yang tidak begitu luas dengan kedai menjual barang berjenama dan puluhan dewan untuk persembahan teater.

Saya sempat menonton drama Evita dalam tahun 1981 dahulu dan itu pun untuk persembahan matinee pada hujung minggu yang menjual tiket dengan harga rendah tetapi mengguna pelakon sampingan, sebab pada hujung minggu pelakon utama berehat.

Pernah berlaku Duta Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zain Azraai buat sedikit kecoh apabila dia dengan sengaja tinggalkan kereta rasminya di Times Square beberapa hari sehinggakan pihak media siar gambar kereta itu dengan bertanya, kenapa ia terletak di situ.

Zain Azraai dengan sikap pelik yang disengajakan memberitahu ia adalah helah untuk mendapatkan publisiti untuk negara di media New York.

Dan berbeza dengan dulu, sekarang ini juga terdapat banyak restoran yang menghidang makanan halal dan juga trak makanan halal di hampir semua simpang di seluruh bandaraya ini; dan saya dapat tahu orang yang memiliki perniagaan ini ialah seorang lelaki Bangladesh. Dulu langsung tidak ada walau seorang pun warga Bangladesh di New York tetapi sekarang mereka ada di mana-mana.

Dan kalau dulu cuma ada dua buah masjid yang terletak di dalam ruang kedai, tetapi sekarang sudah ada 500 masjid di seluruh bandar dengan beberapa kawasan di semua daerah di New York mempunyai daerah Arab, Bangladesh dan masyarakat Islam termasuk di Astoria di daerah Queens di mana saya menetap dahulu.

Malah kita juga akan lihat semua perniagaan menjual buah-buahan dan pengedaran surat khabar dan majalah yang juga dikuasai oleh orang Bangladesh.

Saya juga dapat melihat lelaki dan juga perempuan Bangladesh menjadi pegawai polis. Kebanyakan mereka datang ke sini dengan mendapat ‘kad hijau’ atau green card yang diberi kepada mereka yang menang dalam cabutan bertuah dijalankan pihak berkuasa Amerika.

Jadi tidak hairanlah, ada beberapa orang Bangladesh di Malaysia yang saya kenal bekerja di stesen minyak selalu tanya kalau saya boleh bantu mereka untuk pergi ke Amerika. Satu pemandangan yang paling memberangsangkan pada saya ialah bila Hari Raya Puasa, masyarakat Islam di sini bersembahyang di atas jalan mengisi setiap ruang yang ada sebab jumlah mereka begitu ramai sekarang.

Saya teringat pertama kali datang ke New York pada hujung Ramadan dan pergi sembahyang raya yang diadakan dalam dewan sebuah hotel utama di sini iaitu Wardorf-Astoria Hotel dan jumlah masyarakat Islam ketika itu tidak besar sangat.

Satu sahaja yang saya mahu lihat berlaku di Broadway dan Times Square ialah sebuah persembahan teater tentang pengalaman orang Melayu di Amerika sebab tentu ada banyak bahan tentang sejarah dan kisah orang Melayu yang dapat dijadikan persembahan pentas di Broadway.

Alangkah baiknya jika kita mempunyai sebuah daerah teater dan hiburan umum di Kuala Lumpur seperti Broadway di Amerika?

* Mansor Puteh ialah pengarah dan pengkritik filem serta budaya

Klik di sini untuk terus membaca