PADA minggu lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dilaporkan berbincang dengan seorang Menteri Indonesia tentang kemungkinan negara Islam terbesar di dunia itu akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
Perbincangan tentang isu tersebut diadakan selepas Kuasa Usaha Israel di Bahrain, Itay Tagner berbual dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto di luar persidangan Dialog Manama yang diadakan di negara beraja tersebut pada bulan lalu.
Malah, Penasihat Keselamatan Israel, Eyal Hulata yang juga bekas pegawai agensi perisikan rejim Zionis iaitu Mossad juga bertemu dengan Prabowo Subianto dan dilaporkan bertukar-tukar kad nama dengannya, menurut laman berita Walla.
Bagaimanapun, baru-baru ini, Jakarta mengesahkan bahawa isu menormalisasikan hubungan dengan Israel memang dibangkitkan oleh Setiausaha Negara AS itu ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi.
Dalam pertemuan itu, Retno dilaporkan memberitahu Blinken tentang pendirian konsisten Indonesia terhadap Palestin.
Ia disahkan oleh Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah kepada agensi berita Nikkei Asia pada 26 Disember lalu bahawa dalam pertemuan dengan Blinken itu, Retno menyampaikan pendirian konsisten Indonesia mengenai isu Palestin.
Dalam pertemuan itu juga Menteri Luar tersebut menyatakan bahawa Indonesia akan terus bersama rakyat Palestin untuk memperjuangkan keadilan dan kemerdekaan.
Berikutan kenyataan itu, harapan AS untuk melihat Jakarta memulakan langkah untuk menormalisasikan hubungan dengan Tel Aviv itu akhirnya tidak menjadi realiti buat masa ini.
BUKAN KALI PERTAMA
Ia bukannya kali pertama Indonesia dipujuk menjalinkan hubungan dengan Israel.
Spekulasi Indonesia menjalin hubungan diplomatik dengan Israel tersebar di seluruh dunia selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menandatangani Permufakatan Abraham atau Abraham Accord di Rumah Putih, Washington, AS untuk menjalin hubungan diplomatik dengan rejim Zionis pada tahun lalu ketika Donald Trump daripada Parti Republikan menjadi Presiden AS.
Permuafakatan Abraham itu merujuk kepada perjanjian yang telah ditandatangani setakat ini antara Israel dan empat negara yang mempunyai majoriti penduduk Muslim iaitu UAE, Bahrain, Maghribi dan Sudan.
Selepas ia berjaya ditandatangani, bukan sahaja Indonesia tetapi juga Malaysia juga turut disebut-sebut akan mengikut langkah keempat-empat negara tersebut.
Namun, Jakarta dan Putrajaya menafikan akan melakukan perkara yang sama.
Persoalan mengenai kemungkinan Indonesia menjalin hubungan diplomatik dengan Israel itu juga sekali lagi menarik perhatian media Israel dan Indonesia sama seperti spekulasi yang muncul pada tahun lalu selepas beberapa negara Timur Tengah bersetuju untuk menormalkan hubungan dengan rejim Zionis, menurut agensi berita Antara.
Agensi berita Indonesia tersebut menyatakan bahawa negara yang mempunyai ramai penduduk Muslim itu adalah salah sebuah negara yang cuba dibawa oleh pemerintahan Trump ketika itu bagi menyertai Permufakatan Abraham tetapi ia terhenti selepas beliau tersingkir daripada jawatan Presiden AS.
Namun, usaha Trump itu tidak terhenti setakat itu walaupun jawatan Presiden AS kini dipegang oleh Joe Biden daripada Parti Demokrat yang menang menewaskannya dalam pilihan raya Presiden negara itu pada tahun 2020.
Ketika spekukasi itu bertiup kencang, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dilaporkan pernah memberitahu Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas bahawa negaranya tidak sama sekali akan menjalin hubungan dengan Israel.
Sungguh pun begitu, Jokowi dilaporkan berkata bahawa Jakarta akan hanya menjalin hubungan dengan Tel Aviv jika sebuah negara Palestin dapat ditubuhkan.
Usaha yang dilakukan oleh Washington itu untuk memujuk Indonesia menjalin hubungan dengan Israel adalah sejajar dengan kenyataan seorang pegawai kanan AS yang berkata bahawa pentadbiran Biden bekerja secara senyap tetapi agak tekun untuk memperluaskan keanggotaan Permufakatan Abraham, sambil menambah bahawa ia mungkin akan mengambil masa.
Justeru, persoalannya kini adakah pujukan AS itu akan berakhir begitu sahaja? - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca