SHAH ALAM - Kawasan kolam takungan banjir tidak patut diluluskan untuk tujuan pembangunan sekiranya tiada kawasan kolam tadahan gantian kerana impak buruk yang bakal ditanggung masyarakat akibat bencana pada masa akan datang. Pensyarah seni... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kawasan kolam takungan banjir tidak patut diluluskan untuk tujuan pembangunan sekiranya tiada kawasan kolam tadahan gantian kerana impak buruk yang bakal ditanggung masyarakat akibat bencana pada masa akan datang.

Pensyarah seni bina daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mazlan Mohd Tahir berkata, kolam takungan banjir yang telah digazetkan seharusnya dikekalkan tujuan guna asal kerana manusia tidak dapat meramalkan bencana masa depan malah pembangunan yang lebih pesat memerlukan kolam takungan yang lebih besar untuk menangani isu banjir.

Menurutnya, kolam takungan ialah kolam buatan kekal dan berfungsi sebagai satu pengurusan saliran mesra alam untuk menyimpan air larian, menggalakkan pemendapan dan mencegah banjir.

"Lazimnya kolam takungan diwujudkan di kawasan di mana bangunan baharu, jalan raya dan tempat letak kereta dibina.

"Kolam takungan direka bentuk untuk mengendalikan kemasukan air yang pantas daripada hujan lebat berterusan.

"Jadi kalau sesuatu tempat itu telah digazetkan sebagai kolam takungan banjir, seeloknya dielakkan dibuat pembangunan.

"Masih banyak kawasan lain yang boleh dibangunkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mazlan menjelaskan, jika kawasan takungan banjir itu tetap mahu dibangunkan, perlu disediakan kolam takungan banjir gantian bagi mengelak banjir.

Ditanya tentang faktor sesuatu projek di kawasan kolam takungan banjir boleh diluluskan, Mazlan memberitahu, kemungkinan ada peraturan atau justifikasi yang telah ditetapkan kepada pemaju untuk dipenuhi hasil kajian yang dilakukan.

Kata beliau, peraturan itu mengambil kira aliran air di kawasan terbabit dan keperluan untuk meninggikan kawasan berkenaan dengan penambakan tanah agar ia tidak ditenggelami air selain mengambil kira reka bentuk bangunan.

Klik di sini untuk terus membaca