SHAH ALAM - Penganalisi politik berpandangan kabinet baharu diumumkan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mampu memenuhi aspirasi kepelbagai komposisi kaum dan menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri untuk memenuhi 34 Aku Janji terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Malah, pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah, Datuk Seri Prof Dr Sim Kui Hian sebagai salah seorang daripada tiga orang Timbalan Ketua Menteri Sarawak adalah tepat susulan kejayaan parti pimpinannya iaitu Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) yang memenangi 13 daripada 18 kerusi ditandingi pada PRN lalu.
Sementara dua lagi jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak pula kekal disandang oleh ADUN Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan ADUN Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, pelantikan Kui Hian sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak adalah wajar kerana SAPP memenangi lebih banyak kerusi berbanding 11 kerusi dimenangi oleh satu lagi parti komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Parti Rakyat Sarawak.
"Pembentukan Kabinet baharu berkenaan juga menggambarkan prinsip keterangkuman demografi masyarakat pelbagai kaum di Sarawak di mana seorang Timbalan Ketua Menteri dilantik mewakili komuniti orang Melayu, Dayak dan Cina.
"Pelantikan Dr Sim (Kui Hian) sebagai Timbalan Ketua Menteri baharu dalam Kabinet Abang Johari sudah pasti akan disambut baik oleh masyarakat Cina dan bukan Melayu di Sarawak," katanya kepada wartawan Sinar Premium, pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan nama Kui Hian disebut-sebut menjawat jawatan itu selepas parti pimpinannya SUPP cemerlang merampas lima kerusi majoriti masyarakat Cina daripada DAP.
Beliau akan menggalas tanggungjawab Timbalan Ketua Menteri yang dikosongkan mendiang Tan Sri James Jemut Masing.
Mengulas lanjut, Jeniri berkata, pelantikan Kui Hian dan pembentukan kabinet baharu berkenaan dilihat mampu membantu GPS memenangi lebih banyak kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding hanya 18 kerusi Dewan Rakyat disandang mereka sekarang.
"Biarpun jumlah kementeriannya tidak berubah namun terdapat penakenan khusus termasuk dari segi pembangunan infrastruktur, sumber manusia dan wilayah, keusahawanan, industri kreatif, telekomunikasi, sumber ekonomi baharu dan kelestarian alam sekitar serta pembangunan bakat muda.
"Saya percaya ini dapat membantu Ketua Menteri untuk menjayakan segala agenda ditetapkan dan menifesto dilancarkan tempoh pada PRN Sarawak tempoh hari mampu direalisasikan sepenuhnya dalam tempoh 5 tahun akan datang," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca