SHAH ALAM - Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang menegaskan beliau tidak akan berdiam diri sekiranya dakwaan mengenai salah laku pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang menegaskan beliau tidak akan berdiam diri sekiranya dakwaan mengenai salah laku pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai bukti.

Malah tegas Abu Zahar, beliau akan memastikan supaya semua pegawai SPRM termasuk Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki diambil tindakan tegas jika melanggar undang-undang.

"Saya memang sentiasa berhubung dengan Azam dan beliau telah memberi pengakuan serta kerjasama dengan mana-mana pihak supaya imej dan integriti SPRM tidak terhakis.

"Di samping itu, saya akan memastikan semua pihak bersikap telus, profesional dan tidak melakukan penganiayaan kepada sesiapapun,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Kata Abu Zahar, dakwaan kononnya beliau dan beberapa pihak berkaitan membisu adalah tidak benar sama sekali.

"Saya tidak membisu dan Tan Sri Borhan Dolah (Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah) juga sudah memberi kenyataan. Sesiapa sahaja yang didapati bersalah melanggar mana-mana etika, tindakan tegas akan dikenakan tanpa mengira pangkat.

"Saya mengalu-alukan sebarang badan yang boleh bantu buktikan kesalahan mana-mana pihak termasuk Ketua Pesuruhjaya atau menteri. Namun, tidak adil jika keputusan dibuat tanpa bukti kukuh dan siasatan terperinci,” katanya.

AJAK BERSEMUKA

Malah katanya, beliau sendiri sudah mengajak pakar ekonomi, Profesor Dr Edmund Terence Gomez untuk bertemu secara bersemuka susulan dakwaannya berkaitan pegawai tinggi SPRM terlibat dengan konflik dalaman.

Bagaimanapun, permintaannya untuk bertemu empat mata bagi berbincang dan menyelesaikan konflik ini bersama Dr Gomez ditolak.

"Baru-baru ini, saya meminta Sekretariat LPPR untuk menghubungi Dr Gomez supaya kita dapat berbincang secara bersemuka mengenai isu ini di SPRM atau di pejabat Jalan Duta.

"Namun, Dr Gomez menolak cadangan tersebut dan mahu melakukannya secara dalam talian. Saya rasa bersemuka secara berdepan adalah jalan terbaik untuk berbincang dan tiada apa yang perlu ditakutkan kerana saya hanya mahu kebenaran,” katanya.

Abu Zahar berkata, beliau boleh mengajak Azam sekiranya Dr Gomez mahu bersemuka dan meyakinkan beliau tentang tuduhan salah laku tersebut.

"Kalau dia mahu datang, saya boleh panggil Azam. Tidak ada masalah. Kita perlu menyelesaikan masalah ini segera.

"Jika beliau boleh buktikan dan yakinkan saya, tindakan akan dikenakan dan saya akan tegas dengan keputusan saya,” katanya.

Abu Zahar bagaimanapun menafikan dakwaan menerima surat daripada Dr Gomez dan beliau berpendirian bahawa tidak ada apa yang perlu ditakuti atau disorok sekiranya dakwaan yang dilemparkan itu benar.

"Saya tidak berbohong dan saya telah melakukan pemeriksaan bersama pentadbiran saya di SPRM namun tidak ada satu pun surat yang saya terima.

"Saya pasti apa yang saya cakap. jadi dakwaan itu mengarut dan tidak perlu mempersoalkan integriti dan kredibiliti saya."Saya tidak pernah menerima apa-apa surat mahupun e-mel daripadanya. Ada satu surat atau e-mel yang ditularkan pada media sosial mengatakan dia telah CC kepada saya, namun saya tidak menerimanya,” kata Abu Zahar.

Peletakan jawatan Gomez baru-baru ini memberi tamparan kepada SPRM dan beberapa panel yang berkaitan dengan suruhanjaya itu.

Dalam pada itu, Abu Zahar berharap agar isu dalaman SPRM itu tidak dipolitikkan oleh orang tertentu dan badan tersebut akan terus beroperasi sebagai badan yang diyakini rakyat.

"Pemimpin datang dan pergi tetapi SPRM mesti diyakini oleh rakyat. Saya mesti pertahankan SPRM dan sesiapa sahaja yang bersalah, tindakan tegas akan diambil walaupun Ketua Pesuruhjaya atau menteri.

"I fear nobody but ALLAH, my conscious are clear and my hand are clean.

"Saya harap isu ini juga tidak dipolitikkan kerana ia melibatkan isu dalaman SPRM,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca