ESOK kita akan memasuki 2022. Banyak evolusi berkaitan kejuruteraan yang berlaku sepanjang tahun ini. Pada penghujung Disember, kisah Elon Musk dan X-Space terus jadi bahan bualan. Evolusi artificial intelligent (kecerdasan buatan) pasti... Klik di sini untuk terus membaca

ESOK kita akan memasuki 2022. Banyak evolusi berkaitan kejuruteraan yang berlaku sepanjang tahun ini.

Pada penghujung Disember, kisah Elon Musk dan X-Space terus jadi bahan bualan.

Evolusi artificial intelligent (kecerdasan buatan) pasti kekal menjadi teras Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sepanjang tahun hadapan.

Namun, ada agenda penting kepada semua jurutera dan teknologis pada 2022.

Tragedi banjir di Lembah Klang, khususnya di Taman Sri Muda dan Hulu Langat menjadi bahan renungan wajib.

Mereka kini ada tanggungjawab sosial mencari jalan penyelesaian bagi menangani masalah tersebut.

Cuba renung tentang Belanda. Satu per tiga Belanda terletak di bawah paras laut.

Titik terendah adalah dua meter di bawah paras laut, manakala titik tertinggi 300 meter dari paras laut.

Amsterdam pula terletak 1.8 meter di bawah paras laut. Sepatutnya Amsterdam akan dilanda banjir dengan mudah.

Sekeliling Amsterdam dipasang sistem saliran penuaian air hujan secara meluas bagi memastikan ia selamat.

Menerusi sistem daik atau saluran air kompleks, pam dan bukit pasir di sepanjang pantai disalurkan ke Tasik Ijssel.

Saliran air Sungai Ijssel mengalir ke Ijsselmeer dan beberapa tasik lain bagi memastikan Belanda kekal di atas paras laut.

Nah, ini yang perlu difikirkan jurutera dan teknologis tentang Taman Sri Muda.

Kampung Sungai Lanchong dan Taman Sri Muda dengan keluasan muka buminya antara tiga dan empat kilometer persegi perlukan tasik seluas antara 500,000 dan 700,000 meter persegi.

Dengan kedalaman enam meter, ia boleh mengumpul dan menyimpan banyak air hujan ribut pada satu-satu masa.

Hujan adalah antara lima perkara ghaib tidak diketahui manusia bila berlakunya kecuali ALLAH SWT sebagaimana hadis nabi [Bukhari:1984] bermaksud:

"Lima kunci hal yang ghaib, tiada mengetahuinya selain ALLAH; (pertama) Tiada mengetahui apa yang tersimpan dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan ALLAH;

(kedua) Tiada yang mengetahui apa yang akan terjadi esok melainkan ALLAH;

(ketiga) Tiada seorang pun mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan ALLAH;

(keempat) Tiada mengetahui seseorang di negeri mana dia akan meninggal dunia melainkan ALLAH; (kelima) Dan tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan ALLAH.”

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) hanya mampu meramal.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berperanan meluluskan Laporan Cadangan Sistem Larian Penuaian Air Hujan (LCLAH).

Antara faktor dipertimbangkan dalam LCLAH adalah corak taburan hujan, keluasan tapak kawasan pembinaan bandar atau taman, penggunaan semula air tadahan hujan dan pulangan pelaburan keseluruhan.

TADAHAN AIR HUJAN

Pada masa sama, penulis mengharapkan jurutera dan teknologis memberi penerangan tentang rainwater harvesting serta runoff rainwater harvesting.

Ia berkaitan soal mengurus, mengawal dan mengguna air hujan secara ‘in-situ’ dalam persekitaran hujan penuaian air hujan.

Rakyat perlu dididik memahami kaedah pengumpulan air hujan untuk pengairan yang mengalir di sepanjang permukaan tanah semasa hujan.

Ia boleh dikumpulkan di dalam tangki tadahan di bawah paras air (water level).

Tangki atau tadahan air hujan atau rainwater catchment boleh dibina mengguna batu-bata dilepa dengan simen.

Kaedah itu sangat penting bagi memastikan pemuliharaan air secara cekap untuk mengurangkan sejatan.

Penulis juga mencadangkan tangki tadahan dibina berbentuk silinder menegak dengan penutup tangki rata kerana reka bentuk sebegini mampu menahan tekanan lebih tinggi.

Penulis juga berharap kerajaan mengutamakan pengurusan air ribut (stormwater management) khususnya di kawasan pembangunan bandar atau pembangunan penempatan baharu.

Justeru, kenapa Lembah Klang sering dilanda banjir kilat? Hujan ribut petir setempat yang lama dan kuat menyebabkan berlaku kelodak berat atau heavy siltation, sekali gus menghalang air menuju ke sungai.

Kejadian di Kampung Bukit Lanchong baru-baru ini adalah kerana air hujan terkumpul dianggarkan sembilan juta meter padu atau 9,000 juta liter padu, manakala Taman Sri Muda mengumpul 12 juta meter padu air.

Ia membentuk lautan besar yang memerangkap penduduk di kawasan berkenaan.

Kesimpulannya, kerajaan harus segera melaksanakan kajian terperinci di kawasan tersebut termasuk mengenal pasti sistem larian tadahan air hujan ribut.

Kegagalan berbuat demikian akan menjadikan Taman Sri Muda lautan perangkap yang boleh meragut banyak nyawa pada masa akan datang.

* Profesor Ir Dr Muhidin Arifin ialah Ketua Operasi Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) Selangor

Klik di sini untuk terus membaca