KRISIS Ukraine yang melibatkan Rusia dan para pejuang pemisah pro-Moscow sejak bulan lalu belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.
Malah, ia mungkin berlanjutan lagi sehingga tahun 2022 ketika dua kuasa besar dunia Rusia dan Amerika Syarikat (AS) bertemu pada bulan Januari tahun depan .
Rundingan itu dibuat selepas berminggu-minggu ketegangan meningkat dengan Washington menuduh Rusia mengumpulkan puluhan ribu askar di sekitar Ukraine dan merancang untuk melakukan pencerobohan pada musim sejuk.
Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan AS memberitahu AFP lewat Isnin bahawa rundingan dengan Rusia akan berlangsung pada 10 Januari depan di Geneva, Switzerland melibatkan Presiden AS, Joe Biden dan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin.
Pertemuan itu diadakan selepas Moscow mendesak bahawa askar-askar pihak Barat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semakin hampir dengan sempadan Rusia selain membuat tuntutan keselamatan iaitu NATO tidak boleh menerima mana-mana anggota baharu.
Rusia turut berusaha bagi memastikan AS tidak menubuhkan pangkalan baru di Ukraine yang sebelum ini pernah menyertai Kesatuan Soviet yang berfahaman komunis.
Setelah rundingan dengan Rusia itu diumumkan, kapal pengangkut pesawat AS, Harry S. Truman dan lima lagi buah kapal perang milik negara tersebut diarahkan supaya kekal berada di Laut Mediterranean dan tidak belayar ke Timur Tengah.
Arahan itu diberikan di tengah-tengah kebimbangan mengenai penambahan ribuan tentera Rusia berhampiran sempadan Ukraine.
Semua perkembangan itu berlaku selepas Rusia mengumumkan tamatnya latihan ketenteraan di beberapa wilayah selatan termasuk Rostov, Krasnodar dan Crimea yang sebelum ini dirampas oleh Moscow dari Ukraine pada tahun 2014.
Latihan ketenteraan itu diadakan ketika negara-negara Barat menuduh Rusia mengumpulkan lebih 100,000 askar berhampiran Ukraine sebelum ia dikatakan akan menceroboh negara berkenaan pada tahun depan.
Menurut anggaran Kiev, bilangan tentera Rusia di sepanjang sempadan Ukraine telah meningkat daripada sekitar 93,000 askar pada Oktober lalu kepada lebih 103,000 anggota pasukan keselamatan.
Namun, Moscow menyatakan ia bebas untuk menggerakkan askar-askarnya di dalam wilayahnya dan menafikan akan melakukan serangan secara besar-besaran ke atas Ukraine .
PERPECAHAN ETNIK
Krisis di Ukraine sebenarnya bermula dengan protes jalanan di ibu kota Kiev pada November 2013 terhadap keputusan Presiden Ukraine ketika itu, Viktor Yanukovych menolak perjanjian untuk integrasi ekonomi yang lebih besar dengan Kesatuan Eropah (EU) .
Putin dilaporkan mahu Kiev menyertai Kesatuan Kastam pimpinan Moscow dan dianggarkan sebanyak 45 peratus penduduk Ukraine menyokong hubungan yang lebih erat dengan pihak Barat.
Namun, tunjuk-tunjuk perasaan itu kemudian menarik kehadiran ramai orang selepas pasukan keselamatan negara memerangi protes tersebut manakala Yanukovych bertindak melarikan diri dari negara itu pada Februari 2014 dengan Perbadanan Penyiaran British (BBC) melaporkan Putin menyatakan bahawa Moscow telah membantu beliau melarikan diri.
Pada Mac 2014 pula tentera Rusia menguasai wilayah Crimea iaitu jiran Ukraine, selepas penduduknya mengundi untuk menyertai Moscow dalam satu referendum tempatan yang dipertikaikan oleh pelbagai pihak.
Krisis itu kemudian meningkatkan perpecahan etnik dan dua bulan kemudian para pemisah pro-Rusia di wilayah Donetsk dan Luhansk mengadakan referendum untuk mengisytiharkan keluar dari Ukraine.
Selepas tiga kejadian besar itu berlaku, sebuah pesawat komersial milik Malaysia Airlines iaitu MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur dan membawa seramai 283 orang termasuk 15 kru ditembak jatuh dengan peluru berpandu dari darat ke udara pada 17 Julai 2014 di ruang udara Ukraine di wilayah yang dilanda konflik.
Pesawat itu terhempas selepas ia ditembak dari sistem peluru berpandu BUK buatan Rusia di timur Ukraine, lapor siasatan yang dilakukan selama 15 bulan oleh Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) pada Oktober 2015.
Empat suspek kemudian dibicarakan tanpa kehadiran mereka di mahkamah iaitu tiga warga Rusia, Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Oleg Pulatov dan seorang rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko yang dituduh melancarkan serangan peluru berpandu tersebut dan mengenai pesawat berkenaan di timur Ukraine.
Pada minggu lalu, pihak pendakwa raya meminta hukuman penjara seumur hidup terhadap keempat-empat suspek tersebut yang dibicarakan di sebuah mahkamah di Belanda.
Menurut siasatan antarabangsa, peluru berpandu BUK itu pada asalnya dibawa dari pangkalan tentera Rusia kononnya untuk digunakan dalam memerangi tentera Ukraine.
Bagaimanapun, keputusan keempat-empat lelaki tersebut yang disyaki memainkan peranan penting sehingga menyebabkan pesawat MH17 jatuh, paling awal pun akan diketahui pada awal tahun depan.
Selepas tujuh tahun kejadian nahas MH17, hubungan Moscow dan Kiev semakin tegang sehingga ada yang merujuk kemungkinan dunia akan berdepan satu lagi perang. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca