SEORANG nelayan, Edi Saputra telah berada di laut selama empat hari di luar pantai Aceh, Indonesia ketika dia mendapat panggilan daripada seorang rakan yang memintanya untuk datang dengan segera. Ini adalah kerana terdapat sebuah kapal... Klik di sini untuk terus membaca

SEORANG nelayan, Edi Saputra telah berada di laut selama empat hari di luar pantai Aceh, Indonesia ketika dia mendapat panggilan daripada seorang rakan yang memintanya untuk datang dengan segera.

Ini adalah kerana terdapat sebuah kapal hanyut yang penuh dengan sejumlah pendatang asing.

Saputra dan rakan-rakan nelayannya menuju ke tempat itu, kira-kira 48.28 kilometer jauhnya yang mana rakannya sedang menunggu dekat sebuah kapal kayu kecil yang hanyut di lautan.

Satu rakaman video menunjukkan kapal itu yang penuh dengan sejumlah etnik Rohingya dengan kebanyakannya ialah wanita dan kanak-kanak.

"Ketika sampai di sana, mereka bercakap dengan kami menggunakan bahasa isyarat yang meminta makanan dan air," kata Saputra yang berusia 39 tahun kepada AFP.

"Kami tidak mempunyai banyak makanan pada masa itu kerana kapal kami kecil tetapi kami memberikan semuanya kepada pelarian tersebut," ujarnya.

Kemurahan hati dan belas kasihan yang ditunjukkan oleh penduduk Acheh terhadap penderitaan lebih 100 pelarian Rohingya sangat bertentangan dengan sikap pihak berkuasa Indonesia dan juga negara-negara jiran kerana pelarian daripada kumpulan minoriti Muslim yang dianiaya Myanmar itu tidak mendapat perhatian sepenuhnya di lautan.

Hanyut di Lautan Hindi setelah kapal itu mengalami masalah kegagalan enjin, para pendatang tersebut berada dalam keadaan kesulitan ketika mereka ditemui pada 25 Disember lalu, kata Saputra.

Kapal itu dikatakan sudah berada di lautan selama lebih 20 hari.

Ia terlebih muatan dengan para penumpang dan cuaca yang semakin buruk boleh mengundang malapetaka.

"Saya benar-benar ingin menolong mereka. Terdapat ramai kanak-kanak dan wanita. Saya menangis melihat anak-anak ini ketika mereka (anak-anak pelarian Rohingya) mengingatkan saya tentang anak-anak saya di rumah," ujar Saputra.

Lokasi kapal kayu itu kemudian diberitahu oleh nelayan Indonesia kepada pihak berkuasa.

Bekalan termasuk makanan dihantar kepada pelarian Rohingya yang terkandas di luar pantai Acheh selama empat hari. - Foto AFP

Para nelayan itu juga berada dekat dengan kapal tersebut kerana bimbang ia akan karam, kata Saputra.

"Kami berada di sana (tempat kapal Rohingya hanyut) selama dua hari untuk mengawasi dan melindungi mereka.

"Kami menghubungi nelayan Aceh yang lain di daerah itu untuk datang kerana kami kehabisan makanan. Mereka datang, membawa makanan dan membagi-bagikannya kepada Rohingya," ujar Saputra.

Pada saat Saputra kembali ke komuniti nelayannya di Bireun lebih 112 kilometer jauhnya, dia menyatakan terdapat sekitar 30 kapal nelayan lain yang 'menjaga' kapal pelarian Rohingya itu.

"Semua mereka ingin menolong dan menunda kapal Rohingya tetapi kami tidak boleh," katanya.

BIMBANG TINDAKAN KERAJAAN

Pemimpin tempatan mengatakan beberapa nelayan takut sekiranya mereka bertindak membawa pendatang asing ke Indonesia tanpa mendapat persetujuan rasmi kerajaan.

Bagi kebanyakan penduduk Acheh, kenangan konflik berdarah selama puluhan tahun menjadikan mereka lebih bersimpati dengan penderitaan sesama pelarian Muslim.

"Kami juga mengalami konflik yang pahit selama hampir 30 tahun pada masa lalu. Pada masa itu banyak komuniti antarabangsa bekerjasama untuk membantu kami," seorang kata penduduk Acheh Utara, Firdaus Noezula.

Pada Selasa lalu, pihak berkuasa Indonesia menyatakan bahawa bekalan makanan dan bekalan lain dihantar kepada etnik tersebut termasuk seorang juruteknik untuk memperbaiki kapal mereka.

"Kami berharap (bekalan) dapat membantu Rohingya untuk meneruskan perjalanan ke Malaysia seperti yang mereka rancangkan dan inginkan," kata Winardy iaitu jurucakap polis Acheh kepada AFP.

Ketidakpedulian rasmi menimbulkan kemarahan dalam kalangan penduduk tempatan.

Sekumpulan orang berkumpul di pantai Bireun pada Rabu menuntut pemerintah membenarkan pendatang tersebut dibawa ke daratan, menurut wakil dari Yayasan Geutanyo iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Simpati orang ramai di Acheh terhadap Rohingya meningkat setelah video yang diambil oleh nelayan-nelayan di telefon mereka tersebar di media sosial.

Bagaimanapun, pada Rabu, pihak pemerintah akhirnya mengalah dan mengatakan akan membawa pelarian tersebut ike daratan.

"Keputusan itu diambil setelah mempertimbangkan keadaan darurat para pelarian di kapal itu," kata Armed Wijaya yang mengetuai pasukan petugas nasiona Indonesia untuk pelarian. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca