ALHAMDULILLAH hari ini kita diberi keizinan sekali lagi oleh ALLAH SWT menginjak Tahun Baharu. Bagi mereka yang memahami, setiap penambahan Tahun Baharu bermakna semakin bertambah umur kita dan semakin dekat menuju ke negara abadi.
Pun begitu, bagi mereka yang lalai, setiap penambahan Tahun Baharu adalah tempoh untuk menghitung untung dan rugi. Lantaran itu, jika seseorang itu rugi, maka segala perancangan Tahun Baharu adalah untuk mengembalikan ke-untungan, namun bagi mereka yang untung akan merancang kekalkan keuntungan serta menambah lagi laba dalam kalendar Tahun Baharu.
Sebetulnya, naratif kehidupan kita bukanlah semata-mata bersandar kepada untung dan rugi. Bagi mereka yang rugi, naratifnya sangat panjang dan luas, malah melibatkan pertembungan pelbagai emosi.
Tambahan pula, bencana penyakit dan bencana alam seumpama halilintar yang memanah semangat kehidupan. Natijahnya, semakin ramai pasrah dengan kehidupan dan amat lelah dihambat oleh kesengsaraan. Oleh itu, keazaman untuk meneruskan kehidupan amat rendah.
Menurut perspektif psikologi, keazaman adalah suatu kerangka fikir yang mendorong individu mengikat dirinya melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai tujuan dikehendaki walaupun menempuhi kesukaran dan pelbagai halangan.
JELAS TUJUAN HIDUP
Justeru, keazaman melibatkan proses membuat keputusan bagi mencapai tujuan tersebut. Apa pilihan kita dalam menghadapi situasi ini? Yang jelas, kita dilarang berdoa untuk mati bagi tujuan menamatkan kesengsaraan dan yang penting, keazaman perlu sentiasa berbara dalam diri agar tidak menjadi abu.
Menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Peribadi Hebat - "Setiap manusia perlu jelas tentang tujuan hidup, jangan menerawang dan tentukan garis jalan yang akan kita lalui bagi mencapai tujuan itu. Jika jelas ke mana tujuan dan jalannya, tentu kita akan sampai. Pokok sampai pada tujuan bukan bergantung kepada orang lain, melainkan kepada diri sendiri.”
Berkaitan dengan percaya diri sendiri, beliau mengulas – "Peribadi yang berguna adalah peribadi yang percaya kepada kekuatan diri sendiri. Kekuatan akal, perasaan dan kemahuan sudah tersedia dalam jiwa sejak kandungan. Semua itu akan muncul dengan pendidikan, pergaulan dan lingkungan.
"Pendidikan yang baik memunculkan jiwa yang baik. Orang yang percaya kepada diri sendiri adalah orang yang merdeka sejati. Bukan orang lain menentukan ini salah, ini benar, ini baik atau ini buruk melainkan kemerdekaan dan kepercayaan kepada diri sendiri yang menentukan peraturan itu. Jiwa yang bebas itu senantiasa mengejar kebenaran.”Selain itu, setiap keazaman perlu disusuli dengan tawakal. Berkaitan dengan bertawakal, ALLAH SWT telah berfirman: "Apabila engkau telah berazam, maka bertawakal kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang yang bertawakal kepadanya.” (Surah Al-Imran, 3:159).
Menurut Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Andai kata kamu bertawakal kepada ALLAH SWT dengan sebenar-benarnya, nescaya kamu diberi rezeki sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung. Burung itu pergi dengan perut kosong di pagi hari dan pulang dengan perut terisi penuh di petang hari.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi).
Rumusannya, selagi kita masih meletakkan tanda aras kejayaan berdasarkan untung dan rugi, maka selagi itulah kita akan sengsara dengan segala musibah menimpa diri.
Justeru, tetaplah tujuan hidup kita ke arah mencari ketenangan, kebahagiaan dan keredaan ALLAH SWT. Berpada-padalah bersaing untuk menjadi kaya dan popular seperti orang lain. Tidak semua orang sesuai untuk menjadi kaya dan popular, sebaliknya jadilah diri sendiri dalam menentukan tujuan hidup.
Semoga kita dikurniakan kekuatan menjadi diri sendiri dan tidak lagi menjadi pengikut yang membuta tuli.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca