BENTONG - Di sebalik penafian Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengenai aktiviti pembalakan yang menyebabkan longgokan sisa pokok dan balak di Sungai Telemong, tinjauan di sekitar kawasan berhampiran pula mendapati sebaliknya.... Klik di sini untuk terus membaca

BENTONG - Di sebalik penafian Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengenai aktiviti pembalakan yang menyebabkan longgokan sisa pokok dan balak di Sungai Telemong, tinjauan di sekitar kawasan berhampiran pula mendapati sebaliknya.

Wartawan Sinar Harian yang berada di lokasi pada Khamis menyaksikan terdapat pembukaan hutan berskala besar dipercayai bagi tujuan pertanian dan pembalakan ditemui berhampiran dua sungai yang berhubung dengan Sungai Telemong.

Kawasan dipercayai sebagai pusat pengumpulan balak yang berkeluasan lebih kurang dua ekar yang ditemui di pertengahan hulu sungai tersebut iaitu di Mini Hidro Sungai Perdak di sini.

Menerusi pemerhatian wartawan Sinar Harian bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), dua kawasan pembukaan hutan itu berlaku di Sungai Perdak dan Sungai Timbul.Di Sungai Perdak, satu tempat dipercayai menjadi pusat pengumpulan balak berkeluasan lebih kurang dua ekar telah ditemui di pertengahan hulu sungai tersebut iaitu di Mini Hidro Sungai Perdak.

Tinjauan dengan menggunakan dron juga menunjukkan terdapat beberapa laluan yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pembalakan dan pertanian di atas kawasan sungai tersebut.

Selain daripada tahap hakisan yang teruk di sepanjang tebing sungai tersebut, air di Sungai Perdak juga masih berwarna lumpur meskipun kejadian banjir sudah reda hampir dua minggu.

Sisa pokok dan balak yang merosakkan beberapa rumah penduduk di Kampung Baru Sungai Perdak.

Bagaimanapun, cubaan untuk melakukan tinjauan di bahagian atas kawasan berkenaan tidak dapat dilakukan kerana laluan tersebut tidak dapat dilalui akibat tanah runtuh.

Selain itu, kesan dan longgokan sisa pokok dan balak akibat banjir yang berlaku pada 19 Disember lalu juga boleh dilihat di Kampung Baru Sungai Perdak, di sini sehingga turut menyebabkan kerosakan teruk kepada beberapa buah rumah.

Sementara itu, imej satelit berpandukan Google Earth pula menunjukkan kesan penerokaan hutan dipercayai untuk tujuan pembalakan turut dikesan di kawasan hulu Sungai Timbul yang bersambung dengan Sungai Kerau dan turut mengalir memasuki Sungai Telemong.

Pembukaan hutan yang berlaku di hulu Sungai Timbul tersebut dianggarkan seluas kira-kira 117 ekar.

Kawasan tersebut bagaimanapun tidak terletak di bawah hutan yang digazetkan sebagai hutan simpan dan hutan simpan yang terletak paling hampir ialah Hutan Simpan Lentang.

Imej satelit yang menunjukkan pembukaan tanah yang dianggarkan seluas 117 ekar yang dilakukan di hulu Sungai Timbul.

KAYU HULU SUNGAI

Sungai Timbul merupakan antara sungai dinyatakan oleh JPP sebagai tempat berlakunya kejadian kepala air pada 18 Disember lalu sehingga menyebabkan banjir yang menghanyutkan sisa kayu dan pokok di Jalan Bentong-Karak dan Jambatan Sri Telemong.

Menurut JPNP, selain Sungai Timbul, longgokan sisa pokok dan kayu itu turut disumbang oleh kejadian kepala air di Sungai Temeriak dan Sungai Kerau yang bermula di Hutan Simpan Lentang, akibat hujan lebat berterusan selama tiga hari, bermula 16 Disember lalu.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, meskipun mengakui banjir kali ini berlaku disebabkan oleh kejadian kepala air akibat hujan berterusan, namun beliau percaya longgokan sisa pokok dan kayu itu juga berpunca daripada aktiviti pembalakan yang berlaku di bahagian hulu sungai.

Malah katanya, pembalakan menjadi menyumbang kepada keadaan banjir lebih buruk sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda yang teruk dan turut membabitkan kehilangan nyawa.

Longgokan sisa kayu dan balak di Sungai Kerau yang dihanyutkan oleh banjir di Sungai Kerau dalam banjir baru-baru ini.

"Kita kena tahu sungai kita semua bertemu dengan sungai lain. Jadi kalau daripada hulu sungai atas bukit dah ada pembalakan sama ada yang dulu atau sekarang. Jadi kayu-kayu itu semua dah berkumpul.

"Pembalak ini akan tarik kayu balak dan kayu yang tidak ada harga mereka akan tinggalkan. Jadi itulah yang terjadi bila kayu-kayan ditinggalkan.

"Bila hujan lebat, kayu itu akan masuk sungai dan rempuh laluan dan segala yang ada di depan termasuk rumah penduduk," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca