HARI ini kita membuka lembaran pertama daripada 365 helaian untuk 2022. 2021 telah kita tinggalkan dengan memori dan kenangan. Namun, empat perkara berikut menjadi fakta terpenting tahun 2021 yang akan membentuk kerangka politik negara... Klik di sini untuk terus membaca

HARI ini kita membuka lembaran pertama daripada 365 helaian untuk 2022. 2021 telah kita tinggalkan dengan memori dan kenangan. Namun, empat perkara berikut menjadi fakta terpenting tahun 2021 yang akan membentuk kerangka politik negara 2022.

Perkara itu adalah pertukaran Perdana Menteri (Ogos), Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan-pembangkang (September), Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak (Oktober/Disember) dan akhir sekali musibah banjir besar Lembah Klang.

Mengapa empat itu? Pertama, ia berkait rapat dengan trend sokongan dan pola politik negara yang semakin cair serta anjal. Pertukaran Perdana Menteri memperlihatkan penjajaran politik secara kerap berlaku, bukan sahaja dalam intra-parti tetapi inter-parti tidak lagi menjadi sesuatu yang asing dan janggal.

Walaupun pertukaran itu melibatkan penggantian pemimpin sahaja, namun keanggotaannya tetap sama. Ia dikukuhkan dengan MoU antara kerajaan dan pembangkang yang memberikan sokongan tambahan kepada kedudukan kerajaan. Tetapi kestabilannya masih goyah dan boleh dipersoalkan. Sesuatu yang mungkin dilanjutkan dalam helaian berikutnya.Kedua, sudah tentulah keputusan dua PRN. Yang diperlihatkan adalah kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Melaka dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak. Di sebaliknya adalah persaingan intra-parti antara BN dan Perikatan Nasional (PN) terutama Bersatu dan Pas yang berkongsi kuasa di peringkat pusat.

Apakah itu akan membuka kepada ruang desentralisasi politik atau satu lagi pengukuhan hegemoni politik bentuk baharu dalam konteks ketidaksejajaran gabungan? Ramalan umum melihat keputusan dua PRN itu akan mempercepatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hal itu membawa kepada perkara ketiga dalam konteks siapa yang beruntung. UMNO dijangka terus mendesak Perdana Menteri mempercepatkan PRU15 tetapi musibah banjir akan memperlahankan perkara tersebut. Persoalan cepat atau lambat berada di tangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Pada PRN Melaka, beliau bersikap berkecuali dan di Sarawak, beliau menggunakan sepenuhnya kedudukan sebagai Perdana Menteri bagi membantu GPS.

NARATIF 2022

Ditambah dengan MOU bersama pembangkang, Ismail Sabri barangkali akan melambatkan PRU15 atas beberapa sebab. Pertama, kedudukan semasa yang tidak menguntungkan beliau sama ada dari perspektif karier politik dan nasional.

Kedua, pemilihan UMNO yang ditangguhkan masih menyaksikan ‘Kem 15’ menguasai parti dan kuasa memberikan watikah calon masih di tangan Presiden, bukannya Perdana Menteri.

Ketiga, sudah tentulah isu banjir yang menguji keupayaan kepimpinan beliau. Sentimen semasa memperlihatkan defisit ketidakpercayaan yang tinggi terhadap kepimpinan dan kabinetnya.

Tiga faktor itu barangkali menjadi pertimbangan yang baik untuk melambatkan PRU15. Terakhir, sudah tentulah Pakatan Harapan (PH). Dua PRN itu memperlihatkan hilangnya taring PH sebagai gabungan yang menumbangkan BN sebelumnya. Terkini, kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin kuat ditekan sehingga mendesak beliau untuk berundur.

Perkembangan semasa terutama pelebaran sayap Parti Warisan ke semenanjung dan pendaftaran rasmi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hanya akan memperlihatkan keterpecahan pembangkang, sekali gus mengurangkan lagi kepercayaan pengundi kepada kemampuan PH.

Dengan saingan merebut pengundi Melayu yang semakin terpecah dan padat selepas ini, apakah PH mampu dalam tempoh terdekat hadir dengan satu naratif yang dekat dan kena dengan selera kelompok berkenaan.

Selepas apa yang berlaku di Melaka, ia jelas memperlihatkan mereka sudah ketinggalan di belakang PN dalam persaingan merebut undi orang Melayu.

Hayunan undi kaum Cina yang suatu ketika kritikal memilih PH juga sudah tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan berulang. Maka, apakah 2022, PH masih ada waktu membetulkan kesemua itu.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca