WALAUPUN pahit untuk ditelan itulah sejarah ‘hitam’ parti Warisan yang perlu dihadapi pada ketika ini. Selepas kehilangan beberapa nama besar seperti bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Ketua Penerangan... Klik di sini untuk terus membaca

WALAUPUN pahit untuk ditelan itulah sejarah ‘hitam’ parti Warisan yang perlu dihadapi pada ketika ini.

Selepas kehilangan beberapa nama besar seperti bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Ketua Penerangan Warisan, Datuk Dr Yusof Yacob pada Oktober lalu, parti dengan logo kapal layar itu menerima tamparan lebih besar minggu lepas.

Ironinya, Naib Presiden Warisan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony membuat keputusan ‘angkat kaki’ meninggalkan Warisan, ketika parti itu baru 10 hari terbang merentasi Laut China Selatan. Warisan terbang dengan harapan membina sarang baharu di dahan pokok di Semenanjung.

Bagi penganalisis politik, Dr Jeniri Amir, tindakan Anthony itu memberikan tamparan hebat dan implikasi kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta parti berkenaan yang baharu mahu bertapak di Semenanjung.

Felow Kanan Majlis Profesor Negara itu berkata, ini kerana Anthony mempunyai pengaruh besar dan ramai penyokong terutama dalam kalangan masyarakat bukan Melayu dan Islam di Negeri Di Bawah Bayu berkenaan.

Beliau berkata, tindakan drastik Anthony keluar parti berkenaan menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku sekali gus menjejaskan sokongan pengundi terutama dari kaum Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) kepada Warisan di Sabah.

Jeniri

"Warisan sekarang umpama ‘burung helang yang patah sayap’ dan tidak boleh terbang ke mana-mana kerana Anthony yang selama ini menjadi orang kanan Mohd Shafie mengumumkan keluar parti dan mahu tubuhkan parti baharu.

"Saya melihat tindakan Anthony keluar parti ini akan memberikan satu implikasi besar kepada masa depan Warisan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti kerana beliau mempunyai pengaruh besar dalam kalangan masyarakat Sabah terutama kaum KDM,” katanya.

Bagaimanapun, Jeniri berkata, jika Anthony menubuhkan sebuah parti baharu yang berlandaskan perjuangan dan platform kaum KDM sahaja serta tidak mesra kerajaan negeri semasa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) maka sudah pasti ia memecahkan undi dalam PRU15 nanti.

Ditanya mengenai desas desus Warisan dan BN akan bergabung untuk membentuk gabungan kerajaan negeri baharu, Jeniri menegaskan beliau percaya perkara itu tidak akan berlaku sama sekali dalam masa terdekat.

"Kalau betul perkara itu menjadi realiti maka ia akan merugikan BN dan Warisan kerana sokongan akar umbi akan lari kepada Perikatan Nasional (PN). Justeru itu saya yakin BN dan Warisan sedar implikasi negatif besar bakal mereka hadapi nanti jika gabungan berkenaan menjadi realiti,” katanya.

HILANG PERCAYA

Pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula berpandangan, Anthony mungkin berbuat demikian kerana sudah hilang kepercayaan kepada parti dan kepimpinan Mohd Shafie sebagai Presiden Warisan.

Beliau berkata, Anthnoy juga mungkin mahu menubuhkan sebuah parti tempatan kerana percaya ramai ahli dan pemimpin parti Warisan akan mengikut jejak langkahnya kerana dasarnya yang memberi fokus kepada usaha menjaga kebajikan rakyat Sabah.

"Bagaimanapun, nasib parti baharu bakal ditubuhkan Anthony adalah bergantung kepada dasar yang jelas, organisasi tersusun dan dana mencukupi.

"Apa berlaku dalam Warisan sekarang bukan sesuatu baharu kerana lompat parti adalah sebahagian daripada proses demokrasi. Malah, di Semenanjung pun banyak parti baharu ditubuhkan bagi memperjuangkan sesuatu agenda dan kepentingan golongan tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Izani tidak menolak kemungkinan matlamat utama Mohd Shafie meneruskan agenda untuk meluaskan keahlian Warisan kepada penduduk Semenanjung adalah mencari pengaruh bagi menjayakan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama berasal dari Sabah.

Mohd Izani

SUDUT POSITIF

Pensyarah kanan, Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tindakan Anthony atau ADUN lain bertindak meninggal parti akan memberikan implikasi positif dan membolehkan hanya mereka yang setia kepada perjuangan kekal bersama Warisan.

Mohd Azizuddin berkata, ini kerana kebanyakan pemimpin dan ADUN Warisan sekarang adalah terdiri daripada 'katak politik' yang menganggotai parti itu semasa peringkat awal penubuhannya dulu.

Prof Dr Azizuddin Mohd Sani

Beliau berkata, biarpun tindakan Anthony dan tiga lagi ADUN Warisan keluar parti, seolah-olah merugikan merugikan Warisan, namun ia menguntungkan pada masa depan.

"Saya rasa individu yang kekal setia bersama Warisan semasa mereka menjadi kerajaan negeri dan kalah dalam PRN Sabah adalah lebih baik berbanding mereka suka melompat. Krisis dalaman adalah perkara biasa sekarang jika ada wakil rakyat tidak berpuas hati mereka boleh keluar parti pada bila-bila masa," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca