"AH, dua tahun yang sangat mencabar. Sudahlah duit tak ada, hilang kerja pula,” kata kawan saya. "Banyak perkara yang tidak dijangka berlaku,” kata seorang lagi kawan saya. "Dua tahun yang malang, habis semua simpanan,” kata kawan... Klik di sini untuk terus membaca

"AH, dua tahun yang sangat mencabar. Sudahlah duit tak ada, hilang kerja pula,” kata kawan saya.

"Banyak perkara yang tidak dijangka berlaku,” kata seorang lagi kawan saya.

"Dua tahun yang malang, habis semua simpanan,” kata kawan saya lagi.

Kami semua mengangguk-angguk bersetuju. Berkeluh kesah sepanjang dua tahun yang mencabar ini sebenarnya memberi banyak pengajaran dan pengalaman untuk kita bersiap sedia.

Bermula dengan pandemik Covid-19, kita sepatutnya sudah mempunyai cara berfikir dan tindakan lebih baik.

Sebelum ini rata-rata kita tidak pernah menghadapi suasana begini. Setiap orang menerima impak sama terutama rakyat yang bekerja sendiri dan swasta. Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan menyebabkan banyak perniagaan bungkus dan kehilangan pendapatan.

Impak kepada rakyat yang terputus pendapatan amat besar. Kerajaan ada membantu tetapi ia sekadar untuk menampung sedikit sebanyak keperluan rakyat. Masih tidak mencukupi terutama bagi yang mempunyai keluarga ramai.

Belum selesai pandemik, kita menghadapi musibah banjir. Walaupun berlaku setiap tahun, kita seolah-olah tidak mengambil pengajaran. Cara menanganinya masih sama, punca kejadian yang dapat difikirkan adalah disebabkan hujan sahaja.

Berlakunya sesuatu kejadian adalah untuk mengajar kita berfikir cara menanganinya, bukan hanya berserah bulat-bulat kepada keadaan. Banjir buruk sekali lagi memberi kesan kepada rakyat.

Sudahlah masih belum pulih sepenuhnya dari segi ekonomi, malah kehilangan harta benda hasil titik peluh sebelum ini. Bak kata pepatah, mujur sepanjang hari, malang sekejap mata.

Keadaan bertimpa-timpa itu bak kata pepatah lain, malang tiada datang tunggal, perlu dihadapi dengan penuh keredaan. Namun sesuatu perlu dilakukan untuk bangkit kembali.

Dan nampaknya rakyat bangkit sendiri tanpa mengharapkan sesiapa lagi. Mereka sudah muak dengan drama politik dan kelakuan sesetengah orang yang berkuasa untuk kepentingan diri.

Bermula dengan kempen mengangkat bendera putih yang entah kenapa ada tidak senang duduk. Bak kata pepatah, hanya ringan mulut, panas punggung. Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) mula bersatu hati serta tenaga untuk bertindak.

Tanda pagar rakyat bantu rakyat mula berkumandang. Tidak perlu lagi bergantung kepada mereka seperti kata pepatah, memagar diri bagai aur.

Bantuan sesama sendiri, merentas parti, agama dan bangsa menyatukan rakyat untuk menunjukkan kuasa mereka. Ia mungkin juga hikmah yang ditunjukkan. Rakyat boleh bersatu jika tidak dipecahkan belah oleh orang politik yang lurus-lurus sumpitan.

JAGA TEPI KAIN

Kejadian berpanjangan ini mewujudkan atau menjadikan kehidupan bermasyarakat dan berjiran lebih peka untuk saling bantu membantu. Tidak boleh hanya menjaga tepi kain sendiri sahaja.

Namun, kadangkala kita akan berjumpa segelintir orang yang tidak suka tepi kainnya yang koyak disentuh-sentuh. Mereka lebih suka menyendiri dan kadangkala tidak menghiraukan perasaan masyarakat sekitarnya.

Mereka ada yang berpelajaran tinggi tetapi tidak berperut lipat, yang masih dibelenggu cara pemikiran seluas dada tuma bak kata pepatah Melayu lama lagi. Maka, eloklah kita berpada-pada sahaja.

Bantuan ikhlas kadang-kadang menjadi syak wasangka. Disangkanya kita berniat tidak baik. Keadaan itu boleh menjadi parah lagi apabila ada kalangan orang seperti sekelat muka dua.

Diharap tahun 2022 akan memberi kesejahteraan kepada rakyat khususnya dan negara secara amnya bagi menghadapi cabaran seterusnya.

Kepada mereka yang hanya mementingkan diri ini, diharap berwaspada kuasa rakyat jelata. Sudah tiba masanya rakyat memilih wakil-wakil mereka yang mengambil berat dan cakna.

Kuasa rakyat untuk rakyat akan menentukan segalanya. Bak kata pepatah lagi, di mana kelintung berbunyi, di situ kerbau tinggal diam. Selamat Tahun Baharu 2022 kepada semua pembaca Sinar Harian.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca