[MUKADIMAH] Keputusan nekad pakar ekonomi, Prof Dr Edmund Terence Gomez meletakkan jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) awal minggu ini menggemparkan banyak pihak.
Ini kerana keputusan itu dikaitkan dengan rasa kecewa beliau apabila tiada siasatan yang dilakukan oleh pihak berkaitan dengan tuduhan pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai lebih dua juta unit saham di sebuah syarikat senaraian awam serta salah laku yang lain.
Bagaimanapun Pengerusi PPPR, Tan Sri Borhan Dolah menegaskan PPPR bukanlah satu panel penyiasat manakala Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang pula berkata, beliau telah beberapa kali mengajak Gomez bersemuka tetapi pakar ekonomi itu hanya mahu berbincang dalam talian.
Ketua Meja Jenayah Sinar Harian, Muhammad Afham Ramli dan wartawan, Nurul Nabila Ahmad Halimy menemu bual Gomez secara eksklusif untuk mendapatkan komen beliau mengenai isu ini.
SINAR HARIAN: Terdapat dakwaan mengatakan tindakan Prof meletakkan jawatan sebagai ahli Panel PPPR dan mencalarkan imej SPRM mempunyai agenda politik parti tertentu, adakah dakwaan ini benar?
GOMEZ: Saya ingin menegaskan dakwaan itu tidak benar sama sekali. Tanggungjawab saya sebagai ahli panel yang dilantik oleh Perdana Menteri adalah untuk membincangkan isu-isu berkenaan bagaimana SPRM menjalankan tugas mereka.
Jadi dimanakah terselitnya agenda politik di situ? Pada pendapat saya, ini adalah salah satu cara mereka untuk menukar fokus daripada isu sebenar.
Isu yang patut diberi perhatian adalah tuduhan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan apakah siasatan seterusnya yang perlu dilakukan.
Namun, mengapa sehingga kini masih belum ada tindakan? Mengapa mereka mengatakan tidak pernah menerima surat-surat atau e-mel yang sudah saya hantar?
Ini adalah sebuah ‘cover up’ untuk mengaburi isu sebenar dan saya amat marah. Sekarang ini seolah-olah saya yang jahat dan bersalah dalam hal ini.
- Sebelum ini terdapat dakwaan bahawa Prof tidak mahu berjumpa secara bersemuka dengan Pengerusi LPPR. Adakah dakwaan itu benar dan adakah terdapat sebarang mesyuarat atau perjumpaan selepas pendedahan awal minggu ini?
Tidak benar, tiga hari lalu mereka ingin mengadakan mesyuarat dan saya sendiri menegaskan saya mahu berjumpa dengan mereka malam itu juga (Rabu malam). Namun, sekiranya ada kekangan, saya ingin berjumpa secepatnya pada hari Khamis atau Jumaat kerana saya akan bertolak pada hari Isnin ke Amerika Syarikat untuk tiga minggu.
Oleh itu, saya telah mencadangkan perjumpaan ini dilakukan secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom Meeting kerana perkara ini amat mustahak dan saya ingin menyelesaikannya secepat mungkin sebelum berangkat ke Amerika Syarikat. Namun, saya hampa kerana selepas cadangan tersebut dibuat, saya masih belum menerima jawapan dari mereka sehingga sekarang.
- Adakah peletakan jawatan yang dilakukan oleh Prof sebenarnya menunjukkan Prof berkecil hati dan merajuk dengan mereka yang terlibat dengan kes ini?
Saya tidak merajuk dengan sesiapa dan kita mengendalikan isu ini dengan profesional. Saya hanya melakukan tanggungjawab saya sebagai orang yang membawa aduan dan memberi maklumat kepada mereka dengan menghantar e-mel tentang perniagaan dan aktiviti Ketua SPRM.
Sebagai panel dan penasihat, mereka sepatutnya bertanggungjawab untuk bertindak atas maklumat yang diberikan pada mereka.
- Dalam tempoh dua bulan ini, adakah Prof tidak pernah berjumpa dengan Azam Baki walaupun sekali untuk bertanyakan isu ini?
Saya tidak pernah berjumpa dengan Azam Baki kerana isu ini melibatkan dirinya. Tindakan saya apabila saya mendapat aduan ini adalah memberitahu Abu Zahar sebagai Pengerusi ‘advisory report’ dan saya juga telah memberitahu Borhan sebagai ketua panel saya untuk mengadakan mesyuarat secepat mungkin bagi membincangkan isu ini.
Saya juga memberitahu mereka saya boleh datang ke mesyuarat untuk membentangkan semua maklumat yang diberikan kepada saya. Sehingga kini, tiada mesyuarat dilakukan walhal ini perkara ini sangat serius kerana ia melibatkan integriti SPRM.
- Dakwaan berkenaan isu pemilikan berjuta saham ini sudah dua bulan tersebar. Adakah Prof sendiri sudah berjumpa dengan orang yang membuat dakwaan itu dan mempunyai bukti seperti dokumen berkaitan?
Saya mempunyai semua bukti dan sudah bertanya secara mendalam apa yang berlaku. Bukti-bukti ini telah saya hantar pada Abu Zahar dan ia wajib dibincang oleh semua ahli panel dan penasihat supaya kita bertindak bersama untuk menjaga reputasi SPRM.
- Bolehkah Prof menerangkan sedikit sebanyak ciri-ciri orang yang membuat aduan tersebut?
Dia adalah seorang warganegara Malaysia dan pernah menjalankan tugas untuk sebuah badan bukan kerajaan (NGO) terkenal dengan anti rasuah iaitu C4.
Dia juga telah melakukan banyak kajian dan kajian ini amat mengejutkan saya dan perlu siasatan yang lebih mendalam daripada pihak bertanggungjawab.
- Setakat ini, adakah Prof menerima sebarang ugutan atau ancaman daripada mana-mana pihak?
Setakat ini, saya tidak menerima apa-apa ancaman. Saya telah bertindak dan sekarang tanggungjawab mereka pula untuk menyiasat.
Sehingga kini, tiada siasatan yang dibuat dan mereka mempersoalkan kenapa orang yang membuat aduan itu tidak membuat laporan polis.
Walhal, proses yang dilaluinya sudah betul. Dia membawa aduan kepada saya dan saya membawa aduan itu kepada panel untuk mengadakan perbincangan dan tindakan yang patut diambil seterusnya.
- Apakah harapan Prof untuk SPRM atasi isu ini?
Harapan saya agar satu penyiasatan akan berlaku secepat mungkin. Jika benar tidak bersalah, saya tidak faham kenapa Azam Baki terus membisu sehingga kini.
Saya berharap agar terdapat satu komuniti bebas dapat melakukan penyiasatan tentang ini.
Saya juga berharap selepas penyiasatan ini dijalankan, satu transformasi dan reformasi SPRM dijalankan. SPRM sepatutnya di bawah Parlimen dan bukan Jabatan Perdana Menteri.
Klik di sini untuk terus membaca