TAHUN 2021 telah berakhir. Sepanjang 2021, terdapat 10 peristiwa antarabangsa yang telah mencipta sejarah dan mempengaruhi hubungan antarabangsa pada tahun-tahun akan datang. Pertama, pada Januari 2021, dunia menyaksikan pertukaran Presiden... Klik di sini untuk terus membaca

TAHUN 2021 telah berakhir. Sepanjang 2021, terdapat 10 peristiwa antarabangsa yang telah mencipta sejarah dan mempengaruhi hubungan antarabangsa pada tahun-tahun akan datang.

Pertama, pada Januari 2021, dunia menyaksikan pertukaran Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Donald Trump kepada Joe Biden. Di bawah pentadbiran Joe Biden, beliau telah berkali-kali melaungkan bahawa ‘Amerika sudah kembali’ dan berusaha memenuhi janjinya mengukuhkan hubungan dengan sekutu AS.

Namun, selepas hampir setahun berlalu, ramai pemimpin antarabangsa dan penganalisis tertanya-tanya sejauh mana pe-rubahan dasar luar AS.

Kedua, rusuhan dan percubaan memberontak oleh penyokong Trump di Bangunan Capitol, Washington DC.

Walaupun rusuhan telah tamat tetapi ia mencemarkan imej AS sebagai sebuah negara demokrasi. Ia juga mempunyai implikasi berpanjangan kepada AS kerana pemberontakan boleh menjadi pemangkin kepada kumpulan-kumpulan lain melakukan perkara sama pada masa hadapan.

Ketiga, rampasan kuasa di Myanmar. Namun, bagi yang memahami dinamik politik dan kerajaan Myanmar tidak akan terkejut kerana Tatmadaw mempunyai pengaruh sangat kuat.

Dilaporkan hubungan antara Aung San Suu Kyi dengan Ketua Panglima Tatmadaw, Jeneral Min Aung Hlaing telah merosot sejak 2020. Keadaan bertambah serius apabila parti National League for Democracy (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar menewaskan parti Union Solidarity and Development Party (USDP) yang pro-tentera dalam pilihan raya 8 November 2020.

Keempat, ASEAN terpaksa berdepan dilema akibat perkembangan politik di Myanmar. Pemimpin ASEAN perlu memilih sama ada untuk meneruskan dasar tidak campur tangan dalam politik dalaman negara ahli atau tidak.

Mesyuarat Khas ASEAN mengenai Myanmar telah diadakan pada 24 April. Selaras dengan ‘ASEAN Way’ iaitu dasar tidak campur tangan dalam isu-isu melibatkan negara-negara ahli dan konsep kata sepakat atau consensus lima perkara telah dipersetujui.

Setelah enam bulan, keadaan bertambah buruk dan jelas Myanmar telah memperlekehkan ASEAN.

Kelima, pengunduran tentera AS dari Afghanistan sejajar dengan Perjanjian AS-Taliban yang ditandatangani pada 29 Februari 2020.

Keenam, kebangkitan semula dan pemulihan kerajaan pimpinan Taliban di Afghanistan. Pada 15 Ogos, Taliban telah mengambil alih bandar raya Kabul, sekali gus menandakan berakhirnya konflik antara Taliban dan AS. Walaupun pendudukan dan konflik dengan AS tamat, ia tidak bererti situasi di Afghanistan tenteram sepenuhnya.

PAKATAN KETENTERAAN

Ketujuh, apabila pemimpin tiga negara – AS, United Kingdom (UK) dan Australia mengisytiharkan penubuhan pakatan ketenteraan yang dikenali sebagai AUKUS. Antara perkara yang telah dipersetujui adalah perkongsian teknologi kapal selam berkuasa nuklear dari AS kepada Australia.

Kelapan, kemunculan vaksin sebagai penawar Covid-19. Kepantasan vaksin yang dihasilkan adalah menakjubkan.

Sejarah telah membuktikan untuk penghasilan vaksin, masa antara 10 hingga 15 tahun diperlukan, malah vaksin terpantas pernah dihasilkan adalah empat tahun.

Kesembilan, Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP-26) di Glasgow, Scotland pada November 2021 dan antara perkara yang telah dibincangkan termasuk pengurangan pelepasan metana dan karbon, kesan akibat perubahan iklim seperti banjir, kemarau dan kebakaran hutan.

Namun, sejauh mana masyarakat antarabangsa khasnya negara-negara industri seperti AS, China dan Rusia akan mematuhi agenda yang telah dipersetujui.

Jika tidak, COP-26 tidak lebih daripada perjumpaan para pemimpin untuk berbincang tetapi tidak ada apa-apa hasil.

Terakhir, acara-acara sukan antarabangsa diadakan semula. Selepas setahun ditangguhkan akibat Covid-19, Sukan Olimpik Musim Panas Tokyo 2020 dan Sukan Paralimpik telah diadakan di Jepun, selain UEFA Euro 2020 dan Copa América 2021.

Diharapkan 2022 akan menyaksikan dunia lebih stabil dan aman setelah ketidaktentuan dihadapi akibat pandemik.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca