DALAM tulisan minggu lalu, saya telah mencadangkan agar kita memikirkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Rekonsiliasi Nasional bagi menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang melakukan jenayah ketika mengurus aset negara atau... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM tulisan minggu lalu, saya telah mencadangkan agar kita memikirkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Rekonsiliasi Nasional bagi menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang melakukan jenayah ketika mengurus aset negara atau gagal menunaikan tanggungjawab fidusiari.

Adalah amat tidak sesuai dan mencurigakan apabila watak-watak yang terbukti telah melakukan kesilapan besar dalam pengurusan harta negara terus dilantik ke jawatan tinggi dalam pentadbiran dan korporat.

Kehadiran mereka akan menyebabkan pelabur dan pihak yang terlibat menyokong ekonomi kita hilang keyakinan.

Apabila itu berlaku, pelaburan dalam pasaran modal kita berkurangan, harga saham syarikat-syarikat kita jatuh, kadar tukaran mata wang merosot dan modal asing mengalir keluar.

Inilah antara punca kadar pulangan yang diisytiharkan oleh tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) semakin berkurangan.

Itu belum diambil kira kesan jangka pendek kemelesetan ekonomi negara dan dunia.

Ambil contoh, pulangan lima peratus Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan 2021. Ia sama seperti tahun lalu dan kadar paling rendah sejak 1990.

Kalau orang Melayu dan bumiputera faham mengenai ekonomi dan urus niaga korporat, mereka tentu bimbang dengan perjalanan PNB sejak sedekad dua kebelakangan ini. Kadar pulangan ASB semakin berkurangan sejak 2007.

Ketidakmampuan PNB mengisytiharkan kadar pulangan lebih baik kepada pelabur ASB walaupun ekonomi negara dan dunia bertambah pulih tahun ini mencetuskan persoalan tentang keadaan sebenar sedang dideritainya.

Pulangan lima peratus itu berlaku pada saat-saat ia sedang seronok dengan menara Merdeka 118 yang hampir siap pembinaannya di Kuala Lumpur.

Jadi, timbullah persoalan apakah implikasi pembinaan pencakar langit itu ke atas kedudukan kewangan PNB dan apakah kadar keuntungan yang boleh diharapkan oleh pelabur-pelabur ASB serta skim-skim saham amanah PNB lain?

Mengikut maklumat tercetak, pencakar langit itu menelan belanja RM5 bilion tetapi dicampurkan dengan belanja lain yang berkaitan, kosnya dianggar RM6 bilion yang dibiayai melalui hutang.

SIMPANAN

Mengikut konsep rekonsiliasi yang saya maksudkan itu, setiap orang yang diberikan tugas rasmi dalam pentadbiran negara hendaklah bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan terhadap setiap sesuatu dilakukannya, baik atau buruk.

Yang kita lihat sekarang adalah masih ramai melakukan kesilapan pengurusan dan pengabaian tanggungjawab fidusiari sehingga menyebabkan kerugian besar, terus dilantik ke jawatan penting dalam organisasi milik negara dan dimuliakan dengan pelbagai gelaran diraja.

Malah, ada antara mereka memberi alasan dan membuat helah dangkal seolah-olah mempermainkan pemegang taruh. Misalnya, apabila PNB membandingkan pulangan ASB dengan kadar faedah simpanan tetap.

Menandatarafkan pulangan skim-skim saham amanah PNB dengan kadar faedah simpanan tetap adalah amat tidak logik kerana saham amanah adalah pelaburan, manakala simpanan tetap adalah simpanan semata-mata. Lagi pun dalam keadaan ekonomi yang lembap, kadar faedah simpanan jatuh secara automatik.

Selain kesan pembinaan Merdeka 118 terhadap kedudukan kewangan PNB dan potensi keuntungan (atau kerugian) daripadanya, kita perlu juga bertanya mengenai implikasi pembabitan PNB dalam beberapa pelaburan kontroversial lain seperti Sapura Energy Berhad dan usaha sama hartanah dengan Jakel dan Symphony Life Berhad.

Kesimpulannya, ada banyak perkara memerlukan jawapan di sebalik pengumuman pulangan lima peratus ASB oleh PNB.

Pengurusan PNB yang diketuai Tun Arifin Zakaria sebagai Pengerusi dan Ahmad Zulqarnain Onn sebagai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif tidak boleh berdiam diri serta membiarkan spekulasi terhadap badan pelaburan bumiputera itu berterusan.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca