KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ditubuhkan pada 1951 benar-benar menjadi satu trauma politik kepada kerajaan terutama Perdana Menteri. Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘telah dijatuhkan’ kerana dana tersebut. Kali ini Datuk Seri... Klik di sini untuk terus membaca

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ditubuhkan pada 1951 benar-benar menjadi satu trauma politik kepada kerajaan terutama Perdana Menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘telah dijatuhkan’ kerana dana tersebut. Kali ini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula diasak hebat oleh fraksi tertentu bagi membenarkan pengeluaran RM10,000 daripada akaun satu secara one-off atau sekali gus (i-Sinar 2.0).

Tidak mustahil alasan itu juga akan digunakan untuk menjatuhkan Ismail Sabri dalam masa beberapa bulan mendatang.

Sebelum banjir, mereka memberikan alasan mengurangkan beban pencarum akibat pandemik, kini alasan banjir besar digunakan yang telah menyebabkan ratusan ribu orang dalam kesusahan.

Kerajaan telah membenarkan pengeluaran khas KWSP melalui skim i-Lestari kerana berlaku pandemik. Ia satu keadaan luar biasa.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai kehilangan sumber pendapatan dan tidak boleh keluar bekerja.

Justeru, i-Lestari membenarkan pengeluaran RM500 sebulan sehingga maksimum RM6,000 bagi mereka yang hilang pekerjaan dan pendapatan.

Namun, ia kemudiannya menjadi perkara yang tidak begitu baik apabila kerajaan tunduk kepada desakan agar semua pencarum dibenarkan mengambil i-Lestari.

I-Sinar pula diperkenalkan bagi membolehkan pencarum KWSP mengeluarkan RM10,000 atau 10 peratus daripada sim-panan akaun satu dengan maksimum RM60,000 secara one-off.

Pada 2021, Pemuda UMNO mendesak pengenalan i-Sinar 2.0. Namun, kali ini Muhyiddin enggan memenuhinya dan hanya memperkenalkan i-Citra yang membenarkan pencarum mengeluarkan RM500 sebulan daripada akaun dua sehingga maksimum RM5,000.

Realitinya, tempoh dua tahun ini, pencarum KWSP telah mengeluarkan minimum sekitar RM21,000. Jumlah keseluruhan pengeluaran dana KWSP adalah sekitar RM101 bilion.

Apabila Muhyiddin dan kini Ismail Sabri menolak desakan pengeluaran i-Sinar 2.0, ia bukan kerana mereka mendapat apa-apa keuntungan peribadi. Jika difikirkan logik akal dan meraih kejayaan singkat, mengapa mereka hendak menolak tuntutan tersebut.

Mana-mana Perdana Menteri pun mahu popular. Populariti adalah tangkal azimat sang penguasa untuk kekal berkuasa atau sekurang-kurangnya mendapat penghormatan umum.

Namun, menjadi Perdana Menteri juga datang dengan tanggungjawab, antaranya adalah untuk memperkenalkan dan mengawal selia dasar agar apa yang diputus serta dilaksanakan memberi kebaikan kepada negara dan rakyat dalam tempoh yang panjang.

POPULARITI

Perdana Menteri yang ada sikap bertanggungjawab tidak boleh setiap masa mengejar populariti sehingga menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.

Inilah dilema Ismail Sabri sekarang. Kebimbangan utama beliau adalah simpanan pencen pencarum KWSP semakin menguncup akan menjejaskan masa depan rakyat.

Sehingga Oktober 2021, seramai 7.4 juta ahli KWSP menggunakan skim i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra bagi mengeluarkan simpanan.

Akibatnya, 6.1 juta ahli kini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.

Daripada jumlah itu, seramai 3.6 juta ahli mempunyai kurang daripada RM1,000. Sebanyak 49 peratus daripada pencarum KWSP kini mempunyai simpanan di bawah RM10,000.

Kerajaan juga tidak boleh menjadikan bencana alam sebagai satu kes duluan atau precedent case bagi pengeluaran KWSP.

Banjir berlaku setiap tahun yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir.

Jika setiap kali berlaku bencana alam, kita membenarkan wang KWSP dikeluarkan, ia akan menyebabkan fungsi KWSP sebagai dana persaraan akan berakhir.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan menukar nama KWSP kepada Kumpulan Wang Dana Persaraan bagi menjelaskan maksud tabungan tersebut dan menyediakan minda rakyat bahawa ia hanyalah tabungan persaraan, bukan kecemasan.

Kita perlu ada pilihan lain dalam menguruskan kecemasan akibat bencana alam seperti pembelian insurans yang betul dan simpanan daripada pendapatan sedia ada.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca