MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lalu telah memutuskan kewujudan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Cina serta Tamil di sekolah berkenaan adalah sah dan berperlembagaan. Menurut Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika... Klik di sini untuk terus membaca

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lalu telah memutuskan kewujudan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Cina serta Tamil di sekolah berkenaan adalah sah dan berperlembagaan.

Menurut Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika membuat keputusan itu, penggunaan bahasa Cina dan Tamil tidak bercanggah dengan perlembagaan serta dilindungi di bawah pengecualian dalam Perkara 152(1) (a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan.

"Tafsiran yang benar dan tepat kesemua proviso ini dalam Perkara 152(1) tidak menghalang penubuhan dan penyelenggaraan sekolah vernakular sebagai sekolah jenis kebangsaan yang turut menggunakan Kurikulum Kebangsaan seperti yang diterima pakai oleh semua sekolah dalam sistem pendidikan negara,” jelas beliau.

Mohd Nazlan berkata demikian selepas menolak saman Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) yang memohon deklarasi bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana peruntukan di bawah Perkara 152(1) mentakrifkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam saman difailkan pada Disember 2019, ketiga-tiga plaintif telah menamakan kerajaan dan 13 lagi sebagai defendan, antaranya Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak) serta empat parti politik iaitu MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.

Mengulas isu tersebut, Lidah Pengarang Sin Chew Daily menyambut baik keputusan itu, sekali gus menjamin kedudukan sekolah vernakular terus terpelihara dan sah di bawah perlembagaan."Dengan keputusan ini, mana-mana pihak yang sering mempertikaikan kewujudan sekolah vernakular seharusnya tidak memanjangkannya lagi. Jangan lagi ada cubaan untuk mencabar kedudukan pendidikan Cina dengan pemikiran sempit,” tulis akhbar tersebut.

IDENTITI NASIONAL

Sehingga hari ini terdapat lebih 1,800 sekolah vernakular di seluruh negara dengan kira-kira 500,000 murid.

Berdasarkan jawapan bertulis oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin di Parlimen, jumlah murid-murid Melayu dan India yang memasuki sekolah vernakular Cina tahun 2020 telah meningkat berbanding 2010.

Data kemasukan murid-murid Melayu menunjukkan peningkatan daripada 9.15 peratus pada 2010 kepada 15.33 peratus pada 2020.

Sebelum ini, ada golongan tertentu yang beranggapan sistem sekolah vernakular yang diamalkan sejak dahulu menghalang pembentukan identiti nasional dan dilihat mewujudkan pengasingan etnik di Malaysia.

Namun, bagi pihak yang menyokong kewujudan sekolah vernakular pula percaya ia dapat menerapkan nilai toleransi dalam kalangan murid, selain mengeratkan hubungan antara kaum.

Akhbar itu turut bersetuju pandangan Hakim Mohd Nazlan bahawa sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa pengantar bukan Melayu untuk pengajaran di sekolah vernakular Cina serta Tamil bukanlah bagi tujuan rasmi, oleh itu tidak bercanggah dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Mengikut Perkara 152 Bahasa kebangsaan 1(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain.

"Dan 1(b) tiada apa-apa juga dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana kerajaan negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

"Oleh itu, tiada sesiapa pun yang perlu menghalang penggunaan bahasa lain kerana ia telah jelas termaktub mengikut Perlembagaan Persekutuan,” tulis Sin Chew Daily lagi.

* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca