RABU lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan menolak permohonan untuk mengisytiharkan sekolah vernakular sebagai tidak berperlembagaan. Keputusan dibuat Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu diumumkan setelah penghujahan... Klik di sini untuk terus membaca

RABU lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan menolak permohonan untuk mengisytiharkan sekolah vernakular sebagai tidak berperlembagaan.

Keputusan dibuat Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu diumumkan setelah penghujahan dibuat daripada pihak-pihak dalam kes tersebut.

Saya percaya keputusan itu adalah kali pertama dibuat berkaitan sekolah vernakular. Namun, saya dimaklumkan ada kes lain juga yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu berkaitan isu sama masih belum dibicarakan.

Saya hormati keputusan tersebut. Pihak-pihak termasuk peguam juga jelas menyatakan mereka menghormati keputusan itu tetapi akan mengambil tindakan seterusnya untuk merayu ke Mahkamah Rayuan dalam tempoh 30 hari sebagaimana ditetapkan undang-undang.

Ketika saya menulis rencana ini, saya masih belum menerima alasan penghakiman yang lengkap berkaitan keputusan tersebut. Jadi, saya tidak akan mengulas penghakiman itu secara terperinci tetapi menukilkan pandangan saya secara umum.

Pada pandangan saya, Mahkamah Tinggi terlepas peluang untuk memantapkan elemen perpaduan dan jati diri negara dalam keputusannya. Kita selalu mengeluh dengan stigma antara kaum, syak wasangka dan tahap perpaduan yang semakin hari semakin membarah.

Punca utamanya adalah kegagalan mengasimilasikan rakyat Malaysia kepada jati diri negara kerana kemahiran berkomunikasi dalam satu bahasa utama iaitu bahasa kebangsaan gagal dikuasai.

Kegagalan menguasai bahasa kebangsaan pula, sebahagiannya disebabkan sekolah vernakular yang tidak meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar.

Malah, silibus pengajaran bahasa kebangsaan di sekolah vernakular juga tidak sama seperti pengajaran bahasa kebangsaan di sekolah kebangsaan.

SEKOLAH

Murid sekolah vernakular mengambil peperiksaan subjek bahasa kebangsaan berbeza dengan murid sekolah kebangsaan yang menyebabkan murid sekolah vernakular tidak dapat menguasai bahasa kebangsaan.

Subjek bahasa kebangsaan di sekolah vernakular dikatakan lebih mudah berbanding subjek sama di sekolah kebangsaan. Difahamkan waktu pembelajaran juga lebih pendek daripada waktu pembelajaran di sekolah kebangsaan.

Natijahnya, kita dapati ramai rakyat Malaysia masih tidak menguasai bahasa kebangsaan, jika pun mereka boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan, pertuturan mereka mempunyai 'telo' atau dialek yang lari daripada laras bahasa dan sebutan sepatutnya. Ia sebenarnya merosakkan bahasa kebangsaan itu sendiri.

Bahasa menyatukan bangsa. Jika bahasa tidak dapat dikuasai dengan baik, pastinya bangsa tidak dapat bersatu.

Menguasai bahasa kebangsaan tidak bermakna menafikan hak kaum lain mempelajari bahasa ibunda mereka. Hak mempelajari bahasa ibunda sudah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hak itu juga boleh dilaksanakan di sekolah kebangsaan atau sekolah vernakular tetapi bukan menjadi bahasa penghantar di sekolah tersebut.

Kerajaan perlu mengambil tindakan proaktif mengatasi masalah perpaduan dan ketidakupayaan rakyat menguasai bahasa kebangsaan. Tidak ada gunanya mengadakan pelbagai kempen perpaduan sedangkan masalah akar umbinya tidak ditangani secara komprehensif.

Kerajaan perlu berani membuat keputusan dasar tersebut, bukan semata-mata meraih laba politik sahaja tetapi demi kepentingan negara.

Lihatlah negara seperti Indonesia, Thailand, Jepun atau Korea. Janggal bagi mereka jika ada rakyatnya tidak menguasai bahasa kebangsaan mereka. Jelik pada pandangan mereka jika rakyatnya tidak boleh berinteraksi dalam bahasa kebangsaan. Malah, bahasa kebangsaan mereka diletakkan jauh lebih tinggi daripada bahasa-bahasa lain dalam pentadbiran, pergaulan dan sosial mereka.

Hal demikian tidak berlaku di Malaysia. Sebahagian rakyat masih mengutamakan bahasa Inggeris berbanding bahasa kebangsaan dan sebahagian rakyat yang lain bertutur dalam bahasa ibunda. Di mana letaknya ketinggian bahasa kebangsaan kita?

Saya percaya di Mahkamah Rayuan kelak, perbicaraan akan menjadi lebih tuntas dengan hujahan semua pihak. Saya juga meminta rakyat tanpa mengira bangsa menghormati keputusan mahkamah itu. Jangan mengambil sebarang tindakan di luar undang-undang.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca