KEPUTUSAN kerajaan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini telah mencetuskan dilema dan rasa resah mereka yang telah membuat tempatan ke Tanah Suci. Belalang bukan nak kata apa, tetapi memahami akan... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN kerajaan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini telah mencetuskan dilema dan rasa resah mereka yang telah membuat tempatan ke Tanah Suci.

Belalang bukan nak kata apa, tetapi memahami akan situasi yang akan dihadapi oleh para jemaah yang telah membuat tempahan.

Ini kerana ia melibatkan sejumlah wang yang besar khususnya untuk menempah tiket perjalanan dan penginapan ketika di Tanah Suci.

Semuanya perlu dibayar oleh para jemaah dahulu jika mahu tarikh yang mereka tempah disahkan oleh pihak pengendali umrah.

Pada masa yang sama Belalang juga faham kenapa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengambil keputusan drastik ini.

Ia adalah bertujuan untuk melindungi keselamatan kita semua susulan sebanyak 1,306 daripada 11,108 jemaah yang pulang menunaikan umrah telah dikesan positif Covid-19 setakat 30 Disember baru-baru ini.

Siapa yang tidak khuatir dengan jangkitan varian baharu jika jumlah ini bertambah selepas jemaah yang dibenarkan ke Tanah Suci kembali ke tanah air nanti.

Jadi bagi Belalang, dilema ini bukan sahaja dirasai oleh para jemaah yang telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar, tetapi juga dihadapi pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Khairy sebagai menteri perlu mengambil pertanggungjawaban yang besar jika varian baharu Covid menular menerusi para jemaah yang baru pulang jika beliau tidak bertegas dalam membuat keputusan yang tepat.

Beliau sudah pastinya akan dihentam oleh rakyat kerana tidak bertegas dalam membuat keputusan manakala para jemaah pula akan berhadapan dengan persoalan apakah wang pelaburan mereka ketika membuat tempahan dapat diselamatkan dan dipulangkan semula.

Tiada yang dapat memberi jawapan yang pasti kepada persoalan ini termasuklah pihak yang menguruskan umrah. Berdasarkan maklumat yang Khairy berikan, 592 orang telah dikesan positif hasil ujian pertama pada hari ketibaan di Malaysia.

Tetapi, paling membimbangkan kata beliau ialah 714 kes dikesan positif hasil ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin.

Kerajaan membenarkan jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci pada 1 hingga 7 Januari ini meneruskan perjalanan mereka.

Mereka bagaimanapun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) apabila tiba di Malaysia nanti.

Bagi Khairy, penangguhan sementara aktiviti umrah dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes Covid-19.

KEPUTUSAN DRASTIK

Keputusan ini juga adalah untuk memberi ruang kepada kerajaan membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah umrah sebelum umrah boleh dibenarkan semula.

Dalam reaksi segera, tiga agensi pelancongan tidak bersetuju dengan keputusan KKM untuk menangguhkan perjalanan umrah ini.

Bantahan tersebut disuarakan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji (PAPUH); Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia serta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

Kata Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham, penangguhan tersebut berisiko memberi kesan yang besar termasuk kerugian kepada jemaah dan ejen pelancongan.

Pada kaca mata PAPUH, jangan dibuat penangguhan dulu sebaliknya beri peluang (untuk laksana) prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Kita dah bincang dengan Nadma dan kalau kita akur dengan menyediakan tempat kuarantin sebelum bertolak dan Nadma kata kalau kita boleh buat, itu boleh dipertimbangkan,” katanya.

Atas sebab itulah mereka menyifatkan keputusan terbaharu ini adalah satu keputusan yang drastik.

Ini dipersetujui oleh wakil Persatuan Agensi Pelancongan Umrah, Abdul Rahman Mohd Ali.

Jelasnya, hampir 80 peratus daripada kos umrah ditanggung oleh jemaah.

"Maka jemaah secara langsung mengalami kerugian kewangan yang besar bagi yang telah membuat tempahan dan pembayaran kepada agensi pelancongan.

"Penundaan ini juga melibatkan kos-kos pembatalan yang tinggi yang akan ditanggung oleh jemaah umrah atas dasar pembayaran telah dibuat oleh pihak agensi pelancongan kepada pihak-pihak pembekal yang terlibat seperti kos penerbangan dan penginapan,” ujarnya.

Jadi dipendekkan cerita, memang jelaskan siapa yang berhasrat melakukan umrah dalam keadaan sekarang perlu pada masa yang sama berhadapan dengan risiko ini.

Belalang - Tetap bersimpati dengan mereka yang dah buat tempahan

Klik di sini untuk terus membaca