SHAH ALAM - Pas tidak boleh dikongkong hanya untuk bersama UMNO yang dilihat cenderung memperjuangkan dasar nasionalisme. Sebaliknya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu bertindak secara bersama menubuhkan Perikatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pas tidak boleh dikongkong hanya untuk bersama UMNO yang dilihat cenderung memperjuangkan dasar nasionalisme.

Sebaliknya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu bertindak secara bersama menubuhkan Perikatan Nasional (PN) bagi memecahkan assabiyah atau fanatik perkauman yang ditentang Pas sejak Muktamar Tahunan parti pada tahun 1984.

Mengambil kira Pas merupakan sebuah parti menjadikan Islam sebagai akidah perjuangan, Abdul Hadi menegaskan Pas tidak boleh sekali-kali diheret ke dalam lingkungan perkauman sempit.

"Pas wajib memecahkan tembok yang cuba mempertahankan elemen perkauman dengan PN merupakan pemecahnya.

"Justeru, Pas tidak boleh dikongkong dengan bersama UMNO sahaja. Kita telah memulakan langkah dengan menubuhkan kerajaan bersama dalam gagasan PN yang baru berada di peringkat permulaan.

"Oleh itu, perpaduan yang wujud ini jangan sekali-kali dirungkai di tengah-tengah perjalanan kerana sebab yang tidak berkaitan dengan peranan melangsungkan tugas islah (pembaikan dan pembetulan).

"Antara sebab-sebabnya seperti faktor peribadi atau pembahagian jawatan dalam kabinet kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah faktor sampingan sehingga menyebabkan Pas banyak berlembut dalam isu ini," katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Majlis Syura Ulama Pas pada Rabu lalu yang menetapkan parti itu akan kekal berusaha mempertahankan Muafakat Nasional (MN) dan pada masa sama memperkukuhkan PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Detik bersejarah termeterainya Muafakat Nasional oleh Pas dan UMNO pada September 2019.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, parti itu akan berusaha untuk melakukan rundingan kerusi pilihan raya semaksimum mungkin di bawah panji MN dan PN, sekali gus memastikan kedua-dua koalisi itu bersatu padu dalam mendepani pilihan raya paling penting akan datang.

SEMANGAT KEBANGSAAN BUKAN AKIDAH PERJUANGAN

Mengulas lanjut, Abdul Hadi mengakui semangat kebangsaan merupakan fitrah manusia yang tidak boleh dinafikan, tetapi tidak boleh sekali-kali menjadi akidah perjuangan.

Secara tegas, beliau menjelaskan Islam ialah penyelamat bangsa dan manusia seluruhnya serta wajib berlaku adil kepada semua manusia.

"Bangsa Melayu yang menegakkan Islam, maka akan terselamat bangsanya dan semua bangsa juga pasti akan selamat.

"Jika sekadar menyelamatkan bangsa Melayu sahaja tanpa acuan Islam, maka Melayu tidak akan selamat malah bangsa lain dalam masyarakat majmuk juga tidak akan selamat," katanya.

Lebih menarik, Abdul Hadi turut mendedahkan terdapat satu persetujuan di antara parti-parti Melayu utama supaya satu perubahan atau reformasi politik dilakukan akibat daripada keputusan PRU14 yang meletakkan dominasi bukan Islam dan orang Islam yang tidak Islamik.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan 'Majlis Aku Janji Anti Rasuah' oleh 28 calon PN di Bilik Gerakan Utama PN di Tanjung Minyak.- Foto Bernama

Bahkan, beliau turut menjelaskan terdapat persetujuan bersama untuk mengumpulkan seluruh ahli Parlimen terdiri orang Islam secara keseluruhannya masih berjumlah majoriti, seterusnya disertai dalam kalangan ahli Parlimen bukan Islam yang tidak ekstrem.

"Dalam sifir politik bagi melakukan satu perubahan, perkara itu tidak akan dapat dicapai jika hanya melalui platform MN sahaja yang melibatkan Pas dan UMNO semata-mata.

"Agenda bagi memperkukuhkan PN dalam kerajaan merupakan persetujuan bersama. Bahkan, bagi meneruskan kelangsungan perubahan juga mewajibkan semua parti bersama gabungan PN yang mengumpulkan parti-parti yang menerima asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan dan menolak mana-mana parti yang bertujuan selain daripada itu.

"Pas pernah bersama UMNO menubuhkan Barisan Nasional (BN) yang sudah tidak berfungsi secara berasingan dan memerlukan tajdid (pembaharuan) terhadap BN yang telah ditolak dalam PRU14. Maka, PN ialah pembaharuannya dalam bentuk yang lebih besar," katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca