SUSULAN banjir luar biasa menenggelami beberapa negeri termasuk kawasan Lembah Klang, suara-suara rakyat yang menuntut pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 secara sekali keluar (i-Citra) semakin kuat berkumandang.... Klik di sini untuk terus membaca

SUSULAN banjir luar biasa menenggelami beberapa negeri termasuk kawasan Lembah Klang, suara-suara rakyat yang menuntut pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 secara sekali keluar (i-Citra) semakin kuat berkumandang.

Meskipun kerajaan sudah membenarkan rakyat melakukan pengeluaran i-Citra sebanyak RM1,000 sebulan selama enam bulan selain pengeluaran i-Sinar sebanyak RM500 selama 12 bulan sewaktu zaman pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Namun, polemik pengeluaran duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ditubuhkan pada tahun 1951 kini sudah menjadi trauma politik kepada kerajaan hari ini.

KWSP telah mengeluarkan RM101 bilion untuk skim di bawah i-Sinar, i-Lestari dan i-citra.

Lebih malang, tuntutan pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 juga semakin galak diperjuangkan sebilangan pemimpin yang berada dalam parti sama dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri iaitu UMNO.

Sebelum ini, Ismail Sabri dalam satu sidang media menegaskan kerajaan tidak akan meluluskan tuntutan pengeluaran RM10,000 secara 'one-off' melalui i-Citra demi menjaga kepentingan simpanan hari tua rakyat.

Pada Sabtu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, keputusan membenarkan pengeluaran KWSP sekali lagi akan membebankan generasi akan datang dengan kerajaan telah pun membenarkan pengeluaran sehingga RM71,000 sebelum ini gara-gara Covid-19.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Ahad mendakwa tuntutan pengeluaran KWSP i-Citra RM10,000 merupakan garis panduan diberikan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kepada Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti itu pada Ogos lalu, sebelum beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Berikutan itu, Asyraf Wajdi menegaskan ketetapan mengenai pengeluaran KWSP itu wajar dilaksanakan Ismail Sabri selagi mana MKT tidak menarik balik ketetapan itu.

Selain Asyraf Wajdi, pemimpin UMNO yang bertegas menuntut pengeluaran i-Citra RM10,000 secara one-off diluluskan kerajaan adalah terdiri mereka yang pro kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun begitu, dakwaan Asyraf Wajdi disangkal seorang ahli MKT UMNO yang menegaskan Ismail Sabri tidak terus menjanjikan tuntutan i-Citra itu akan dipenuhi beliau sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah mendedahkan Ismail Sabri meminta semua ahli MKT UMNO dalam satu mesyuarat pada bulan Ogos lalu untuk memberi ruang kepadanya mempertimbangkan tuntutan berkenaan bagi mengkaji kesesuaiannya.

"Apabila perkara itu dibangkitkan Ketua Pemuda (UMNO), beliau perlu ingat Ismail Sabri ketika itu masih belum menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dan beliau hanya meminta ruang daripada semua ahli MKT untuk mempertimbangkannya terlebih dahulu.

"Justeru, berdasarkan kefahaman saya, tuntutan MKT UMNO terhadap i-Citra pada ketika itu masih di peringkat kajian dan bukan jaminan mutlak Ismail Sabri untuk dilaksanakan serta-merta.

"Bagi saya, tidak adil juga sekiranya tuntutan itu sahaja yang dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO dalam media sosial, sedangkan 80 peratus daripada keseluruhan tuntutan lain dikemukakan MKT UMNO sudah dipenuhi Ismail Sabri," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

CUBA MENGAJAR

Mengulas lanjut, Arman Azha turut mempersoalkan tindakan segelintir pemimpin politik yang seolah-olah cuba 'mengajar' Ismail Sabri menggunakan kuasa veto sebagai Perdana Menteri bagi mengenepikan pandangan kabinet dalam soal meluluskan pengeluaran KWSP RM10,000 melalui i-Citra.

"Takkan bila Perdana Menteri meminta pandangan kabinet dalam sesuatu isu, beliau terus dianggap tidak betul dan bercanggah dengan agenda perjuangan parti?

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas program gotong-royong Keluarga Malaysia di sekitar Hulu Langat hari ini.

"Secara peribadi, saya berharap Ketua Pemuda UMNO (Asyraf Wajdi) menggunakan saluran betul untuk membincangkan tuntutan i-Citra dengan Perdana Menteri kerana langkah itu adalah lebih baik," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berpandangan Ismail Sabri akan berterusan berdepan konflik tuntutan pengeluaran i-Citra sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya beliau tidak mengambil langkah proaktif bagi menanganinya dengan segera.

Jelas beliau, antara langkah segera yang perlu diambil Ahli Parlimen Bera itu adalah dengan mengadakan rundingan dengan ahli-ahli MKT UMNO bagi membincangkan sama ada inisiatif pengeluaran i-Citra benar-benar memberi impak kepada kerajaan dan parti.

"Selain itu, Ahli Parlimen Bera itu perlu menggerakkan sepenuhnya jentera penerangan kerajaan ke seluruh negara untuk memberi kefahaman jelas mengapa pengeluaran i-Citra tidak dapat diluluskan kerajaan," katanya.

POLITICAL GAME

Syed Agil turut mempersoalkan komitmen segelintir pemimpin UMNO yang berada dalam kerajaan Keluarga Malaysia dalam mempertahankan keputusan Ismail Sabri berhubung pengeluaran i-Citra.

Tambah beliau, dengan Ismail Sabri mengumumkan bantuan kerajaan bagi setiap mangsa banjir boleh mencecah nilai RM61,000, pemimpin-pemimpin UMNO terutama yang bergelar menteri dan timbalan menteri sepatutnya lebih lantang memberi penerangan kepada rakyat bahawa bantuan ditawarkan kerajaan adalah lebih berbaloi daripada pengeluaran i-Citra.

"Adakah mereka menganggap tuntuan pengeluaran i-Citra dilaung-laungkan segelintir pemimpin UMNO mungkin merupakan satu 'political game' bagi menggugat kedudukan Ismail Sabri, lalu kelompok ini mengambil sikap tunggu dan lihat?

"Sekiranya tidak, mereka kena membantu Ismail Sabri merangka perincian maklumat bantuan diberikan kerajaan kepada mangsa banjir dan mengadakan 'roadshow' ke seluruh negara bagi menepis polemik pengeluaran i-Citra supaya maklumat itu benar-benar sampai kepada rakyat," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca