SHAH ALAM - Tidak ramai yang mengetahui bapa tunggal juga menderita selepas berlakunya perceraian bersama pasangan masing-masing. Tiga punca utama perceraian adalah kerana kewangan, kecurangan pasangan dan pihak ketiga. Pengasas Bersama... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tidak ramai yang mengetahui bapa tunggal juga menderita selepas berlakunya perceraian bersama pasangan masing-masing.

Tiga punca utama perceraian adalah kerana kewangan, kecurangan pasangan dan pihak ketiga.

Pengasas Bersama Persatuan Hak Bapa Malaysia, Sheikh Faleigh Sheikh Mansor berkata, pihaknya menganggarkan jumlah bapa tunggal di negara ini telah melebihi satu juta orang yang kebanyakannya berpunca daripada perceraian.

"Daripada lebih satu juta bapa tunggal ini, 50 peratus daripada mereka juga tidak bernasib baik untuk meneruskan kehidupan dengan pasangan baharu dan hanya mahu fokus untuk hidup seorang atau bersama anak,” katanya kepada Sinar Harian pada baru-baru ini.

Tambahnya, antara sebab bapa tunggal tidak mahu berkahwin lain adalah kerana tidak mahu kejadian serupa iaitu perceraian berlaku sekali lagi.

"Mereka tak nak patah hati lagi dan takut nak melalui benda yang sama,” jelasnya.

Beliau yang baru menubuhkan persatuan tersebut pada Mei 2021 berkata, bapa tunggal juga mengeluh apabila tiada pembelaan sewajarnya terhadap hak penjagaan anak dan pemberian nafkah kepada bekas isteri.

Kata beliau, secara umumnya dari segi hak penjagaan anak, mereka hanya dibenarkan untuk berjumpa dua minggu sekali melibatkan anak yang berumur di bawah tujuh tahun.

"Ada anak yang tidak tahu siapa bapa mereka apabila berlaku perceraian ketika masih bayi.

"Ditambah pula jika bekas isteri itu sudah mempunyai hubungan lain dan di rumah itu ada bapa baharu,” ujarnya.

Ujar beliau, di dalam penjagaan anak, seharusnya tidak ada berat sebelah tentang perkara terbabit.

"Tiba-tiba hak bapa itu hilang walaupun dari segi biologi ‘tanpa’ kita, tidak ada ‘keluar’ anak,” katanya sambil mendedahkan persatuannya telah mempunyai 100 orang ahli terdiri daripada bapa tunggal dan wanita yang menyokong perjuangan itu.

Sheikh Faleigh turut mempersoalkan bagaimana seorang bapa mahu menunaikan tanggungjawab sekiranya undang-undang mengeluarkan perintah mereka hanya boleh berjumpa dalam masa yang terhad.

Sheikh Faleigh

Bagi memperbaiki perkara terbabit, beliau mencadangkan pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan undang-undang syariah melibatkan negeri-negeri seperti Akta Undang- Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

"Undang-undang itu perlu dilihat kembali yang mengatakan hak penjagaan anak terus kepada ibu kalau di bawah tujuh tahun.

"Kita mahu kerajaan mengkaji semula kenapa perlunya sebegitu. Kenapa tidak boleh ada penjagaan bersama. Kenapa bapa dibuang hak penjagaannya,” soalnya.

CONTOHI LUAR NEGARA

Sheikh Faleigh turut memberikan contoh negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah yang telah mempunyai satu undang-undang sekiranya berlakunya perceraian melibatkan ibu bapa, secara automatik kedua-dua belah pihak mempunyai hak penjagaan bersama.

Beliau dalam pada itu turut membangkitkan mengenai tidak ada formula tentang jumlah pemberian nafkah kepada bekas isteri sehingga kini.

"Tidak ada formula dalam undang-undang. Selalunya apa jadi? Isteri akan minta setinggi-tingginya (nafkah daripada bekas suami),” katanya.

Menurutnya, jumlah tersebut juga tidak perlu mendapat persetujuan daripada bekas suami dan ia perlu diberi dalam bentuk wang ringgit.

Beliau turut melahirkan kebimbangan apabila wang yang diberikan dalam jumlah yang tinggi akan mengakibatkan bekas isteri menyalahgunakan wang terbabit seperti membayar kereta dan sebagainya.

Disebabkan itu, pihaknya mencadangkan agar bapa dibolehkan untuk membeli barang-barang keperluan asas untuk anak-anak mereka.

"Asalkan ada barang asas tersebut. Pendidikan yang diberikan juga pendidikan asas. Janganlah minta bukan-bukan seperti sekolah persendirian sedangkan sekolah rendah kebangsaan sudah memadai,” ujarnya.

Selain itu, bagi mengurangkan masalah keluarga di masa hadapan, pihaknya mencadangkan agar dokumen nikah cerai yang ada dimasukkan tentang penjagaan hak sama rata melibatkan anak-anak.

Klik di sini untuk terus membaca