TAMAN Sri Muda di Shah Alam, Kampung Bukit Lanchong di Puchong dan kawasan sekitar Seksyen 13, Shah Alam serta kawasan sekitar Meru, Klang yang dilanda banjir dan fenomena air termenung baru-baru ini memerlukan jawapan segera. Jawapan... Klik di sini untuk terus membaca

TAMAN Sri Muda di Shah Alam, Kampung Bukit Lanchong di Puchong dan kawasan sekitar Seksyen 13, Shah Alam serta kawasan sekitar Meru, Klang yang dilanda banjir dan fenomena air termenung baru-baru ini memerlukan jawapan segera.

Jawapan segera yang dimaksudkan ialah solusi jangka pendek dan jangka panjang bagaimana untuk atasi masalah banjir di kawasan-kawasan ini.

Tanyalah siapa sahaja yang tinggal di kawasan-kawasan terbabit, semua tiada jawapan pasti bagaimana mereka harus hadapi hari-hari mendatang tanpa memikirkan banjir di dalam fikiran mereka.

Dua perkara yang bermain di fikiran mangsa-mangsa banjir ini ialah keperluan hidup seperti kenderaan dan perkakasan rumah yang telah hancur musnah dan yang kedua ialah bila masa yang sesuai untuk menggantikannya.

Rakan sepejabat penulis yang barang-barang rumahnya di Meru hampir 80 peratus musnah tak tahu nak memikirkan apakah perlu membeli semula keperluan asas sekarang atau perlu tunggu buat sementara waktu terlebih dahulu.

Ini kerana, katanya, mereka tidak mungkin akan dapat menyelamatkan set perabot, almari, dapur, tilam, bantal, katil atau apa sahaja barangan di dalam rumah jika banjir melanda lagi dalam tempoh terdekat.

"Melainkan saya pindah ke tempat lain itu lain cerita. Tapi jika nak pindah sekali pun saya terpaksa beli rumah lain terlebih dahulu atau menyewa. Semua tu memerlukan modal yang besar,” ujarnya.

LAUTAN BESAR

Ditanya dengan lebih mendalam, jawapan yang penulis terima ialah, mangsa-mangsa banjir hanya boleh mengharapkan pada kerajaan untuk muncul dengan idea dan cadangan bagaimana hendak atasi masalah besar ini.

"Dalam hal ini hanya kerajaan sahaja yang berupaya untuk keluar dengan jalan penyelesaian bagaimana masalah banjir ini dapat diatasi.

"Sehingga satu bentuk penyelesaian jangka panjang dapat dikemuka dan dilaksanakan maka selagi itulah kami akan berhadapan dengan musibah banjir ini,” ujar seorang lagi mangsa banjir.

Kolumnis Sinar Harian, Profesor Ir Dr Muhidin Arifin dalam tulisannya baru-baru ini berkata, kejadian di Kampung Bukit Lanchong adalah kerana air hujan terkumpul dianggarkan sembilan juta meter padu atau 9,000 juta liter padu, manakala di Taman Sri Muda pula mengumpul sehingga 12 juta meter padu air.

Ia sekali gus membentuk lautan besar yang memerangkap penduduk di kawasan berkenaan. Kesimpulannya, kata Dr Muhidin, kerajaan harus segera melaksanakan kajian terperinci di kawasan tersebut termasuk mengenal pasti sistem larian tadahan air hujan ribut.

Kegagalan berbuat demikian akan menjadikan Taman Sri Muda dan Kampung Bukit Lanchong sebagai bakal lautan perangkap yang boleh meragut banyak lagi nyawa pada masa akan datang.

Sehingga ke saat ini, kita masih belum mendengar apa-apa perancangan jangka panjang daripada kerajaan pusat mahupun negeri bagaimana krisis banjir di kawasan-kawasan yang dilanda baru-baru ini akan diatasi.

Kita berharap, apa jua tindakan dan keputusan tidak akan mengambil masa yang terlalu panjang untuk dilaksanakan demi kelangsungan hidup mangsa-mangsa banjir.

*Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca