BANJIR kilat baru-baru ini sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta telah menjadi polemik yang tiada berkesudahan perlu dianalisa dan dirumuskan dengan pendekatan lebih komprehensif dalam mengenalpasti punca dan meminimumkan impak... Klik di sini untuk terus membaca

BANJIR kilat baru-baru ini sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta telah menjadi polemik yang tiada berkesudahan perlu dianalisa dan dirumuskan dengan pendekatan lebih komprehensif dalam mengenalpasti punca dan meminimumkan impak banjir. Selain taburan hujan yang tidak normal, faktor kurang keberkesanan sistem saliran mendorong berlakunya bencana ini. Sistem perparitan tersumbat adalah akibat sisa domestik dan sisa tapak binaan projek mega.

Sisa binaan merupakan material daripada tapak binaan yang tidak digunakan lagi untuk aktiviti-aktiviti di tapak binaan. Sisa pembinaan bergantung kepada saiz projek pembinaan, fizikal tanah dan topografi tapak pembinaan. Sisa yang tidak diingini termasuklah tanah, batu, pasir, ferus, asphalt, besi, simen, asbestos, kayu, batu bata, bitumen, bahan plastik, kertas dan cat. Sisa-sisa ini jika tidak diuruskan secara sistematik mendatangkan risiko kepada pekerja di tapak binaan dan merosakkan alam sekitar terutamanya asbab kepada sistem saliran dan perparitan tersumbat.

Pengurusan sisa dari tapak binaan merangkumi elemen daripada penghasilan sisa, pengawalan dan pengasingan sisa mengikut jenis, pungutan sisa, pengangkutan sisa ke tapak pelupusan sisa dan aktiviti di tapak pelupusan sisa seperti pengasingan kategori sisa, pemprosesan dan transformasi sisa.

Pengurusan sistematik dan menyeluruh berupaya mengawal keseluruhan elemen tersebut daripada memberi impak negatif kepada pemegang taruh projek pembinaan. Inisiatif yang perlu diambil pihak kontraktor dalam menguruskan sisa pembinaan adalah seperti pengurangan sisa binaan, kitar semula, guna semula, pengkomposan, pembakaran sisa tidak bahaya dan penghantaran sisa ke tapak pelupusan secara efisien. Perancangan dan koordinasi rapi dalam aktiviti pembinaan dalam melancarkan urutan kerja pembinaan, sekali gus dapat mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar.

TANGGUNGJAWAB KONTRAKTOR

Sikap kontraktor yang acuh tak acuh dalam menguruskan tapak binaan tanpa mempedulikan persekitaran boleh mengakibatkan bencana banjir ini menjadi acara tahunan yang tidak berkesudahan walaupun pelan mitigasi banjir dilaksanakan. Pihak tersebut perlu sentiasa menyelia dan memastikan tiada impak persekitaran daripada aktiviti yang dijalankan. Kerangka kerja yang lebih efektif dalam pengurusan sisa tapak binaan perlu disediakan untuk mengurangkan risiko daripada berlakunya sistem perparitan dan saliran tersumbat.

Tapak binaan juga perlu disediakan dengan sistem takungan sendiri untuk mengawal mendapan berserta hujan daripada kawasan pembinaan. Kontraktor bertanggungjawab untuk mematuhi Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang disediakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan mereka tidak boleh membuat saliran baharu (perparitan yang disambung dengan saliran sedia ada) sebaliknya menggunakan kaedah kawalan dengan menyediakan sistem takungan sendiri.

Akta 133, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 telah jelas dan diperuntukkan kepada kesalahan kontraktor yang gagal dalam menguruskan tapak binaan. Penguatkuasaan undang-undang ke atas kontraktor yang mengakibatkan sistem perparitan tersumbat perlu dilaksanakan dengan lebih tegas. Kompaun yang lebih tinggi serta penggantungan lesen kerja dapat memastikan pihak kontraktor akan lebih teliti dan cakna dalam hal ini.

Agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, JPS dan pihak berkuasa tempatan memainkan peranan penting dalam menetapkan polisi dan memantau aktiviti-aktiviti di tapak binaan secara berterusan. Pemantauan yang lebih kerap perlu dijalankan terutama di kawasan-kawasan berisiko tinggi terdedah kepada banjir kilat.

Pengurusan sisa di tapak binaan perlulah dipertingkatkan supaya pengurusan sisa pembinaan lebih sistematik. Masalah yang mengganggu kelancaran pengurusan sisa tapak binaan perlulah diselesaikan dengan baik. Untuk mengatasi isu yang menyebabkan bencana banjir kilat ini, semua pihak perlu menerapkan kerjasama dan menggembleng tenaga agar mampu mengekang atau setidak-tidaknya meminimumkan bencana banjir kilat yang sering menghantui warga kota.

* Zulkhairy Affandy Mohd Zaki ialah Pensyarah Pusat Pengajian Ukur Bahan Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi MARA Shah Alam

Klik di sini untuk terus membaca