TEMPOH 365 hari pada tahun 2021 sudah berakhir. Setiap hari dilalui dengan debaran dalam mencari ketenteraman kehidupan. Pandemik Covid-19 membawa kepada kelangsungan kehidupan yang penuh cabaran. Struktur sosial masih tidak berubah... Klik di sini untuk terus membaca

TEMPOH 365 hari pada tahun 2021 sudah berakhir. Setiap hari dilalui dengan debaran dalam mencari ketenteraman kehidupan. Pandemik Covid-19 membawa kepada kelangsungan kehidupan yang penuh cabaran.

Struktur sosial masih tidak berubah sepanjang hari-hari tahun 2021. Gelanggang politik hanya menampakkan keredaan selepas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 walaupun beberapa pilihan raya negeri mengambil tempat.

Imbasan sisipan ini boleh memberikan gambaran apa yang boleh berlaku pada tahun 2022. Berlatarkan kepada krisis bencana alam dan kegelisahan rakyat berterusan. Merakyatkan kepimpinan boleh membantu mengurangkan defisit kepercayaan yang turut mencalar kredibiliti beberapa pemimpin termasuk membuat persediaan awal berhadapan apa jua kemungkinan.

Suasana ini juga tidak menzahirkan kelangsungan Pilihan Raya Umum dalam separuh tahun pertama 2022. Keluarga Malaysia yang menjadi agenda induk memerlukan penerapan dan amalan daripada fahaman yang diberikan sepanjang 100 hari kepimpinan Perdana Menteri.Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara pemerintah dan pembangkang akan mewarnai tahun 2022 kerana perdamaian dan gencatan politik dipersetujui sehingga Julai 2022.

Apakah ruang politik akan kembali diasak dengan percaturan memenangkan psikik kumpulan tertentu untuk meraih sokongan. Bagaimana pula dengan pemilihan dalam beberapa parti yang akan bertembung dengan kesiapsiagaan PRU?Rombakan kabinet, pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan penjajaran politik semestinya menarik minat pemerhati politik.

Berdampingan dalam pengasingan dan bergaul semata-mata untuk kepentingan tertentu sehingga tidak ada usaha mengukuhkan penggabungan boleh melahirkan krisis kepimpinan, konflik dalaman dan kecenderungan menggunakan media sosial untuk berhubung daripada mencari jalan penyelesaian menang-menang semua.

PEREMAJAAN KEPIMPINAN

Tahun 2022 bakal melihat pelaksanaan Undi18 yang menjadi harapan kepada masa depan pengkaderan dan peremajaan kepimpinan. Kemampuan membawa usul had tempoh masa Perdana Menteri dua penggal dan Akta Lompat Parti sebelum PRU15 adalah ujian kepada pihak pemerintah dan pembangkang sendiri.

Sejauhmanakah kekuatan parti baharu yang mahu menyaingi parti siasah akan terserlah sepanjang tahun 2022. Kemasukan parti Warisan ke Semenanjung dan kolaboratif bersama parti Muda adalah satu yang menarik untuk dinilai. Begitu juga dengan parti Barisan Nasional jika kekal dengan keputusan bergerak solo dan impaknya ke atas parti Perikatan Nasional. Bagaimana pula Muafakat Nasional?

Malah, jika perpecahan berlaku dalam kem parti UMNO, Bersatu, Pas, DAP dan PKR; apakah bentuk penjajaran dan penyatuan yang akan kita lihat nanti? Prestasi GPS di Sarawak menunjukkan bahawa mereka bukan lagi fix deposit tetapi king maker sehingga perebutan sokongan dari negeri Sarawak dan Sabah boleh menentukan pembentukan kerajaan baharu selepas PRU15 nanti.Tahun 2022 akan menjadi satu lagi tahun dengan peristiwa dunia politik yang membabitkan sosok politik tanah air memainkan peranan untuk menampakkan kekuatan personaliti masing-masing termasuk intervensi politik oleh Perdana Menteri ke-9; Perdana Menteri ke-8; Perdana Menteri ke-7 dan 4; Perdana Menteri ke-6; Timbalan Perdana Menteri ke- 7; Timbalan Perdana Menteri ke-11; tidak ketinggalan presiden beberapa buah parti politik.

Bajet RM332.1 bilion dan pelaksanaan Fasa I Rancangan Malaysia Ke-12 juga menarik untuk diteliti sepanjang tahun 2022. Daripada vaksinasi kepada ‘penggalak’, persiapan berterusan perlu dilakukan jika pengambilan vaksin menjadi ‘kebiasaan’. Waktu sama isu sara hidup, kebajikan, peluang pekerjaan, pengangguran, pendidikan dan hubungan luar perlahan-lahan memerlukan komitmen daripada pelbagai pihak berwajib. Akhirnya, rakyat mahukan ‘keselamatan kehidupan’ terpelihara.

Perubahan dalam kesinambungan pada tahun 2022 hanya akan berlaku jika agenda rakyat menjadi tumpuan, mempamerkan kematangan bersilat dalam arena politik dan kesejahteraan dianggap sebagai senjata pemulihan kestabilan dan kehidupan berukun. Ini boleh menenteramkan ekosistem jika rakyat dihormati kedudukan mereka dan kesemua pihak bertanggungjawab demi mendepani lakaran cabaran tahun 2022.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca