SHAH ALAM - Akta sedia ada melibatkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan undang-undang syariah melibatkan negeri-negeri seperti Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 sudah mencukupi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Akta sedia ada melibatkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan undang-undang syariah melibatkan negeri-negeri seperti Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 sudah mencukupi dan seimbang bagi pihak ibu dan bapa.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ia berikutan hak penjagaan dalam perundangan Islam melibatkan tiga perkara iaitu al-hadhanah, al-kafalah dan al-wilayah.

Ujar beliau, al-hadhanah adalah hak berkaitan penjagaan fizikal anak kecil, al-kafalah pula kebertanggungjawaban untuk menjaga anak manakala al-wilayah ialah penjagaan hakiki (guardianship).

"Al-hadhanah khususnya bagi anak kecil tidak diberikan secara automatik kepada ibu tetapi hakim syarie perlu memberi penekanan kepada kebajikan anak itu sendiri.

Al-kafalah pula adalah anak telah mumaiyiz iaitu dapat membezakan antara baik dan buruk seterusnya boleh memilih dengan siapa mereka ingin tinggal.

"Al-wilayah pula merupakan penjagaan diri dan harta kanak-kanak bawah umur yang lazimnya diberikan kepada bapa,” katanya.

Zainul Rijal berkata, ketiga-tiga aspek itu mempunyai sudut ‘jurisprudence’ (fikah) yang tersendiri.

"Mungkin ramai yang masih keliru mengenai hak penjagaan anak bagi orang Islam.

"Hal ini mungkin disebabkan sebahagian daripada kita membaca tentang perundangan syariah secara ‘lateral’ (lurus) sahaja tanpa meneliti nas-nas sama ada daripada al-Quran, al-Sunnah ataupun pandangan ulama,” ujarnya.

Dalam pada itu ujarnya, hak penjagaan bersama di Malaysia adakalanya mendatangkan masalah kepada anak-anak apabila tiada persetujuan ibu dan bapa.

"Namun, jika ada persetujuan, lazimnya mahkamah syariah tidak menolak untuk memberikan hak jagaan bersama,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca