SHAH ALAM - Seorang bapa tunggal yang mahu dikenali sebagai Paul mengakui hanya dibenarkan berjumpa dengan anak lelakinya selama empat jam dalam sebulan. Paul berkata, setelah bercerai, mahkamah mengarahkan supaya bekas isterinya menentukan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang bapa tunggal yang mahu dikenali sebagai Paul mengakui hanya dibenarkan berjumpa dengan anak lelakinya selama empat jam dalam sebulan.

Paul berkata, setelah bercerai, mahkamah mengarahkan supaya bekas isterinya menentukan masa dan tempat untuk dia berjumpa dengan anaknya.

Ujarnya, apa yang lebih menyedihkan adalah dia tidak dapat jumpa anaknya selama tiga bulan ketika negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jadi dalam empat jam itu, saya kena bersedia banyak perkara seperti beli makanan dan mainan kegemarannya.

"Saya cuba sebaik mungkin untuk memastikan dia selamat dan luangkan masa dengan dia,” katanya.

Paul berkata, anaknya pernah bertanya kepadanya sendiri adakah dia terlalu sibuk sehingga sukar untuk luangkan masa bersama.

"Dia (anak) pernah tanya saya kenapa saya tidak jumpa dia, jadi saya serba salah, saya tidak mahu burukkan sesiapa.

"Saya cuma beritahu dia bahawa saya kerja dan ‘apa yang ayah lakukan ini sebab ayah sayang kamu’ itu yang saya cakap,” ujarnya.

Menurutnya, dia bimbang kekangan masa untuk berjumpa dengan anaknya itu mungkin akan memberi kesan kepada kesihatan mental anaknya.

Jelasnya, anak tidak sepatutnya dijadikan sebagai mangsa keadaan dan apa yang penting adalah memastikan supaya dia tidak kurang kasih sayang sama ada daripada ibu atau bapa.

[KES 2] PANGGILAN VIDEO 15 MINIT

Seorang bapa tunggal yang ingin dikenali sebagai James mengakui sudah dua tahun tidak berjumpa dengan anaknya dan hanya dibenarkan berhubung melalui panggilan video selama 15 minit sahaja.

James berkata, selain daripada panggilan video, sepatutnya dia turut diberi kebenaran untuk melawat anaknya tiga jam seminggu namun, kebenaran itu ditarik balik.

Ujarnya, lebih menyedihkan apabila panggilan video bersama anaknya yang berusia lima tahun itu menjadi lebih singkat dari masa ke masa sehinggakan ada perbualan hanya berakhir dengan dua patah perkataan sahaja iaitu ‘Hi, bye’.

"Saya rasa memang sakit hati dan sedih bila dengar dia cakap begitu sebab saya sudah tidak berjumpa dengan anak saya dah dua tahun, tidak dapat peluang untuk berbincang dan bercakap dengan dia.

"Selepas itu, dia masih ulang perkara sama sehingga sekarang. Ada satu masa, dia angkat ‘video call’ dia cuma cakap ‘hi, saya tidak mahu bercakap’ dan terus tutup.

"Sebelum ini, anak saya memang gembira dan okay ketika ‘video call’ dengan saya, banyak perkara kami berbual pasal hal-hal sekolah dan apa yang dia belajar,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, menurut James, dia sedang membuat rayuan kepada mahkamah bagi mendapat kebenaran untuk berjumpa dengan anaknya.

"Saya sudah minta kebenaran mahkamah untuk dapatkan kebenaran keluar pada hujung minggu (weekend access) dengan anak saya.

"Saya harap kebenaran itu diberikan. Lagipun kita tidak boleh bawa anak kita balik ke rumah kita sendiri.

"Sehinggakan kita kena jumpa anak di pusat beli-belah dan lain-lain tempat,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca