SHAH ALAM - Sasterawan Negara wanita pertama, Datuk Dr Zurinah Hassan atau lebih dikenali dengan nama pena Haniruz meminati bidang penulisan kerana jatuh hati pada kata-kata indah daripada lagu-lagu asli dan puisi yang didendangkan di radio zaman kanak-kanaknya.
Beliau juga telah menghasilkan sebanyak 19 buah buku antologi sajak, antologi puisi, kajian sastera, autobiografi, memoir, antologi cerpen dan novel.
Menurutnya, beliau memasuki bidang penulisan kerana pada masa dahulu tiada perkara lain yang diminati selain mengarang puisi, sajak dan cerpen.
"Ketika remaja di rumah saya hanya ada radio, itu sahaja teknologi yang sudah masuk ke kawasan kampung dan kemudahan lain seperti bekalan air serta elektrik masih belum ada.
"Radio memberi peluang saya mendengar lagu-lagu yang setiap bait lagu tersebut terselit kata-kata indah terutama lagu asli dan pantun.
"Itulah pengenalan pertama saya dengan pantun dan sastera yang terlalu sarat dengan kata-kata indah dan dari situ saya cuba mengarangnya sendiri,” katanya dalam Program Mak Untuk Malaysia (MUM) Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, pada masa itu juga radio menyediakan ruangan untuk kanak-kanak menghantar hasil penulisan kreatif untuk disiarkan di Singapura dan penulisan beliau turut terpilih.
Jelasnya, dari situlah berkembangnya penulisan dari corong radio kepada surat khabar.
"Penulisan sajak dan puisi serta setiap karya sastera saya akan merangkumi dua elemen penting antaranya pemikiran serta perasaan yang membuatkan penulisan tersebut menjadi bernilai.
"Setiap individu yang berkarya akan melahirkan perasaannya yang terkesan dengan keadaan di sekeliling mereka.
"Alhamdulillah, setelah mengharungi pelbagai perkara akhirnya saya diiktiraf sebagai Sasterawan Negara yang merupakan satu-satunya sasterawan wanita,” ujarnya.
Sementara itu, antara pencapaian yang membanggakan beliau ialah karya ‘Menghadap pelabuhan’ dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa seperti Sepanyol, Perancis, English dan banyak lagi.
Katanya, salah satu hasil karya yang digunakan di universiti dalam dan luar negara berjudul ‘Salasilah’.
"Saya gemar menulis tentang perjalanan sejarah orang-orang Melayu dan sesuatu perkara yang berlaku dan memberi tafsiran.
"Selalunya untuk menghasilkan sebuah buku mengambil masa bertahun untuk disiapkan kerana memerlukan masa dan ilham.
"Sudah menjadi kebiasaan penulisan orang-orang Melayu sangat mementingkan kebaikan. Jadi sastera bukan sahaja menghebahkan malah menyampaikan sesuatu kepada masyarakat,” katanya.