SHAH ALAM - Murid terutama tahun satu, dua dan tiga yang menyertai kelas belajar membaca di pusat tuisyen menunjukkan trend peningkatan.
Guru Pusat Tuisyen Alam Minda, Syarifah Huda Abdul Rahman berkata, kelas membaca di pusat tuisyennya menerima pelajar dua kali ganda lebih ramai berbanding tahun-tahun lepas.
"Kalau dari segi jumlah memang ada peningkatan daripada tahun-tahun lepas. Kalau dulu murid mungkin 30 orang, tetapi sekarang meningkat kepada 60 orang.
"Kebanyakan murid adalah daripada umur enam tahun, tahun satu, dua dan tiga dengan pelbagai situasi termasuk ada yang tidak boleh membaca langsung dan perlukan bimbingan khusus,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, beliau melihat faktor tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadi punca utama murid gagal menguasai kemahiran membaca.
"Ada sesetengah murid yang boleh mengikuti kelas online, ada murid yang tak dapat ikut. Mereka mungkin tidak boleh fokus dengan apa yang cikgu ajarkan sekali gus menyebabkan mereka tercicir.
"Kami juga ada kelas membaca secara online tetapi konsep kami adalah ‘one to one’ (satu guru satu murid).
"Selain itu, kami ajar dalam tempoh 15 minit hingga 30 minit kerana dalam tempoh itu sahaja murid berumur enam tahun atau tujuh tahun mampu fokus dalam kelas online,” katanya.
Pada masa sama, Syarifah Huda menyifatkan peningkatan jumlah murid yang lambat membaca kini adalah amat membimbangkan dan jika tidak diatasi akan memberikan kesan kepada pendidikan murid terbabit.
"Kalau kita tengok silibus tahun satu sangat tinggi sekarang dan mereka sudah pun perlu membuat karangan pendek.
"Bayangkan dalam usia enam tahun tidak boleh membaca lagi dan apabila masuk darjah satu mereka perlu membuat karangan dan sebagainya.
"Kemudian masuk tahun dua dengan silibus yang lebih tinggi menyebabkan mereka akan ketinggalan jauh. Sebab itu, ibu bapa juga sedar mengenai perkara ini dan menghantar anak mereka mengikuti kelas membaca,” katanya.
Sementara itu, Guru Kelas Bimbingan Membaca Cikgu Ezi, Izyani Hayati Mohd Ruslan berkata, rata-rata murid yang menyertai kelas bukan sahaja tidak pandai membaca malah lemah dalam menulis huruf.
Menurutnya, situasi itu cukup membimbangkan dan bakal menyebabkan murid tercicir dalam pendidikan.
"Kebanyakan yang sertai kelas membaca kami adalah murid tahun satu yang akan masuk tahun dua tidak lama lagi. Murid-murid ini ada yang tak kenal huruf.
"Alasan yang diberikan oleh ibu bapa adalah disebabkan PKP dan pembelajaran secara PdPR yang mengakibatkan anak mereka tidak dapat fokus.
"Mereka (ibu bapa) juga mungkin tidak tahu cara untuk mengajar kerana kaedah pembelajaran dan pengajaran zaman sekarang sudah berbeza,” ujar Izyani Haryati.
Klik di sini untuk terus membaca